Sunday, June 15, 2014

Kampung Mengkebang














Panorama indah di Kg. Batu Mengkebang (RKT) Kuala Krai. Saya sempat merakamkan kenangan di sini sebaik selesai solat Jumaat di Masjid Batu Mengkebang pada 6 Jun 2014 yang di Imamkan ayahanda Hj Che Soh Majid. Generasi sekarang mungkin tidak mengetahui keperitan dan penderitaan ayah-ayah dan ibu kita terpaksa berjalan kaki dari Guchil ke Mengkebang memikul beras, budu, ikan kering dan bahan keperluan lain semata-mata untuk melakukan transformasi kehidupan.Rumah-rumah berdinding kulit kayu beratapkan daun cucuh menjadi tempat berteduh sewaktu mula meneroka hutan menjadi nostalgia yang sukar dilupakan.Pengalaman meniti batang-batang balak sehingga tergelecek  jatuh berguling bating bawah cerung sudah mangli bagi mereka. Deringan reriang bertingkah bunyi suara ungka menyambut ketibaan senja sungguh meremang dan mendebarkan dada menjadi alah bisa tegal biasa. Jika bernasib baik bolehlah  menumpang STEWON  yang mengangkut kayu balak.Demikian sebuah refleksi kehidupan lampau di lalui oleh ayah dan ibu kita untuk membina sebuah kehidupan yang sejahtera.Mengkebang kini tidak lagi sesejuk dulu kerana banyak hutan telah di tebang dan di teroka sehingga meningkatkan suhu panas terutama pada siang hari. Kini setelah lebih lima dasawarsa yang lalu Mengkebang menjadi sebuah Mukim yang maju dengan kemudahan dan prasarana lengkap seperti Kompleks Sekolah Menengah,Sekolah Rendah dan Sekolah Agama Arab.Jalan raya yang mulus menjadi laluan alternatif ke Gua Musang dan Kota Baru terutama pada musim perayaan. Harga tanah melambung walau pun ketika ini getah murah di pasaran. Justeru janganlah kita menjual hasil jerih payah orang tua untuk kesenangan yang sementara.( Artikel saya Sejarah Awal Mengkebang berkaitan).

csyahya victory.
Ahad 15 Jun 2014.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...