Saturday, May 24, 2014

Kemusykilan PBS

Sekiranya ibu bapa bertanya kepada guru atau pihak sekolah mengenai PBS mampukah kita memberikan penerangan dengan bijak dan berkesan? Bagaimana PBS dilaksanakan di sekolah? Apa itu Pentaksiran Sekolah (PS),Apa dia Pentaksiran Pusat? Bagaimana pengoperasian Pentaksiran Tingkatan 3 dilaksanakan bagi mengganti PMR ? Jika berlaku perbezaan skor dalam subjek-subjek tertentu bagaimana kita mampu memberikan ulasan dan jawapan secara profesional kepada mereka? Sekiranya ibu bapa tidak berpuas hati dengan markah yang di perolehi anak mereka bolehkan kertas jawaban di semak semula seperti amalan dalam PMR?. Demikian beberapa kemusykilan yang sedang menerjah dalam fikiran saya mengenai kemungkinan yang bakal di terima pada penghujung tahun nanti.

Bersedia dengan jawaban 

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dilaksanakan berasaskan PELAPORAN bukannya PENSIJILAN. PBS sebenarnya menilai seluruh aspek murid berdasarkan kebolehan dan kecenderungan minat mereka. Justeru dalam Pentaksiran Tingkatan 3(PT3) terdapat mata pelajaran tertentu yang dilaksanakan secara lisan dan bertulis iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris  (lihat artikel saya pengoperasian PBS),menggunakan pelbagai instrumen seperti Sejarah dan Geografi,  penilaian PAJSK semasa pentaksiran sekolah dan Psikometrik bagi menentukan minat dan kecenderungan murid.Ibu bapa berhak mendapat penerangan jelas mengenai pelaksanaan PBS terutamanya PT3 yang menjadi asas utama pemilihan pelajar ke sekolah sekolah berprestij seperti Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Agama,Maktab Rendah Sains Mara (MRSM),Kolej Vokasional dan kemasukan ke Tingkatan 4 pada tahun 2015 nanti.

Panduan Perkembangan
Pembelajaran Murid(PPPM)

Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid(PPPM) digunakan untuk mengganti Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang lebih luwes (fleksibel) bertujuan merancang pentaksiran yang lebih sesuai untuk murid dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) berdasarkan kurikulum kebangsaan. Guru mentaksir kemajuan murid melalui pemerhatian dan penilaian mereka sendiri berpandukan PPPM.Melalui kerangka PPPM guru bebas mentaksir murid mengikut kesesuaian masa dan kaedah mereka sendiri semasa berlakunya PdP di bilik darjah.Dalam  Pentaksiran Sekolah(PS),penilaian murid berdasarkan Band yang di perolehi iaitu 1 - 6.Band tertinggi ialah 6-cemerlang, manakala dalam PT3 menggunakan Gred (A,B,C,D,E,F).Pelaporan keputusan adalah berdasarkan Pentaksiran Sekolah dan PT3 (PS+PT3= Pelaporan).

Pentaksiran Tingkatan 3(PT3)

Pentaksiran Tingkatan 3(PT3) dilaksanakan melalui beberapa kaedah iaitu secara lisan dan bertulis (BM dan BI). Sains,Matematik,KHB, Pendidikan Islam,Bahasa Arab, Bahasa Iban, Kadazan Dusun,Bahasa Tamil, Bahasa Cina, manakala Sejarah dan Geografi melalui pelbagai instrumen (projek,kajian kes, demonstrasi).Pentaksiran Aktivititi Jasmani Sukan dan Kokurikulum(PAJSK) dilaksanakan melalui pentaksiran sekolah yang berlaku secara berterusan (on going) semasa proses pembelajaran dan pengajaran.Pentaksiran Psikometrik dilakukan oleh kaunselor berpandukan instrumen Lembaga Peperiksaan bagi menentukan kecenderungan, kebolehan dan minat murid. Pentaksiran T3 ialah sebahagian daripada PBS yang diuji untuk menilai pencapaian murid dalam aspek akademik berdasarkan pengetahuan,kemahiran dan nilai secara menyeluruh.Semua calon PT3 yang akan menduduki ujian secara bertulis akan di daftarkan secara online dengan Sektor Penilaian dan Peperiksaan (SPP) Jabatan Pendidikan Negeri. Semua Setiausaha Peperiksaan telah di panggil taklimat oleh SPP untuk tujuan tersebut.

Pelaksanaan PT3 

Setiap perubahan mesti ada bantahan dan bangkangan.Dahulu kita di dedahkan dengan KBSM dan KBSR. Ada orang yang memberikan taksiran sendiri dengan "kerja berat sampai mati" atau 'kerja berat sampai rebah'.Sampai bila kita tetap dengan argumen yang tidak mendatangkan manfaat?.Masih saya ingat ketika LP memperkenalkan pendaftaran calon SPM secara online,heboh seluruh negara kerana terpaksa memasukkan data hingga larut malam sampai bergaduh suami isteri.Itulah antara isu yang kerap dikumandangkan oleh rakan-rakan guru dan tidak kurang juga orang awam.Bagi memastikan pelaksanaan PT3 menepati matlamat PBS, LP telah menyediakan 9 instrumen yang perlu dipatuhi oleh pihak sekolah iaitu: Item, Jadual Spesifikasi Ujian (JSU),Format Instrumen, Jadual Penggredan, Panduan Pemasangan Instrumen, Panduan Penskoran Item, Peraturan Pentadbiran dan Format Pelaporan PT3. Kesemua item tersebut merupakan manual prosedur kerja yang menjadi panduan pihak sekolah untuk menjamin ketekalan dan integriti PT3 sebelum pelaporan di keluarkan.Semua calon PT3 akan mendapat keputusan Pelaporan masing-masing melalui pengurusan sekolah yang dijangka pada bulan Oktober nanti.


Che Yahya Che Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut, Kuala Lumpur.
Ahad 25 Mei,2014.
Mantan KPP Penilaian dan Peperiksaan 
JPWP Kuala Lumpur 2001-2009.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...