Sesungguhnya pekerjaan yang paling mulia disisi Tuhan ialah mengajar dan mendidik manusia mengenal ilmu.Permulaan perintah menyuruh manusia mengenal ilmu ialah melalui IQRA' bermaksud baca. Manusia pertama diajar Allah SWT ialah Nabi Muhammad SAW. Peristiwa di Gua Hira' menjadi bukti autentik kebenaran wahyu yang disampaikan Tuhan kepada Baginda. Malaikat Jibril diperintah Allah mengunjungi NabiNya Muhammad SAW menyampaikan watikah kenabian melalui AlQur'an yang mulia bertujuan mengajar manusia mengenai ilmu pengetahuan sebagai sarana mengenal Tuhan pencipta manusia dan alam semesta.
Anjuran mencari ilmu
Manusia memerlukan ilmu pengetahuan untuk meneruskan kehidupan dari belenggu kejahilan.Islam menganjurkan manusia menuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad ,bermakna proses pendidikan tidak terhenti selagi manusia masih bernafas. Anjuran mencari ilmu merupakan suruhan yang paling murni untuk mendidik manusia menjadi hamba Tuhan berintegriti . Indahnya ilmu mengajar manusia memilih jalan kehidupan sebagai sistem cara hidup yang syumul ("way of life") sesuai dengan perintah Tuhan " Tunjukilah kami jalan yang lurus" dalam setiap tindakan dan perbuatan. Allah memberi kedudukan yang tinggi dengan kelebihan beberapa darjat kepada orang berilmu dalam kalangan hamba-hambaNya . Permohonan kepada Tuhan tidak seharusnya semasa solat sahaja tetapi perlu diaplikasi dalam setiap gerak kerja semasa berurusan di pejabat, sekolah dan organisasi awam yang memberikan amanah melaksanakan tugas dan tanggungjawab melalui ganjaran (gaji ) yang diterima setiap bulan.
Sumber Gambar: cikgufizik.com
Keikhlasan dan kepercayaan
Ungkapan ikhlas senang dilafazkan tetapi sangat berat untuk dilaksanakan kecuali bagi mereka yang benar-benar bersih dan suci hatinya. Ada ketikanya hati berasa seperti tidak ikhlas melakukan sesuatu tugas tetapi kerana terpaksa mesti dilaksanakan juga. Melakukan sesuatu suruhan kerana terpaksa umpama bidalan seperti melepaskan batuk di tangga sahaja.Jika amalan seperti ini berleluasa sudah pasti produktiviti sesebuah organisasi merosot dan merudum . Keikhlasan dan kepercayaan merupakan dua elemen yang perlu dimiliki setiap penjawat awam samada pegawai, guru, pengurus, pemimpin dan ketua bagi menjamin kecemerlangan sesebuah organisasi.
Jangan jadi guru kerana terpaksa
Membangun minda manusia berilmu dan berintegriti merupakan matlamat utama pendidikan.Orang yang bertanggungjawab mewarnai kehidupan pelajar ialah ibu bapa,guru ,masyarakat dan penguasa. Tugas guru sangat mulia kerana mendidik dan mengajar mengenal tulis, baca dan mengira. Menjadi guru kerana terpaksa menyebabkan anak didik merana kerana bekerja bukan dari hati pasti menjejaskan reputasi ,mencemarkan personaliti dan imej diri.Memilih profesyen perguruan sebagai kerjaya alternatif kerana tidak mendapat pekerjaan lain,sedikit sebanyak mempengaruhi pedagogi dan kecemerlangan pendidikan negara.Tugas guru bukan "trial and error" kerana kerjaya ini memerlukan personel yang benar-benar mencintai dunia ilmu sehingga sebati dengan dirinya menjadi pendidik sejati (sengoti).
Guru sejati
Guru sejati tetap dikenang kendatipun (walau pun) ia telah kembali menemui Illahi. Jasa dan khidmat bakti semasa hayatnya terus mengalir umpama anak sungai yang tidak pernah putus membawa pahala yang berkekalan disisi Tuhan.Subhanallah. Di sekolah berlaku proses pedagogi secara ilmiah sementara di rumah pula menerusi pendidikan keluarga yang mencorak rupa bentuk tingkahlaku pelajar. Kesepaduan hubungan antara peranan guru dan ibu bapa menjadi indikator kemajuan pelajar. Kepercayaan ibu bapa kepada sekolah tidak perlu dicurigai kerana semua guru mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing. Ditangan guru lahirnya ulama, umarak ,pemimpin dan ribuan cendekiawan yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing. Hargailah setiap jasa guru yang mendidik tanpa jemu sehingga manusia mampu mengenal ilmu untuk membina sebuah kehidupan yang diredhai Tuhan.
Don't force yourself to be a TEACHER.
cetusan minda
Che'Yahya Che'Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Ahad 16 Disember,2012.
No comments:
Post a Comment