Data infrastruktur sekolah akan diwujudkan: Muhyiddin
2012/04/21
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan mewujudkan satu sistem data
yang mengandungi maklumat berhubung keperluan infrastruktur di sekolah
di seluruh negara tidak lama lagi untuk mewujudkan suasana kondusif bagi
pelajar dan guru.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri
Muhyiddin Yassin, berkata kementerian akan menggunakan data itu untuk
memastikan aset yang dimiliki termasuk bangunan dan infrastruktur di
sekolah sentiasa dipelihara dan untuk menilai kekurangan yang dihadapi
oleh sekolah.
"Dengan cara ini kita boleh menilai kekurangan di sekolah dan kita akan
tahu keadaan di sekolah berkenaan tanpa Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG) perlu mohon untuk penambahbaikan infrastruktur kerana data
mengenai sekolah itu sudah ada di kementerian.
"Kita juga hendak tentukan ada suasana kondusif di sekolah bukan saja
untuk kemudahan pelajar, tetapi juga guru. Saya sedia maklum ada sekolah
yang bilik gurunya terhad tetapi kita akan perbaiki masalah ini,"
katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Perdana PIBG Wilayah
Persekutuan di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata, apabila perkara itu dipersetujui, Guru Besar dan
Pengetua akan diminta menyediakan laporan tahunan dalam bentuk format
mengenai keadaan sekolah masing-masing.
Beliau berkata, sehingga kini terdapat 10,000 buah sekolah di seluruh negara dengan 318 daripadanya di Wilayah Persekutuan saja.
"Berdasarkan angka itu, dianggarkan terdapat 20,000 bangunan adalah
aset kementerian perlu dijaga dan untuk menjaganya perlu ditingkatkan
budaya 'penyelenggaraan' kerana jika tidak segala aset ini akan
merosot," katanya.
Berita Harian Online 21 April 2012
No comments:
Post a Comment