Guru perlu fasih BM, BI
Kementerian Pelajaran disaran supaya
memperketatkan pengambilan pelajar ke institut pendidikan guru (IPG)
demi meningkatkan profesion keguruan dengan melahirkan guru yang fasih
dalam bahasa Melayu (BM) dan bahasa Inggeris (BI).
Bagi menjayakan saranan ini, pelajar perlu mendapat kepujian dalam
kedua-dua subjek di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan
bukannya sekadar mendapat kredit untuk BM atau lulus bagi BI.
Hal ini penting untuk merealisasikan dasar Memartabatkan BM
Memperkasakan BI (MBMMBI) di samping untuk mengatasi masalah sekiranya
guru, atas pelbagai sebab, 'terpaksa' mengajar salah satu subjek bahasa
berkenaan apabila ditempatkan di sekolah.
Paling tidak, dengan asas yang kukuh dalam kedua-dua subjek ini, guru
terbabit tidak akan berdepan masalah besar untuk mengajar mata
pelajaran bahasa walaupun mengambil opsyen subjek lain ketika di IPG.
Malah dengan menguasai serta memiliki kemahiran berkomunikasi dalam
kedua-dua bahasa secara fasih akan melonjakkan martabat guru dan
dipandang tinggi terutama ketika bermesyuarat atau membuat pembentangan
di luar negara.
Pada masa yang sama, guru yang hebat dalam kedua-dua subjek ini akan
turut melahirkan murid yang cemerlang serta mempunyai kemahiran
berbahasa yang tinggi.
Bagaimanapun, untuk meningkatkan kemahiran berbahasa di kalangan
murid, sukatan pelajaran subjek BM serta BI perlu disemak semula untuk
membolehkan guru berinovatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran
(P&P).
Sukatan pelajaran sedia ada agak padat dan perlu dihabiskan dalam
tempoh masa ditetapkan menjadi faktor mengekang guru daripada menerapkan
kaedah P&P yang menyeronokkan seperti melalui pendekatan bercerita
atau secara drama.
Walhal pengajaran subjek bahasa memerlukan banyak latihan yang
melibatkan pengungkapan kata, pengucapan awam dan komunikasi berkesan.
Akibat hambatan sukatan pelajaran juga menyebabkan pusat sumber
sekolah yang dipenuhi banyak bahan bacaan tambahan tidak dapat
dimanfaatkan sepenuhnya. Ia turut menjejaskan usaha membangun modal
insan yang dapat menguasai kedua-dua bahasa dengan baik.
Sungguhpun begitu, dalam memperkasa BI, Kementerian Pelajaran telah
mengambil beberapa langkah proaktif seperti menempatkan penutur jati di
sekolah terpilih, mengambil guru bersara mengajar semula secara kontrak
dan latihan khas kepada guru yang masih dalam perkhidmatan.
Utusan Malaysia online 22 April 2012
No comments:
Post a Comment