Thursday, May 3, 2012

Pengalaman Tan Sri Jeffrey memberi motivasi kepada pelajar
Oleh Nor Azma Laila
norazma@bahrian.com.my
2012/05/03

DR JEFREY berjaya menarik minat pelajar mendengar ceramah motivasinya sebagai panduan masa hadapan.

DR JEFREY berjaya menarik minat pelajar mendengar ceramah motivasinya sebagai panduan masa hadapan.
JIKA sebelum ini pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendamaran Jaya, Klang berpeluang belajar bersama artis popular, Lisa Surihani dan Yusry Abdul Halim melalui program Teach For Malaysia (TFM), kali ini pelajar SMK Puchong, Batu 14 pula diberi peluang belajar bersama Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

Melalui program itu, Jeffrey bercerita mengenai pengalaman hidup, perjalanan beliau sehingga berjaya menjadi ahli perniagaan yang disegani dan memberi motivasi kepada pelajar supaya berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran untuk menjadi individu yang berjaya pada masa depan.
Jeffrey berkata, sesi bersama pelajar SMK Puchong itu memberi pengalaman yang berharga dan menyeronokkan kerana beliau dapat berkongsi pengalaman dengan pelajar bahawa pendidikan adalah asas kejayaan dalam hidup.
Usaha yang dibuat TFM untuk membantu memberi pendidikan yang lebih baik kepada pelajar adalah satu langkah bijak malah semua pihak sepatutnya memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab mendidik generasi muda supaya mereka menjadi insan berguna pada masa depan. - Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, Pengerusi Kumpulan Sunway
“Saya berharap pelajar mendapat inspirasi melalui sesi yang diadakan ini dan belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi individu yang berjaya satu hari nanti.

“Perkara paling penting untuk berjaya ialah pelajar perlu sentiasa berdisiplin dan bertanggungjawab dalam setiap perkara yang dilakukan,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan, baru-baru ini.

Katanya, usaha yang dibuat TFM untuk membantu memberi pendidikan yang lebih baik kepada pelajar adalah satu langkah bijak malah semua pihak sepatutnya memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab mendidik generasi muda supaya mereka menjadi insan berguna pada masa depan.

Kesemua 41 pelajar Tingkatan Empat yang berpeluang mengambil bahagian dalam sesi pembelajaran itu bukan saja dapat mendengar sendiri kejayaan Jeffrey malah turut bertuah kerana menerima cenderahati daripada Kumpulan Sunway berupa kamus dwibahasa, topi dan tiket ke Sunway Lagoon.
Terdahulu, pelajar SMK Puchong turut berpeluang mengadakan sesi belajar bersama juruhebah radio Mix FM, Serena Choong.

Program TFM atau Mendidik Demi Malaysia yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Disember tahun lalu ialah program perintis bermatlamat untuk transformasi bidang pendidikan negara membabitkan 49 felo TFM yang ditempatkan di 17 sekolah sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Felo TFM ialah graduan cemerlang yang memilih untuk bertugas sebagai guru di sekolah berprestasi rendah sama ada terletak dalam bandar, pinggir bandar atau pedalaman serta mengajar subjek tertentu antaranya Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Geografi.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Empat SMK Puchong, Wan Arysha Rafira Wan Aris, berkata dia seronok kerana kelasnya terpilih mengambil bahagian dalam sesi pembelajaran bersama Tan Sri Jeffrey.

“Melalui sesi yang diadakan saya sedar bahawa kita perlu berusaha bersungguh-sungguh dan jangan putus asa untuk mencapai kejayaan. Sekiranya gagal, kita perlu cuba lagi sehingga berjaya.

“Terima kasih kepada TFM dan Kumpulan Sunway kerana memberi peluang kepada kami, pelajar SMK Puchong merasai pengalaman berharga ini,” katanya. 
Berita Harian online 3 Mei 2012

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...