Sunday, May 20, 2012

Pengalaman Mengajar Kelas Peralihan

Menjadi guru tugas paling mulia disisi Allah.  Kemuliaan itu disebabkan guru mencurahkan ilmunya kepada pelajar tanpa mengira etnik, ras dan kaum. Kesungguhan dan komitmen mengajar dan mendidik  menjadikan guru seorang manusia yang mendapat darjat yang istimewa dari sudut Agama. Kebanyakan guru beranggapan bahawa tugas mengajar dan mendidik hanya sekadar menunaikan tanggungjawab sahaja   tetapi realitinya jika dihayati secara islami  pekerjaan ini sangat besar pahala yang menunggu kita.

Mengajar kelas peralihan

Sebagai pengetua, saya mempunyai jadual mengajar walau pun tidak sebanyak bilangan waktu guru . Kelas yang ditetapkan ialah mengajar pelajar Peralihan iaitu terdiri dari mereka  yang tidak boleh berbahasa Melayu dengan betul. Kebanyakan pelajar pelajar ini berasal dari SJKC berdekatan  yang masuk ke SMK Danau Kota. SMK Danau Kota  mempunyai dua kelas peralihan . Setiap kelas seramai 43 murid .  Mengajar di kelas peralihan memerlukan kesabaran intelektual yang tinggi kerana kebanyakan mereka sukar memahami arahan dalam Bahasa Melayu.

Belajar dari murid

Saya terpaksa mempelajari beberapa patah Bahasa Mandarin  bagi memudahkan komunikasi dengan mereka. Seorang guru saya mengadu beliau sangat tertekan mengajar kelas tersebut dengan karenah pelajar yang tidak tahu berbahasa. Bila kita bertanya mereka jawapannya  tak tau, tak tau sambil mengangkat kedua bahu   menyebabkan saya 'tension' katanya . Bukan saja tak tau malah bising melampau sehingga terpaksa memukul meja dengan rotan baru mereka diam . Demikian keluhan guru kepada pengetua .   Saya mengatakan anak-anak yang ada ditangan kita ini perlu kita didik walau pun mereka tidak memahami proses pengajaran dan pembelajaran . Pengalaman saya mengajar Bahasa Melayu kelas Peralihan Arif  cukup mengujakan sehingga  saya ketawa sendirian bila terkenangkan tingkahlaku mereka . Anak-anak ini nampak seronok dan mahu belajar bila saya bercakap dalam bahasa ibunda mereka walau pun beberapa patah. Saya  belajar dengan mereka istilah Mandarin untuk menerangkan sesuatu topik pengajaran. Saya melihat dari perspektif ilmiah bahawa peranan guru sangat dominan dalam membentuk ekosistem pembelajaran disekolah. Kemampuan guru mempelbagaikan teknik penyampaian  merupakan kaedah terbaik mencapai objektif  yang diharapkan. Pendidikan itu sebenarnya  suatu seni yang perlu dimiliki oleh setiap orang guru.

Pengalaman semasa di SMKDK
16 Mac 2009-16 Mac 2012
Che' Yahya Hj Che' Soh. 

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...