Wednesday, September 28, 2011

Bahasa Melayu asas kemerdekaan kita
Oleh Teo Kok Seong
2011/09/28

Penggantian bahasa dalam sistem pendidikan mengupayakan bangsa

ANTARA asas penting kemerdekaan sesebuah negara ialah bahasa negaranya, yang sama ada wujud dalam bentuk bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi dan lebih baik lagi sekiranya dalam bentuk kedua-duanya. Melalui bahasa negara sendiri inilah, negara yang merdeka itu tidak perlu lagi mengikut telunjuk penjajah yang memaksa semua pihak menggunakan bahasanya untuk pelbagai tujuan.

Sesungguhnya paksaan ini adalah sejenis perhambaan. Ini dapat dilihat ketika kita dijajah oleh British yang mengenakan bahasa Inggeris ke atas semua pihak, sebagai bahasa rasmi. Penggunaan bahasa Melayu jika dibenarkan, perlu terlebih dulu diungkapkan gagasannya dalam bahasa Inggeris sebelum diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, walaupun untuk pemahaman sesama orang Melayu. Ini bukan saja tidak masuk akal, malah menghina sekali.
Namun itulah hakikatnya apabila dijajah. Ketika penjajahan British, kekayaan ekonomi kita diambil dan kuasa politik kita dilesapkan. Khazanah budaya kita pula dibawa keluar. Yang paling malang lagi ialah destini bangsa dan negara kita ikut berada di tangan mereka.
Ketika penjajahan, kita bukan saja dikehendaki menggunakan bahasa Inggeris, tetapi perlu mengamalkan budaya Inggeris yang tersemat di dalam bahasa itu. Selepas sendawa misalnya, kita perlu memohon maaf kerana perbuatan tabii yang tidak disengajakan itu dianggap jijik dalam budaya Inggeris.

Ini berlainan sekali dengan budaya Melayu yang berteraskan ajaran Islam. Perbuatan luar kawalan yang membabitkan angin dikeluarkan dari perut melalui mulut dengan bunyi ini perlu disyukuri. Ia tanda nikmat daripada Yang Maha Esa.

Sehubungan ini, bahasa Inggeris bukan sekadar sistem komunikasi, ia adalah juga cara hidup. Dalam hal ini, kita mungkin pernah didenda oleh guru bahasa Inggeris apabila tidak segera memohon maaf selepas sendawa dan bersin, dan oleh guru besar kerana menggunakan bahasa Melayu dan bukannya bahasa Inggeris dalam kawasan sekolah.

Perbincangan sebegini bukan bermaksud untuk menimbulkan perasaan seteru terhadap bahasa Inggeris. Ia sebenarnya ingin menjurus kepada persoalan jati diri, lebih-lebih lagi jati diri budaya. Dalam hal ini, bahasa adalah lambang paling dekat, selain yang sejagat sifatnya kepada jati diri.
Sehubungan ini, menjadi sifat alamiah bagi sesebuah kelompok itu untuk bukan saja menggunakan bahasanya sendiri. Tetapi yang lebih penting lagi ialah untuk melihat bahasanya itu terus berkembang maju membina tamadun untuk bangsanya. Dalam hal ini, sudah tentu kelompok berkenaan tidak mahu menerima bahasa pihak lain yang dipaksakan penggunaannya ke atas mereka, walaupun ketika dijajah, apatah lagi selepas merdeka.

Sehubungan ini, pada kelazimannya, dalam zaman selepas penjajahan ada penentangan kuat daripada penduduk pribumi untuk tidak meneruskan penggunaan bahasa penjajah. Sebaliknya wujud sokongan teguh untuk menggunakan bahasa sendiri.

Berbeza dengan kebanyakan bekas tanah jajahan Empayar British, yang rata-rata terus menggunakan bahasa bekas penjajah itu, kita memilih untuk menggantikannya dengan bahasa Melayu. Ini dilakukan untuk melindungi jati diri budaya bangsa Melayu sebagai kelompok asal bumi ini. Ia juga mengambil kira bahasa Melayu sebelum zaman penjajahan, adalah sebuah bahasa besar di sebelah dunia di sini.

Pemilihan bahasa Melayu adalah langkah yang dapat mengembalikan maruah bangsa Melayu selepas dihina dan ditindas ketika penjajahan. Sesungguhnya penjajahan oleh British itu sudah membantut perkembangan bahasa Melayu. Pada masa itu, bahasa Melayu menjadi hanya bahasa pertuturan di rumah dan bahasa pendidikan di beberapa buah sekolah rendah saja.

Penggantian bahasa Inggeris oleh bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan selepas merdeka, tidak dapat dinafikan adalah antara cara utama untuk mengupayakan bangsa Melayu yang menjadi lemah ketika penjajahan. Sehubungan ini, bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa ilmu utama dalam sistem pendidikan kebangsaan pada 1983.

Dua peperiksaan besar yang sebelum ini ditawarkan dalam bahasa Inggeris juga ditukarkan kepada yang dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu, iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Sehubungan ini, nilai bahasa Melayu yang paling penting ialah pelajar perlu memperoleh gred kepujian untuk dianugerahkan sijil SPM. Bahasa Melayu juga dijadikan prasyarat untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi, dipertimbang untuk bekerja dalam sektor awam dan segala macam peluang yang lain.

Sesungguhnya kemerdekaan pada 1957 itu menyelamatkan bangsa Melayu dan budaya mereka daripada terus ranap di bawah penjajahan British. Daripada sebuah bangsa yang memiliki sejarah gemilang, bebas dan gagah, oleh sebab penjajahan, orang Melayu berubah menjadi bangsa yang lemah.

Kini selepas merdeka, orang Melayu tidak boleh sekali-kali menggadaikan jati diri budaya mereka dalam apa-apa bentuk jua, dengan misalnya menggunakan bahasa pihak lain, yakni bahasa Inggeris, untuk mengendalikan kegiatan budaya tinggi mereka. Antara yang terpenting ialah pendidikan, walaupun untuk mengajar sesetengah mata pelajaran, apatah lagi yang penting seperti sains dan matematik.

Mereka perlu terus menggunakan bahasa Melayu bukan saja untuk memperkaya warisan budaya sendiri, tetapi lebih penting lagi untuk membina peradaban negara ini.

Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : Berita Harian 28 September 2011

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...