Monday, September 29, 2014














DATUK Dr Khair Mohamad Yusof membuat tinjauan dewan peperiksaan ketika beliau hadir membuat lawatan persediaan ulangan UPSR di SK Taman Tun Dr Ismail 1, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aizuddin Saad


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan berpuas hati persediaan yang dilakukan pihak sekolah bagi menghadapi peperiksaan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi kertas soalan yang bocor, pada esok dan 9 Oktober ini. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, berkata guru besar dan guru sekolah telah melakukan tugasan sewajarnya termasuk penyediaan bilik peperiksaan supaya calon dapat menduduki peperiksaan itu dengan baik dan selesa. 

"Saya juga dimaklumkan bahawa guru besar dan guru-guru ini turut memberi motivasi dan galakan kepada murid, melakukan pelbagai program untuk terus membantu calon," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke lima sekolah di sekitar ibu kota.

Bertujuan melihat persediaan sekolah dan murid untuk menghadapi peperiksaan ulangan itu, lawatan itu membabitkan Sekolah Kebangsaan Jalan Bellamy, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Jalan Davidson, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil St Joseph, Sekolah Kebangsaan Sentul 1 dan Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (1). 

Khair juga memaklumkan bahawa berdasarkan perbualannya dengan murid sekolah, mereka berkata telah bersedia untuk menduduki peperiksaan ulangan itu dan berazam mendapat keputusan yang baik. 


DATUK Dr Khair Mohamad Yusof memberi kata-kata motivasi kepada calon UPSR ketika beliau hadir membuat lawatan persediaan ulangan UPSR di SK Taman Tun Dr Ismail 1, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aizuddin Saad 

"Ada juga murid yang memberitahu peperiksaan ulangan adalah peluang kedua untuk mereka lakukan penambahbaikan," kata Khair sambil menasihatkan semua calon supaya tidak berasa bimbang sekiranya mereka telah melakukan ulang kaji secukupnya.

Beliau berkata, calon dan ibu bapa serta pihak lain perlu sedar bahawa peperiksaan ulangan itu dibuat bagi memastikan kredibiliti dan integriti UPSR, dan calon boleh berbangga bahawa keputusan yang diperoleh kelak adalah keputusan tulen. 

Bagi memastikan kelicinan dan tiada insiden kebocoran kertas peperiksaan, Khair memaklumkan pihaknya telah mempertingkat prosedur operasi standard (SOP) pengurusan kertas soalan bermula proses penggubalan dan percetakan hingga ke aspek penyimpanan dan pengedaran ke bilik peperiksaan. 

"Kita juga memastikan mereka yang mempunyai akses kepada kertas soalan juga dihadkan jumlahnya supaya tidak berlaku insiden ada yang terlihat soalan," katanya.


KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof (kanan) membantu murid-murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Jalan Bellamy, Kuala Lumpur, membuat persediaan peperiksaan ulangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ketika melawat sekolah berkenaan di sini, hari ini.

Bagi mata pelajaran Sains, Bahasa Inggeris tarikh peperiksaan semula ditetapkan pada 30 September dan bagi mata pelajaran Matematik, Bahasa Tamil ditetapkan pada 9 Oktober 2014. - Foto Aizuddin Saad

Khair juga menjelaskan bahawa calon yang tidak hadir pada peperiksaan ulangan akan direkodkan sebagai 'T' iaitu 'Tidak Hadir' dan menurutnya, ini akan menyebabkan calon tidak dapat mengetahui tahap pencapaian dalam mata pelajaran berkenaan.

Peperiksaan ulangan kertas Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 serta kertas Sains 018, 028 dan 038 dijadual berlangsung esok.

Tarikh baharu bagi ujian Matematik 015/1, 025/1, 035/1 dan Bahasa Tamil 036 dan 037 pula ditetapkan pada 9 Oktober.

Sebanyak 472,853 murid menduduki UPSR tahun ini di seluruh negara. 

- BERNAMA 

Berita Harian Online
Isnin 29 September,2014.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...