Sunday, December 8, 2013

Nyanyian Muara Mekong

Pada 30 November hingga 4 Disember, kami sekeluarga berkesempatan berwisata ke Saigon atau Ho Chi Minh City yang penuh bersejarah.Penerbangan dengan pesawat MAS MH 850 selama 1 jam 50 minit dari KLIA  merentasi Laut China Selatan mulus dan lancar. Sebaik tiba kami mendapatkan dua buah teksi Toyota Innova Vinasun untuk ke Hotel Saigon Pink 2 dengan bayaran 190 Dong untuk satu perjalanan.Kadar tukaran RM 17.50 sama dengan 100,000.00 Dong.Kami tidak menggunakan perkhidmatan  mana-mana Agensi Travel. Sebaik tiba di hotel,kami berbincang dengan petugas yang popular dengan nama SITI dalam kalangan  wisatawan Malaysia untuk mendapatkan perkhidmatan agensi dan beliau menghubungi TNK Travel menjadi pemandu kami selama dua hari berturut-turut.Kami berpuas hati dengan layanan dan perkhidmatan yang di berikan mereka.

 
Teksi Airport
sumber:admya.blogspot.com


Saya agak kaget dengan sistem pemanduan sebelah kiri yang kelihatan sembrono dengan kenderaan bersimpang siur di sepanjang jalan menuju hotel.Kebanyakannya di penuhi motosikal yang membawa berbagai barangan memenuhi jalan raya, tetapi ironinya sangat jarang berlaku kemalangan. Bunyi horn kenderaan mewarnai kehidupan kota Ho Chi Minh yang sibuk. Para pelancung dari berbagai negara bertali arus melawat kota ini saban hari, terutama dari Malaysia yang datang membeli belah berbagai barangan di sini. Orang-orang Vietnam boleh menyebut beberapa patah perkataan Melayu seperti Apa Khabar, Abang mari lah beli murah-murah. Sepanjang lima hari di sini wajah-wajah Malaysia memadati jalan dan pasar-pasar Vietnam seolah-olah seperti di Chow Kit Road atau little Malaysian.Makanan Islam tidak sukar kerana bersebelahan Hotel terdapat Restoran Kampung Melayu, Restoran Hjh Basiroh, Warung 1 Malaysia yang menawarkan makanan halal seperti di negara kita.

Melihat puppet 

Sebelah malamnya kami sekeluarga mengunjugi 'Vietnamese Water Puppet Show' sebuah persembahan tradisional Vietnam sejak kurun ke XI. Program ini telah di pertunjukkan dalam berbagai persembahan di peringkat antarabangsa untuk pertukaran budaya dengan negara-negara lain sebagai lanskap kehidupan warisan masyarakat Vietnam zaman lampau.Persembahan kebudayaan ini bermula pada jam 6.30 petang dan 8.00 malam selama sejam. Pengunjung berkesempatan melihat secara terus (live) tradisi  masyarakat negara ini bertemakan kehidupan suasana petani dan nelayan melalui persembahan berlatarbelakangkan muzik tradisional yang mengasyikan.



Sumber  Puppetry news

Cu Chi Tunnel

Salah satu tempat bersejarah yang perlu di lawati setiap pelancung ialah Cu Chi Tunnel terletak kira-kira 1 jam perjalanan dari hotel penginapan kami.Terowong bawah tanah ini di bina semasa perang Vietnam atau Perang Indochina yang membabitkan tentera Amerika pada tahun 1973. Ribuan orang awam mati akibat serangan tentera Amerika. Kami melihat jerangkap samar yang masih di pelihara dan kesan bom yang di gugurkan seperti kawah besar yang menggerunkan. Menurut pemandu pelancung, terowong yang di bina orang-orang kampung sepanjang 240 kilometer hanya menggunakan penyodok dan pungkis sebagai tempat perlindungan.Penderitaan rakyat Vietnam akibat perang sudah menjadi sejarah  yang terukir dengan tinta merah tersemat kukuh dalam peta dunia akibat kerakusan dan keganasan tentera Amerika.

Terowong sempit

Terowong yang gelap dan sempit hanya muat sekujur tubuh sederhana besar bersambung antara satu dengan lain sepanjang 240 km melibatkan beberapa buah kampung. Mereka juga menggunakan senjata bambu untuk pertahanan diri. Terowong yang sempit tidak memungkinkan tentera Amerika melewatinya kerana saiz fizikal mereka yang lebih besar.Ramai pelarian Vietnam meninggalkan negara mencari tempat perlindungan termasuklah Malaysia yang memberikan tempat sementara kepada mereka menghuni Pulau Bidong dan Sungai Besi Kuala Lumpur beberapa dekad yang lalu. Kini semuanya telah menjadi bahan sejarah yang sukar di lupakan oleh setiap warga Vietnam.Terowong ini menjadi punca pendapatan kepada negara lepas perang ini kerana setiap hari pelancung dari berbagai negara mengunjungi tempat bersejarah ini.

Nyanyian Muara Mekong

Perjalanan dengan bas TNK Travel menuju Sungai Mekong sejauh 80 kilometer selama hampir 2 jam melalui kawasan sawah padi yang subur menghijau.Sungai Mekong mengalir merentasi beberapa buah negara bermula dari Tibet,Burma,Laos,Thailand,Kemboja dan bermuara di Vietnam merupakan sebuah sungai terpanjang di dunia.Kelihatan dari jauh terusan mengalir tenang menuju kawasan sawah.Kumpulan kerbau dan lembu sedang meragut rumput menerjah ingatan saya ke negeri Che' Siti Wan Kembang zaman kecil-kecil dulu.Orang di sini sangat rajin bekerja dan memanfaatkan setiap ruang untuk mencari rezeki. Anak-anak kecil, orang dewasa dan para ibu bertungkus lumus membanting tulang menjaja barangan memenuhi tubuh menghampiri kami tanpa mengenal putus asa, hilang rasa malu dan merayu untuk di beli sebaik bas berhenti untuk memberi peluang kepada penumpang membersihkan diri di tempat rehat dan rawat.


n













Sumber:indonesiaindonesia.com


Kami meneruskan perjalanan ke Sungai Mekong setelah berehat beberapa ketika.Sebaik tiba boat sedia menunggu membawa rombongan merentasi Muara Mekong yang tenang dan mendamaikan.Kelihatan  perahu -perahu nelayan sedang mencari rezeki memukat ikan di muara sungai. Deretan rumah atas air (rumah rakit) memenuhi pinggiran sungai menjadi pemukiman turun temurun kaum nelayan yang di himpit kemiskinan. Kami singgah makan tengahari di sebuah Pulau, kemudian menuju ke tempat perusahaan gula kelapa yang di usahakan secara tradisional.Kami seterusnya menaiki perahu kecil yang boleh memuatkan hanya 3 orang menuju perkampungan tradisional dan menikmati berbagai jenis buah-buahan seperti nenas manis,mangga ranum,dragon fruit dan pisang segar sambil mendengar Nyanyian Muara Mekong  yang mendayu-dayu oleh kaum ibu dan bapa-bapa mengisahkan peristiwa silam  yang menjadi sejarah hitam penduduk negara ini.  Walau pun kami tidak memahami nyanyian namun dari ekspresi wajah mereka teruja dengan lawatan kami. Nyanyian Muara Mekong melengkapkan perjalanan  sehari suntuk sebelum tiba di hotel pada jam 6.30 petang.


Che' Yahya Che'Soh
Kuala Lumpur.
Ahad 8 Disember,2013.
Nyanyian Muara Mekong
Menunggu gambar siap untuk
di muat turun.
   

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...