Wednesday, May 7, 2014

Mulianya Institusi Pendidikan

Pembangunan sesebuah negara bermula dengan pendidikan yang di terima rakyatnya. Semakin ramai orang berilmu bertambah maju sesebuah negara.Tidak saja negara tetapi menjalar ke daerah,mukim,kampung dan desa hasil daripada pendidikan yang di perolehi.Peradaban dan tamaddun sesebuah masyarakat turut berobah kerana ilmu dan kemahiran yang di miliki menjadi penyuluh cahaya untuk membangun kehidupan berkualiti.Peranan guru sebagai pembangun umah menjadi transformer kepada manusia dalam mengenal literasi dan numerasi sehingga mereka berjaya masuk ke IPT atau Universiti baik di dalam atau luar negeri.Pada peringkat awalnya bermula daripada seorang guru yang mengajar tulis baca dengan sabar dan tekun.

 Bukan salah pendidikan

Mulianya tugas guru kerana mengajar dan membentuk kepribadian murid menjadi manusia berilmu yang mempunyai keutuhan disiplin diri untuk menghadapi cabaran dunia.Robeknya prilaku manusia sekarang bukan kegagalan institusi pendidikan tetapi pengaruh kehidupan yang berlaku secara global di sebabkan kurangnya tuntunan cahaya keimanan.Orang berilmu seumpama anak sungai yang jernih mengalir tenang menjadi tempat permainan anak-anak ikan berkejar riang menuju muara.Mulianya Institusi Pendidikan (IP) adalah sebagai wadah membentuk jiwa manusia supaya budaya hidupnya selari dengan ilmu yang di miliki.Pendidikan mengajar orang menjadi baik,patuh, taat, setia, ikhlas, bertanggungjawab, jujur, amanah dan berintegriti sepanjang masa.Kemurnian pribadi seorang ilmuan pastinya dapat membezakan antara fakta dan auta kerana pendidikan merupakan tunjang kehidupan yang membentuk jati diri manusia. Pendidikan juga sebagai alat menyatupadu manusia tanpa mengira warna kulit dan etnik bangsa kerana ilmu menjadi tunjang keharmonian hidup setiap individu.

Profesyen mulia

Proses pembangunan diri berlaku secara evolusi. Demikian juga dengan perobahan budaya dan cara hidup manusia.Beberapa dasawarsa yang lalu, kehidupan di desa cukup aman dan tenteram tetapi kini terlalu jauh berbeza.Rompakan dan kecurian tidak sahaja berlaku di bandar-bandar besar tetapi di kampung dan pedalaman juga berleluasa. Anak-anak di awal remaja terjebak dengan berbagai ketagihan seperti pil kuda, dadah, ketum dan bermacam hedonisma yang tentunya menghancurkan masa depan negara.Penzinaan berlaku berleluasa sehingga melahirkan anak luar nikah, dibuang di merata tempat seperti dalam tong sampah, tandas, kaki lima dan tangga Masjid sudah menjadi kelaziman masa kini yang sangat jarang berlaku pada masa dulu. Kepada siapakah kita akan warisi negara ini jika generasi sekarang terlalu bobrok akhlak mereka? Mampukah sistem pendidikan kita menangani krisis yang semakin parah ini? Menyalahkan seluruhnya kepada remaja adalah tidak tepat sama sekali. Masih banyak ruang dan kaedah yang boleh kita lakukan.

Kemenjadian Manusia

Peranan ibu bapa sebagai ketua keluarga mencermin kepribadian anak-anak.Sejauh mana ibu bapa mengambil cakna pergerakan anak-anak mereka di luar pengetahuan kita. Demikian juga guru, masyarakat dan pihak penguasa perlu berganding bahu bersama membenteras gejala yang merugikan  negara.Profesyen pendidikan sungguh mulia kerana menekankan kepada kemenjadian manusia sebagai objektif kita.Falsafah Pendidikan Kebangsaan sangat jelas mengenai arah tuju sistem pendidikan di negara ini tinggal lagi pelaksanaanya masih belum mencapai indeks yang di harapkan untuk melahirkan insan secara JERI kerana kita lebih menitik beratkan perkara-perkara  di luar bidang tugas yang tidak membantu meningkatkan ilmu dan keintelektualan murid.Kemenjadian manusia tidak akan terhasil tanpa sokongan padu semua pihak. Sekolah tidak mampu melaksanakannya secara syumul atau holistik kerana keterbatasan waktu yang ditetapkan.

Teknologi tidak salah

Semasa saya mula menjadi guru pada tahun 1981 tidak ada kemudahan teknologi ICT seperti sekarang. Bila ingin menyediakan kertas soalan peperiksaan terpaksa menggunakan mesin taip atas stensil , mengetik dengan sabar setiap soalan yang ada ketikanya terpaksa melakukan sendiri dengan mesin siklostil untuk memperbanyakkannya.Hari ini semuanya sudah banyak berobah.Guru-guru tidak perlu lagi bersusah payah kerana teknologi moden banyak membantu menyenangkan urusan kerja harian.Demikian imbasan pengalaman masa lalu.Teknologi menjadi alat yang sangat penting untuk kecekapan bekerja, mengurangkan penggunaan tenaga dan menjimat masa tetapi yang namanya manusia tetap tidak berpuas hati dengan setiap kebaikan.

Sumber Manusia

Pembangunan teknologi yang hebat tidak akan memberi manfaat kepada organisasi sekiranya sumber manusianya tidak di bangunkan secara beradab.Demikian juga dengan kehidupan globalisasi tanpa batas dan sempadan memerlukan kekuatan diri untuk menyaring setiap maklumat dengan sah dan akurat. Penggunaan ICT untuk pembangunan insani dalam berbagai perspektif ilmu meneroka kemajuan dunia sangat menguntungkan pelajar sekali gus mendatangkan manfaat besar kepada negara dalam jangka masa panjang.Justeru melengkapi sumber manusia dengan ilmu dan kemahiran yang sophistikated bersandarkan nilai intelektual yang luhur menjadi kunci kecemerlangan organisasi. Abad digital yang sedang kita lalui dalam kurun ke 21 seharusnya menjadi pemangkin kemajuan ilmu bukannya terlena dengan hidangan maklumat yang melalaikan diri.Teknologi tidak salah tetapi pelakunya yang menyalahguna  untuk kepentingan diri.Analogi mudah jika pisau berada pada tangan Doktor ia  untuk membedah pesakit tetapi sekiranya di tangan perompak pastinya untuk menyamun dan membunuh orang.


Ta'akul Minda,
Che Yahya Che Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut, Kuala Lumpur.
Rab 7 Mei, 2014.
csyahya victory.



No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...