Friday, May 16, 2014

Guru:Antara Pujian dan Cacian

Dunia pendidikan tidak semegah profesyen lain seperti Peguam,Hakim, Doktor, Ahli Pharmacy, Arkitek, Ir. PTD, Akauntan dan Pegawai Kerajaan lain kerana persepsi masyarakat memandang kerjaya ini sebagai pilihan terakhir untuk mendapat kerja walhal status dan Gred Gaji permulaan tidak jauh berbeza bagi setiap penjawat awam yang berada dalam Kumpulan Pengurusan dan Professional yang bermula dengan Gred M/ DG/ S/ F/ U/ L 41, 44, 48, 52,54, Jusa C,B,A, Turus III dan seterusnya. Senario seperti ini telah lama melekat dalam minda masyarakat sehingga sukar di kikis.Persepsi negatif seperti ini perlu dihindarkan dari pemikiran kita kerana melalui tangan gurulah yang memegang pensil mengajar anak-anak mengenal huruf ,angka dan abjad sehingga mereka menjadi manusia.Tuhan menyanjung tinggi orang berilmu dan mengangkat beberapa derajat dalam kalangan manusia dengan kelebihan tersebut.

Hari Guru

Setiap 16 Mei kita merayakan sambutan Hari Guru bermula dengan Peringkat Kebangsaan,Negeri, Daerah dan Sekolah. Tujuannya untuk meraikan jasa guru yang berkorban memerah idea, tenaga dan keringat mencerdaskan bangsa tanpa pernah mengenal jemu dan kecewa.Setiap tahun orang akan melafazkan sajak Guru Oh Guru karya peninggalan Usman Awang yang sangat signifikan dengan tugas guru sebagai pendidik dalam mewarnai kehidupan masa depan manusia. Setiap individu yang berkecimpung dalam bidang ini pastinya sangat arif dengan karenah dan tatakerama yang berlaku setiap hari di sekolah.Melayan karenah murid dan herdikan segelintir ibu bapa terhadap guru menjadi asam garam dalam dunia pendidikan.Lebih menyedihkan ada dalam kalangan guru yang di tumbuk pelajar dan menjadikan guru sebagai musuh kerana menegur dan memarahi mereka.Kereta guru menjadi mangsa kemarahan pelajar.Sesetengah ibu bapa pula sukar menerima penjelasan mengenai tingkahlaku dan perangai anak-anak mereka yang terbabit dengan pelanggaran disiplin seperti merokok, rambut panjang, bergaduh, datang lewat,ponteng dan bersikap kurang sopan dengan guru kendati pun di sokong dengan butiran salahlaku dan fakta.Bukan itu sahaja malah ada segelintir ibu bapa yang membuat laporan polis dan mengambil tindakan mahkamah kerana tidak berpuas hati dengan pengurusan sekolah.Senario seperti ini seharusnya tidak terdapat dalam kamus pendidikan kerana keinsanan guru mengambil posisi seperti ibu bapa semasa anak-anak berada di sekolah.Guru sanggup menunggu pelajar sehingga lewat senja menunggu ibu bapa menjemput anak mereka di sekolah.Selagi ibu bapa belum tiba guru tidak akan melepaskan pelajar pulang.Demikian mulianya hati guru menganggap muridnya seperti anak sendiri.

Peranan Guru

Tujuan murni pendidikan ialah untuk membentuk kepribadian manusia menjadi seorang yang terpelajar dan berminda positif  melalui pemindahan ilmu yang di curahkan guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran (pdp) di bilik darjah.Bagi membangun manusia terpelajar tentunya melalui peranan guru sebagai penggerak (motivator) untuk membentuk pola laku pelajar yang memiliki kekuatan Jasmani, keunggulan Rohani, kestabilan Emosi dan kemapanan Intelektual (JERI). Justeru penekanan tarbiah semestinya tertuju kearah pembentukan manusia yang berbudaya ilmu, berpandangan luas, mempunyai keluhuran pribadi sesuai dengan ilmu dan kemahiran yang di miliki.Pengurusan dan pentadbiran sesebuah sekolah tentunya tidak sama kerana iklim dan persekitaran kerja tidak serupa walau pun berada dalam satu sistem.Ini adalah hakikat sebenar yang mungkin tidak diketahui oleh masyarakat di luar sana.

Pendekatan Sekolah

Pendekatan sekolah dalam pembangunan iklim pembelajaran menjadi tanggungjawab Pengetua dan para pentadbirnya merangka pelan strategi melalui perancangan aktiviti untuk melihat kekuatan, merefleksi kelemahan, mencari peluang dan mengendurkan ancaman dalam pengurusan organisasi.Sebagai Ketua Jabatan, Pengetua bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembangunan sekolah mereka.Jatuh bangun sesebuah sekolah terletak di bahu Pengetua.Justeru menjadi Pengetua memerlukan keuletan diri,kuat stamina, bermotivasi, beranthusias memajukan sekolah di samping memiliki ilmu,personaliti dan kemahiran mengurus organisasi yang besar dengan ribuan murid, ratusan guru, puluhan staf dan belasan pekerja kebersihan dan beberapa orang petugas keselamatan.Kecuaian dan kelalaian mengurus pastinya mengundang risiko kepada setiap warga sekolah yang akhirnya menjejaskan reputasi Kementerian Pendidikan sebagai agensi pusat yang bertanggungjawab kepada pengurusan pendidikan negara.

Orang Mukhlassin

Orang yang  mukhlassin tidak mengharapkan pujian dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap pembentukan generasi bangsa.Puji-pujian hanya akan meningkatkan rasa bangga diri yang di pengaruhi oleh bisikan hati seperti  riak,ujub dan takabur.Setiap pekerjaan yang disertai dengan niat yang ikhlas akan mendapat ganjaran berlipat kali ganda disisi Tuhan, datangnya dalam berbagai bentuk yang tidak diketahui manusia.Janji Allah pasti benar berlaku. Sekali pun benar  orang memuji atas setiap kejayaan cukuplah dengan lafaz Alhamdulillah kerana pujian itu bukan milik manusia tetapi HAK Allah, Tuhan semesta alam.Bukan perkara mudah untuk menghilangkan rasa hati dari ingin di puji kerana sifat manusia memang suka di puji , tetapi tidak mustahil jika pengurusan hati dilatih dengan pengisian penuh ikhlas lama kelamaan sifat yang tidak di sukai Tuhan itu akan lenyap dari perasaan.Bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan beramal lah kamu seolah-olah  kamu akan mati esok hari.

Pujian dan Cacian

Antara pujian dan cacian menjadi permainan bibir dan perbuatan lidah yang tidak bertulang. Oleh kerana lidah memang tidak bertulang, permainan lidah boleh bertukar dalam sekelip mata dari mengucapkan pujian kepada cacian hanya kerana sedikit kesilapan yang dilakukan.Dalam Bahasa Inggeris mengikut terjemahan saya " Dry for the whole year but spoiled in a days rain" Panas setahun terhapus disebabkan hujan sehari. Oleh kerana  pendidikan itu menjadi ukuran kepribadian manusia, tugas mendidik tidak pernah berpenghujung hatta kita telah menamatkan perkhidmatan.Tugas sebagai Murabbi, Muallim, Muaddib,Mudarris dan Mursyid menjadi penyuluh cahaya menuntun manusia mencari jalan kebenaran sepanjang zaman.Orang berilmu dipandang mulia kerana ilmu menjadi hiasan diri sebagai tunjang pribadi yang berpaksikan redha Ilahi.

 

Mulianya hati guru seperti seorang ibu.
Sumber gambar: suarainsan.net


Renungan.
Che Yahya Che Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut, Kuala Lumpur.
Sab 17 Mei,2014.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...