Sekolah-sekolah 'parah' dipastikan dapat cukup peruntukan - Muhyiddin
KUALA LUMPUR 18 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan
memastikan projek-projek penambahbaikan sekolah terutamanya yang
dilaporkan 'parah' menerusi audit fizikal mendapat peruntukan mencukupi.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, untuk tujuan itu, beliau telah
mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Rosli Mohamed
memperuntukkan sebahagian daripada peruntukan yang diterima khusus bagi
melaksanakan projek penyelenggaraan sekolah.
Usaha itu katanya, bagi menjamin bangunan-bangunan sekolah sentiasa berkeadaan baik, sempurna dan selamat.
''Adalah penting untuk memiliki infrastruktur dan kemudahan-kemudahan
yang lengkap dan baik serta berkualiti agar proses pembelajaran dapat
dijalankan dengan selesa. Dua tahun lepas kementerian mengambil
inisiatif membuat audit fizikal sekolah seluruh negara. Ia telah pun
siap.
''Daripada lebih 10,000 buah sekolah (diaudit), sebanyak 600 buah
sekolah dilaporkan berada dalam keadaan cukup parah. Disebabkan itu
projek-projek penambahbaikan khususnya di Sabah dan Sarawak, kita perlu
tentukan mereka dapat sejumlah peruntukan yang mencukupi.
''Namun, daripada jumlah bajet yang diperuntukkan kepada kementerian,
ia tidak dapat menampung kesemua sekolah-sekolah itu dan usaha
mengadakan peruntukan dilakukan pada tahun-tahun akan datang,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penyerahan bantuan
khas di bawah Pakej Rangsangan Khas (PRK) kepada sekolah-sekolah seluruh
negara di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di
sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, usaha menambah baik
kualiti infrastruktur di sekolah diharap dapat meningkatkan mutu
pendidikan negara.
''Sememangnya ada kaitan antara mutu pendidikan dengan suasana
pembelajaran di sekolah-sekolah. Mungkin bangunan sekolah yang baik dan
situasi selamat ini akan memberikan keselesaan kepada guru dan
pelajar,'' jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, aspek bantuan persekolahan
terus diberi perhatian dengan sejumlah RM2.8 bilion diperuntukkan bagi
membiayai 21 jenis bantuan yang memberi faedah kepada 5.4 juta pelajar.
Segala bentuk bantuan yang bersesuaian katanya, telah diberikan kepada sekolah berdasarkan kemampuan semasa kerajaan.
''Ini membuktikan bahawa kerajaan sangat menekankan aspek pembangunan
modal insan dan semua golongan mendapat pembelaan sewajarnya terutama
mereka daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah termasuk mereka
yang kurang upaya.
''Langkah ini bagi memastikan golongan tersebut berpeluang memperoleh
akses pendidikan berkualiti dan seterusnya memperbaiki masa depan
mereka supaya menjadi insan yang berguna kepada negara,'' ujarnya.
Beliau berkata, Kementerian Pelajaran sentiasa bertindak secara
pragmatik dan bersikap realistik dalam menangani cabaran-cabaran yang
dihadapi pelbagai kategori sekolah.
Utusan Malaysia Online 19/5/2012
No comments:
Post a Comment