Friday, September 5, 2014

Rasa Hati Pengetua

Dunia pendidikan semakin mencabar dalam abad globalisasi yang tidak mempunyai sempadan.Perkembangan teknologi yang begitu pesat menjadi salah satu sarana meningkatkan pembangunan diri selari dengan perubahan dunia.Sekolah sebagai institusi pendidikan formal bertanggungjawab membangun daya intelektual dan rohani pelajar melalui pelbagai program dan aktiviti yang dirancang secara sistematik dan strategik selari dengan misi dan visi yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.Pengetua bertangggungjawab terhadap pembangunan dan kemajuan sesebuah sekolah menjadi organisasi yang unggul,cemerlang dan berprestij bagi melahirkan modal insan syumul memenuhi tuntutan JERI seperti mana termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Ini matlamat dan objektif sebenar pendidikan untuk membangun potensi manusia menjadi modal insan yang holistik.

 

Tanggungjawab Pengetua

Pengetua sebagai pemimpin, pengurus dan pentadbir menjadi indikator kecemerlangan sesebuah organisasi.Sekolah-sekolah yang memperolehi kejayaan di pimpin oleh pengetua yang dinamik,cekap,berwibawa,berkesan mempunyai kejujuran dan integriti  tinggi yang boleh dipercayai.Kemeruduman sekolah juga di sebabkan kepimpinan pengetua kerana beliau menentukan mekanisma yang sesuai untuk mencapai matlamat terbaik bagi sesebuah organisasi.Kekuatan dan kelemahan sesebuah organisasi bergantung kepada gaya dan corak kepimpinan seseorang ketua yang diterjemahkan dalam amalan pengurusan seharian.Pemimpin berkarisma mempunyai kompetensi menggerak dan mempengaruhi pengikutnya untuk bersama-sama bekerja memajukan sekolah tanpa berasa terpaksa dan dipaksa kerana mereka menyedari tugas dan tanggungjawab merupakan amanah yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin untuk merealisasikan matlamat yang di gariskan.

Pelbagai fungsi

Peranan Pengetua sebagai ketua organisasi sekolah tidak terbatas kepada aspek akademik semata tetapi merangkumi semua elemen pengurusan seperti struktur organisasi, pentadbiran pejabat,pengurusan kurikulum, pengurusan sumber manusia, pengurusan hal ehwal murid, pengurusan ko kurikulum/sukan, kemudahan infrastruktur, pengurusan kewangan, hubungan komuniti dan pelbagai fungsi yang lain untuk menjamin kelestarian kesinambungan pendidikan tetap ungggul dan berwibawa.Membangun dan membina organisasi berkualiti menuntut pemimpinnya berfikir secara dinamik dan futuristik untuk menghadapi cabaran globalisasi dalam segala aspek kehidupan.Setiap orang pengetua berautoriti melaksana dan merealisasi dasar yang telah di tetapkan Kementerian. Autoriti bukan bermakna seseorang ketua boleh bertindak secara autokrasi dalam membuat sebarang keputusan  melangkaui skop yang dibenarkan bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian organisasi.

Pendekatan pengurusan

Setiap pemimpin mempunyai kaedah dan cara pengurusan tersendiri.Mereka mempunyai persepsi berbagai dalam pengurusan organisasi.Teori pengurusan hanyalah sebagai panduan yang penting  ialah pendekatan pemimpin membawa organisasi mencapai matlamat. Saya secara pribadi menggunakan kaedah Management by Objective, Management by Walk, Based on trust, Happy at Work dalam pengurusan harian yang lebih berfokus kepada mengajak anggota sama-sama bekerja secara berkesan memajukan organisasi.Pengetua perlu menunjukkan contoh dalam mengurus dan mentadbir.Berlembut tetapi tegas menguatkuasakan peraturan menjadikan seseorang ketua di hormati dan di segani. Dalam pengertian mudah "bercakap serupa bikin dan bikin seperti cakap" . Sekiranya amalan seperti ini tidak dapat diterjemahkan janganlah menaruh harapan organisasi akan berproduktif. Pendekatan mesra murid, mesra guru, mesra ibu bapa merupakan salah satu elemen mengekalkan pencapaian sekolah walaupun kita terpaksa mengorbankan masa,tenaga dan fikiran tanpa mengira batasan waktu.Konsekuensinya ialah kepuasan bekerja yang dinikmati tidak boleh di ukur dengan nilai materi.

Mengurus manusia

Berurusan dengan manusia terlalu mencabar kepimpinan seseorang ketua. Kepelbagaian karenah dan perangai yang di temui setiap hari menjadi asam garam kehidupan.Keseimbangan emosi dan pemikiran menjadi penawar dalam pengurusan. Ramai bijak pandai ingin mengajar guru tetapi ironinya anak-anak mereka sendiri pun tidak terurus dengan sempurna.Sesetengah ibu bapa menyalahkan pihak pentadbiran walau pun semua bukti dan eviden lengkap mengenai salah laku disiplin anak-anak mereka di sediakan pihak sekolah.Paling tidak selesa terdapat segelintir pegawai (guru yang bertugas di Pejabat Pendidikan ) mempersoalkan depan ibu bapa siapa lebih besar, sekolah atau pegawai jika kita tidak menerima pelajar bermasalah yang di hantar kembali untuk bersekolah sedangkan kes-kes disiplin pelajar perlu di pindahkan ke sekolah lain.Perkara ini dimaklumkan oleh ibu bapa yang datang ke sekolah bersama borang pertukaran yang ditanda tangani oleh penyelia yang bertanggungjawab. Bertindak secara profesional dalam membuat keputusan menjadi epitom setiap penjawat yang memegang teguh teras perkhidmatan awam bukannya mempersoalkan status dan bidang kuasa secara dangkal bagi memaksa pihak sekolah menerima semula pelajar yang mempunyai rekod disiplin berat

Pengurusan keselamatan

Pengurusan keselamatan yang tidak pernah selesai menambahkan lagi kerumitan tugas pengetua bagi memastikan persekitaran sekolah tetap terurus, terkawal dan selamat.Walau pun berbagai cara di lakukan termasuk melapor kepada pihak berwewang dan berjumpa sendiri dengan pihak pengurusan syarikat , namun tidak ada sebarang perubahan.Keselamatan pelajar tidak boleh di kompromi walaupun berbagai justifikasi diberikan.Pengawal Keselamatan tidak memenuhi spesikasi dan tidak bertanggungjawab telah diambil bekerja menjadi Jaga Sekolah.Kita berharap jangan ada pihak yang menyalahkan sekolah sekiranya berlaku perkara tidak diingini.Tabiat masyarakat kita saling tuduh menuduh antara satu sama lain bila berlaku sesuatu kejadian atau peristiwa yang merugikan. Sebenarnya pengalaman seperti ini cukup mendewasakan kita sebagai pemimpin organisasi yang memerlukan kesantunan ilmu dan ketinggian budi untuk merungkaikan masalah yang di hadapi dengan matang dan  profesional.

Kaedah IPTA

Kaedah yang diamalkan oleh institusi awam dan swasta sangat praktikal untuk menentukan kecemerlangan pelajar dengan mengenakan pra syarat kehadiran pelajar  ke sekolah sekurang-kurangnya 75% bagi melayakkan mereka menduduki setiap peperiksaan.Langkah ini walau pun nampak terlalu berat tetapi sangat berkesan untuk membentuk integriti pelajar lebih bertanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masa depan mereka sendiri.Masyarakat di luar sana mungkin tidak mengetahui guru-guru terpaksa menjejaki pelajar ke rumah bagi menyiapkan tugasan dan kerja kursus semata-mata demi masa depan mereka.Ibu bapa tidak pernah mempersoalkan peraturan di Universiti terhadap anak-anak mereka. Masa depan pelajar bergantung kepada diri sendiri dan instititusi pengajian yang mereka hadiri selama 4 tahun bagi memperolehi segulung ijazah.Pihak pengurusan memperkenalkan beberapa langkah seperti mengumumkan nama-nama pelajar yang tidak hadir ke sekolah melalui perhimpunan pagi,mendenda mereka yang lewat  dengan membuat karangan dan memaklumkan kepada ibu bapa pihak sekolah menutup pintu pagar selepas jam 7.30 pagi namun masih belum mencapai kehadiran penuh.Mewajibkan setiap pelajar hadir ke sekolah seperti amalan sekarang kurang berkesan kerana kadar ponteng tetap tinggi kecuali mereka yang berada di sekolah berasrama penuh dan sekolah-sekolah kawalan seluruh negara.

Rumusan

Pemimpin berwawasan mempunyai idealisma yang tinggi, berkeupayaan merubah senario dan budaya kerja setiap anggota organisasi menuju matlamat menjadikan sekolah berintegriti,berwibawa dan di segani. Apabila budaya pemimpin lebih mementingkan pencapaian organisasi bermakna dia sanggup berkorban untuk kesejahteraan seluruh warga dalam membuat sebarang keputusan. Natijahnya dapat dilihat melalui pencapaian sekolah dalam bidang-bidang utama iaitu peningkatan dari segi akademik,ko kurikulum,hal ehwal murid dan seluruh pembangunan fizilkal sekolah menjadi tanda aras kecemerlangan.


Che Yahya Hj Che Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut, Kuala Lumpur.
Sabtu 6 September,2014.

2 comments:

  1. Penulisan yang cukup baik dan bisa memandu para pengetua sekolah di mana saja untuk memajukan sekolah masing2.......
    dari sahabatmu hamsa iksan alias safuddin ihsan

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah.Semoga memberi semangat kepada saya untuk terus mengembangkan pemikiran dalam pembangunan pendidikan. Baru tahu ada dua nama. Tq. Hebat Drs. Hj Hamsa Ihsan@Safuddin Ihsan lulusan USU Medan ni.

    ReplyDelete

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...