Saturday, June 14, 2014

3 kategori tahap El Nino

Oleh Ahmad Suhael Adnan 
3 kategori tahap El Nino
Purata suhu tempat masih kekal pada paras normal

Kuala Lumpur: Cuaca panas sejak beberapa hari lalu adalah sebahagian proses pembentukan fenomena El Nino yang dijangka melanda negara akhir bulan ini sehingga September depan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Datuk Che Gayah Ismail, berkata walaupun cuaca panas, purata suhu di kebanyakan tempat masih kekal pada paras normal, dengan tertinggi mencecah 35 darjah Celsius.

Katanya, Monsun Barat Daya yang bermula sejak 15 Mei lalu, turut menyumbang kepada peningkatan suhu.

“El Nino terjadi apabila berlaku peningkatan lebih tinggi daripada biasa suhu air di permukaan Lautan Pasifik berdekatan Garisan Khatulistiwa, iaitu melebihi 0.5 darjah Celsius.

“Malaysia kini sedang mengalami musim kering disebabkan Monsun Barat Daya. Ini bukan faktor berlakunya El Nino kerana peningkatan suhu dan musim kering memang akan berlaku pada musim ini, sama ada berlaku El Nino atau tidak.

“Dalam tempoh ini, taburan hujan berkurangan secara mendadak dan ini menyebabkan cuaca menjadi panas,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Che Gayah berkata, kesan El Nino boleh diukur mengikut kategori, iaitu lemah, sederhana dan kuat, dengan setiap kategori ditentukan berdasarkan tahap kenaikan suhu air di Lautan Pasifik.
Beliau juga memberi amaran peningkatan suhu yang menyebabkan kekeringan melampau, boleh membawa kepada ancaman jerebu.

“Kebiasaannya, musim Monsun Barat Daya akan menyebabkan berlakunya kebakaran hutan di Sumatera dan Semenanjung Malaysia, sekali gus akan menyebabkan berlakunya jerebu.

“Keadaan akan menjadi buruk sekiranya negara dilanda El Nino dalam kategori kuat yang boleh menyebabkan jerebu teruk dan tebal. Ini akan memberi kesan terutama kepada kesihatan, sektor pertanian, sektor penerbangan dan aktiviti luar,” katanya.

Beliau berkata, MetMalay-sia akan terus memantau peningkatan suhu sepanjang masa dan akan mengambil tindakan termasuk melakukan pembenihan awan sekiranya keadaan memerlukan.

Malaysia pernah dilanda El Nino sebanyak 12 kali sebelum ini, dengan yang terburuk pada tahun 1982, 1983, 1997 dan 1998.

Cuaca paling panas yang pernah direkodkan di negara ini ialah 40.1 darjah Celsius iaitu ketika El Nino pada tahun 9 April 1998 di Chuping, Perlis.

Berita Harian Online
Sabtu 14 Jun 2014.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...