Tuesday, November 25, 2014

Perang Akal dan Nafsu

Dalam diri manusia selalu berlaku pertembungan antara kebaikan dan keburukan.Akal menguasai diri manakala nafsu pula mengarahkan kepada perkara yang tidak di sukai oleh akal.Pertembungan antara keduanya sentiasa terjadi jika tidak di kawal oleh iman.Akal tidak mampu menahan kehendak nafsu jika tidak dibentengi dengan keyakinan yang kuat kepada Pencipta.Dalam diri manusia bersarang semua nilai kebaikan iaitu ikhlas, jujur, pemurah,pemaaf,bersyukur,qanaah dan luhur pribadi yang bertunjangkan keimanan dan kepatuhan kepada Tuhan.Al Qur'an menyebutnya Nafsu Mutmainnah iaitu jiwa yang tenang mendapat keampunan Allah.Nafsu Mutmainnah merupakan tingkat yang paling tinggi menjadi makam orang bertaqwa. Lawannya ialah Nafsu Ammarah yang didalangi Syaithan untuk mengajak manusia melakukan maksiat kepada Allah.Kejernihan hati menjadi cermin pribadi. Jiwa yang kotor,jorok, rakus  dan busuk kerana  nafsu bermaharajalela dalam diri sehingga ada yang sanggup mengaku dirinya sebagai Tuhan seperti Firaun kerana berasa paling berkuasa, malah mutaakhir ini ada orang  mendakwa dirinya sebagai Nabi yang di utuskan kepada umat dalam kurun ke 21. Astaghfirullahal 'Azim.

Budaya dan akal budi 

Dunia yang sedang kita saksikan ini penuh dengan warna warni kehidupan. Manusia yang berakal sentiasa memandu diri mencari kebenaran sebaliknya orang yang di kuasai nafsu lupa dengan Tuhan. Apabila manusia bertuhankan nafsu hancurlah kehidupan.Keinginan perut yang hanya panjang sejengkal tidak pernah berasa puas kendatipun hidup dalam serba cukup.Tabii manusia memang  kherlung (tamak),dia akan mencari habuan dunia tanpa jemu sehingga  mulut di penuhi tanah baharu tersedar hakikat kehidupan sebenar.Kegoncangan jiwa di sebabkan pengaruh nafsu yang tidak diimbangi oleh kekuatan akal untuk berfikir secara rasional dalam melakukan sesuatu tindakan.Nafsu mengarahkan manusia malas beribadah terutama mengerjakan solat,pelit bersedekah dan menderma kepada mereka yang benar-benar memerlukan kerana bimbang kehabisan harta sedangkan di sisi Tuhan semakin banyak kita memberi bertimbun pahala Allah ganti tanpa kita sedari.Syaratnya ikhlas sehingga tangan kiri tidak tahu apa yang dikerjakan tangan kanan. Nafsu inginkan kesenangan tanpa perlu banyak berusaha,mahukan kekayaan secara mudah sehingga menghancurkan nilai-nilai keinsanan.Demikian hebatnya nafsu menguasai diri.

Model madani

Dilema yang menghinggapi manusia pada hari ini sungguh membimbangkan. Peradaban budaya dan akal budi terlalu langka untuk dijadikan model masyarakat madani berteraskan prinsip Rabbani.Pengaruh kehidupan negatif yang terhidang di depan mata seperti penyalahgunaan dadah,alkohol yang memabukkan, penzinaan berleluasa,transgender,penculikan,peras gut,perompakan,penipuan,penculikan dan pembunuhan yang berlaku seperti babak-babak dalam segmen filem yang ditonton saban hari.Hubungan soialisasi semakin punah kerana jauhnya nilai kebaikan  dalam diri. Inikah warna perwatakan generasi yang kita damba untuk meneruskan agenda masa depan negara? Rasuah dan ketirisan sudah lumrah kerana hilangnya maruah.Kesempatan yang ada di pergunakan semaksima mungkin untuk mengaut keuntungan diri tanpa peduli sumber halal atau haram.

Modal insan

Pendidikan ialah sarana yang paling ampuh untuk membentuk kepribadian mulia kerana nilai yang terkandung di dalamnya menuntun manusia mengenal ilmu secara autentik bukannya sekadar belajar untuk mendapatkan Sijil dan Ijazah sebagai paspot mendapatkan pekerjaan.Ukuran keilmuan seseorang bukan terletak kepada kesarjanaan yang dimiliki tetapi keupayaan menterjemahkan ilmu dalam pengamalan seharian yang menentukan kualiti keinsanan diri. Inilah modal insan yang perlu kita bina untuk mewarisi negara akan datang. Modal insan yang berketrampilan mempunyai keseimbangan emosi, keutuhan rohani, kekuatan jasmani dan kejujuran intelek menjadi indikator kemercuan bangsa untuk menyelamatkan negara dari kemurkaan Allah.Seandainya seluruh penduduk kampung, kariah, mukim dan kota beriman kepada Allah akan turun rahmat dari langit,sebaliknya jika mereka kufur tunggulah azab yang pasti datang menemui manusia.Demikian kurang lebih intipati perkhabaran dari Al Qur'an.

Che Yahya Che Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut, Kuala Lumpur.
Rabu 26 November,2014.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...