92.19% calon STPM lulus penuh
KUALA LUMPUR 7 Mac - Seramai 46,712 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 mencatatkan keputusan lulus penuh bagi sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dalam peperiksaan yang diduduki hujung tahun lalu.
Jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 0.31 peratus berbanding tahun 2010 yang mencatatkan seramai 46,795 calon mendapat keputusan sama.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin berkata, daripada jumlah itu, seramai 2,579 calon mencapai keputusan lulus penuh untuk lima mata pelajaran manakala 20,638 calon pula lulus penuh empat mata pelajaran.
Katanya, calon lulus penuh empat mata pelajaran menunjukkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 0.22 peratus berbanding tahun 2010.
"Biarpun terdapat sedikit penurunan dari segi calon lulus penuh, ia adalah penurunan biasa memandangkan peratusan itu terlalu sedikit dan bukannya merosot teruk.
"Jika dilihat secara keseluruhan pencapaian adalah sama seperti tahun 2010 yang mencapai min Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) sebanyak 2.22," katanya kepada pemberita selepas Pengumuman Keputusan STPM 2011 di MPM di sini hari ini.
Dalam pengumuman tersebut, Mohd. Noh turut menyampaikan ganjaran khas kepada lima calon terbaik STPM 2011 keseluruhan, tiga calon istimewa terbaik dan seorang calon terbaik pelajar luar bandar.
Kesemua calon berkenaan diberi ganjaran berbentuk wang tunai sebanyak RM1,000, sijil penghargaan dan sebuah plak.
Tambah beliau, bilangan calon yang mendapat lima A turut menunjukkan peningkatan apabila 12 calon berjaya mencapai keputusan itu berbanding lapan calon pada tahun sebelumnya.
Ujarnya lagi, dari segi mata pelajaran pula, terdapat tiga mata pelajaran yang mencatatkan peningkatan dan empat mata pelajaran pula menunjukkan penurunan.
"Bagi mata pelajaran Bahasa Arab, Sejarah dan Perakaunan masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 4.10 peratus, 3.80 peratus dan 3.68 peratus.
"Mata pelajaran Syariah, Pengajian Am, Pengajian Perniagaan dan Futher Mathematics T pula masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 2.02 peratus, 3.40 peratus, 4.06 peratus dan 12.73 peratus," jelasnya.
Katanya lagi, jurang prestasi antara pelajar bandar dan luar bandar dilihat masih ketara apabila bilangan calon bandar yang mendapat tiga, empat dan lima A adalah seramai 948 calon berbanding hanya 93 calon di luar bandar.
Menyentuh mengenai prestasi sekolah pula, Mohd. Noh berkata, terdapat penurunan dalam prestasi sekolah kerajaan apabila min PNGK yang dicapai adalah 2.29 berbanding 2.32 pada tahun 2010.
Tambahnya lagi, seramai 53,687 calon telah mendaftar untuk menduduki STPM 2011 hujung tahun lalu namun hanya 50,669 calon yang menduduki peperiksaan.
Menyentuh mengenai pencapaian Malaysian University English Test (MUET), beliau berkata, prestasi calon akhir tahun 2011 yang mendapat keputusan Band 3 ke atas meningkat sebanyak 46.80 peratus berbanding 41.81 peratus pada ujian pertengahan tahun.
"Mulai tahun ini MUET akan diadakan sebanyak tiga kali iaitu pada sesi Mac, Julai dan November bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat," katanya.
Utusan Online 10/3/12
No comments:
Post a Comment