Friday, May 11, 2012

Mengharap Sinar Menelan Kabus

Penyanyi veteran Allahyarham Dato' Ahmad Jais  mengalunkan lagu 'Mengharap Sinar Menelan Kabus'   sungguh  mendayu dan lunak merdu  memecah  kesunyian  desa . Suaranya yang gemersik bak dedaunan  ditiup angin   membangkitkan  nostalgia indah kehidupan dikampung halaman dipinggiran sungai. Bagi siapa yang membesar bersama lagu tersebut  sudah tentu menghimbau  memori silam  kerana corong corong radio ketika itu sering memutarkan nyanyian Allahyarham dan rakan seangkatan dengannya seperti  Datin  Rafeah Buang,  A. Ramlee, L. Ramli , Jefriddin, A. Halim  dan ramai lagi  . Lagu lagu era 60an dan 70an banyak meninggalkan kesan kepada  generasi X kerana bait-bait yang tersusun indah menggambarkan suasana kehidupan masyarakat  yang berbudaya luhur  bertunjangkan nilai budi dan adat resam yang tinggi . 





Sumber:Youtube
Mengharap sinar menelan kabus



 
 Allahyarham Dato' Ahmad Jais
memiliki suara emas yang sukar dicari ganti
Gambar : Internet

Kehidupan sebuah masyarakat yang sejahtera dan harmoni menjalin muafakat sesama warga  bergotong royong  dalam semangat muhibbah mencerminkan kesatuan dan kesepaduan cita cita memajukan kampung halaman mereka. Modal sosial yang membudaya sejak sekian lama menjadi amalan terpuji  masyarakat desa . Para petani, penoreh dan pekebun menuju ladang dan sawah bendang masing masing menjalankan tanggungjawab kepada keluarga sementara anak anak berjalan kaki menuju sekolah sejauh 3 kilometer melalui jalan tanah merah  dengan harapan  sinar akan menelan kabus . Hanya melalui pendidikan sahaja yang mampu merubah peradaban manusia untuk mentransformasi kehidupan.

Merindui kedamaian desa



Gambar hiasan: Sawah hijau menguning mewarnai kehidupan 
masyarakat desa yang setia berbudi kepada tanah.

Ikatan persahabatan akrab  mesra,  terjalin padu sehinggakan jika terdapat anak anak  yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STP  (MCE, HSC) seluruh kampung   turut sama meraikan kejayaan mereka  . Orang dahulu mengadakan majlis "Minum Teh"  untuk memohon  sumbangan bagi menampung keperluan yuran anak mereka yang  berjaya ke Universiti. Pendapatan seorang petani yang kais pagi makan petang  sudah tentu tidak mampu menampung perbelanjaan anak-anak ke Pusat Pengajian Tinggi . Demikian indahnya ekosistem kehidupan masyarakat desa  dalam beberapa  dasawarsa  yang perlu dilestarikan .  Keluhuran budi ayah ibu sanggup  menggadai sekeping tanah hasil titik peluh semata mata mengharapkan sinar menelan kabus   merupakan ikhtiar terakhir  demi masa depan anak mereka. Bagi mereka yang bernasib baik mendapat biasiswa, sekurang kurangnya dapat meringankan beban keluarga selama tempoh pengajian. Semangat ingin maju walau pun dihimpit kemiskinan sungguh  mewarnai kehidupan masyakat desa pada masa dulu. Kerinduan kedamaian desa yang tenang bersama sawah menguning dan air sungai yang jernih menggamit nostalgia yang sukar dilupakan walau pun sudah berhasil  membina kehidupan dikota yang serba moden.


Air sungai yang jernih menggamit 
nostalgia kehidupan
di Desa yang tenang dan damai.
Gambar :internet.


Mengenang jasa ibu , ayah


Allahyarham Sudirman mendendangkan lagu "Ayah dan Ibu itulah permulaan kami" sungguh menusuk qalbu bila di hayati setiap bait yang disampaikan dengan penuh penghayatan.  Setitik air susu ibu yang masuk ke mulut tidak mampu dibalas hatta dengan segunung intan . Benarlah syurga itu ditelapak kaki ibu. Jasa ayah dan ibu membesar dan mendewasakan kita sehingga menjadi seorang manusia yang berilmu, berintelek,  bercendekiawan, mendapat jawatan  dan kedudukan istimewa dalam masyarakat berkat doa mereka yang tidak kita ketahui. Doa ibu ayah tiada hijab (dinding) disisi Tuhan . Justeru sebagai anak yang soleh menjadi tanggungjawab  kita memuliakan mereka kerana redha Allah bergantung kepada redha kedua ibu bapa. Orang yang berbakti kepada ibu bapa sudah pasti Tuhan akan memberkati kehidupan mereka. Santunilah ibu ayah kerana mereka berdua permulaan hidup kita di dunia.

Che' Yahya Che' Soh
sekadar luahan minda.  
12 Mei 2012

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...