Tuesday, April 15, 2014

PT3 Mulai 2014


Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) menjadi topik yang begitu hangat dalam kalangan ibu bapa, masyarakat  dan pengamal pendidikan seluruh negara.Orang awam tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku dengan sistem pendidikan negara ketika ini sehingga pelaksanaan PBS ditangguhkan seketika sebelum berkuatkuasa sepenuhnya mulai 1 April 2014.Hasrat dan inspirasi Kementerian bukan ingin merombak sesuka hati sesuatu dasar tetapi mengambil kira kepentingan pendidikan negara untuk pembentukan sosio budaya yang berteraskan ilmu, kemahiran, kompetensi dan profesionalisma perguruan menjadi institusi yang berwibawa dan disegani.Menukar peperiksaan awam (PMR) kepada Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) merupakan suatu pendekatan terbaik untuk menilai keupayaan murid secara keseluruhan atau General Ability Test (GAT).

Kemenjadian murid

Bukan sahaja mengenai PBS malah beberapa transformasi yang sedang berlaku menjadi mauduk yang perlu di fahami oleh semua lapisan masyarakat terutama para pendidik dan pelajar dengan perubahan seperti termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Selain PBS transformasi dalam kurikulum lebih berfokus kepada Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), iThink, FrogVLE, MMI, MBMMBI,1M1S, Tawaran Baharu (New Deals) TIMS , PISA, DTP, Dailog Prestasi (DP),Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah menjadi agenda utama yang perlu dilaksanakan secara integriti, bijaksana dan bertanggungjawab.Kementerian Pendidikan memikul tanggungjawab besar dalam menentukan pembentukan modal insan yang berbobot untuk pembangunan negara.Transformasi pendidikan seharusnya dilihat secara konstruktif oleh  semua pihak tanpa sebarang prejudis sehingga membantut usaha murni membentuk kemenjadian murid secara holistik.

Persidangan Klica

Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK)  merupakan teras dalam pelaksanaan PBS. Pada peringkat awalnya, Lembaga Peperiksaan(LP)telah beberapa kali mengadakan perbincangan untuk merealisasikan PBS dalam Pentaksiran Pendidikan Negara.Perancangan awal telah bermula sejak era Datuk Yaakub Ederis@Idris (Allahyarham) menjadi Pengarah LP 2001-2004 bersama kumpulan pemikir telah merangka strategi untuk menilai kembali sistem pengurusan peperiksaan.Kemuncaknya beberapa kertas kerja di bentangkan dalam seminar Pentaksiran di Kuala Lumpur yang membabitkan penceramah dari luar negara seperti New Zealand, England, Australia dan beberapa buah negara Asean seperti Thailand,Indonesia dan Filipina untuk berkongsi idea dalam pengurusan dan pentadbiran PBS. Persidangan KLICA "Kuala Lumpur International Conference on Assessment " seingat saya di adakan di Sunway Lagun Hotel PJ dalam tahun 2006 atas inisiatif Pengarah LPM Datu Dr.Adi Badiozaman Tuah, Dr.Jamil Adimin (kini Ketua Eksekutif  Majlis Peperiksaan Malaysia), Dr.Khodori Ahmad, Puan Hajah Mazni Mat Salleh, Datin Paisah dan beberapa Jawatankuasa Khas untuk mencari pendekatan terbaik merealitikan PBS di negara ini. Dalam masa yang sama beberapa orang pegawai kanan LP bersama KPP Penilaian dan Peperiksaan setiap negeri dihantar keluar negara untuk mengkaji pelaksanaan PBS yang dilaksanakan.

Projek Perintis

Lembaga Peperiksaan mengambil pendekatan memulakan projek perintis memperkenalkan PBS bagi mengurangkan tekanan kepada para pendidik,pelajar dan masyarakat yang melihat peperiksaan berpusat PMR di akhir tahun itu sebagai satu-satunya indikator pencapaian murid yang menjadi tanda aras kecemerlangan akademik mereka tanpa melihat keseluruhan  aspek keupayaan murid  dalam kemahiran yang lain. Ini bermakna ukuran kejayaan pelajar hanya berfokuskan bilangan A atau B yang di perolehi dalam PMR setiap tahun.Sebenarnya peperiksaan itu sendiri merupakan salah satu elemen dalam pentaksiran yang digunakan untuk mentaksir murid.Berbagai desakan dan tekanan daripada pihak luar supaya meneliti kembali pengurusan pendidikan yang dilihat  terlalu berorientasi Peperiksaan sehingga memberikan tekanan kepada ibu bapa dan pelajar.Setelah menimbang dan mengambil kira berbagai pandangan ,Kementerian Pendidikan  bersetuju  melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah bermula dengan pelajar Tingkatan Satu mulai tahun 2012 dengan beberapa penambahbaikan sepertimana yang diumumkan YAB Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Mac bagi meringankan beban tugas guru.

Dua Elemen PBS

Kita perlu memahami PBS secara profesional honesty sebagai wahana peningkatan ilmu yang sangat berkesan untuk melaksanakan transformasi paedagogi dalam bilik darjah.Pelaksanaan PBS memberikan kelebihan kepada guru untuk mentaksir pelajar pada bila-bila masa berdasarkan kemampuan dan kebolehan yang di tonjolkan mereka.Guru pasti kenal dan tahu kebolehan murid mereka kerana setiap hari berdepan dengan karenah dan tingkahlaku semasa pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.Pentaksiran Berasaskan Sekolah terdiri dari dua elemen utama iaitu Akademik dan Non Akademik. Dalam bidang akademik terbagi kepada dua jenis iaitu Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Pentaksiran Sekolah (PS). Kedua-dua jenis pentaksiran ini di laksanakan di sekolah cuma bezanya dalam PT3  pentaksiran subjek tertentu  berpandukan instrumen yang di sediakan Lembaga Peperiksaan, manakala PS pula ialah semua mata pelajaran di taksir sepenuhnya oleh sekolah yang lebih sinonim dengan Pentaksiran untuk pembelajaran.Guru sangat berwenang menentukan keupayaan murid.Pelaksanaan PBS sebenarnya memberikan lebih autoriti kepada guru untuk mentaksir murid secara optima. Mulai tahun 2014 PT3 di gunakan secara sepenuhnya bagi menggantikan PMR.Pengurusan Sekolah perlu mentadbir  peperiksaan, memeriksa skrip calon, memberikan penskoran dan mengeluarkan keputusan.Peranan Lembaga Peperiksaan ialah menyediakan instrumen yang perlu di ikuti,menyediakan prosedur penskoran, menguatkuasa penjaminan kualiti dan melaksanakan verifikasi.

Pentaksiran Non Akademik

Falsafah Pendidikan Kebangsaan menekan kepada Jasmani,Emosi, Rohani dan Intektual (JERI) untuk pembangunan diri murid.Falsafah ini sungguh idealistik sebagai kerangka besar pembangunan intektualiti insan yang merangkumi berbagai unsur diri murid yang perlu di bangunkan secara terancang dan sistematik.Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik merupa dua elemen yang perlu ditaksir oleh sekolah.PAJSK dilaksanakan sepenuhnya oleh guru bagi Program Penilaian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK) bertujuan untuk mengekalkan tahap kesihatan murid secara optimum.Pentaksiran Psikometrik pula akan di tadbir oleh Kaunselor berpandukan instrumen yang di keluarkan LP untuk menilai keupayaan, kebolehan dan minat bagi setiap orang murid.Jika sebelum ini pengurusan PMR secara berpusat di lakukan oleh guru-guru yang di lantik oleh LP sebagai pemeriksa bagi setiap mata pelajaran, saya tidak nampak keganjilannya bila pelaksanaan PBS di kuatkuasakan kerana guru-guru  juga yang mentaksir hasil kerja murid.Bezanya keputusan pelaporan PBS di keluarkan di sekolah masing-masing bukannya secara berpusat seperti biasa.

Tiada Peperiksaan Berpusat

Dengan perkembangan ini bermakna tiada lagi peperiksaan secara berpusat bagi PMR seperti amalan tahun-tahun sebelumnya. Pelaksanaan PT3 yang berkuatkuasa mulai tahun 2014 bagi pelajar-pelajar di Tingkatan 3 menjadi indikator kecemerlangan PBS yang secara profesionalnya di taksir oleh para guru di sekolah masing-masing berpandukan instrumen Lembaga Peperiksaan.Pentadbiran pentaksiran sepenuhnya di laksanakan di sekolah termasuk pelantikan pengawas dan pemeriksa kertas soalan.Guru-guru tidak perlu lagi keluar seawal jam 6.00 pagi terpaksa menempuh kesesakan jalan raya mengambil bekalan soalan di Bilik Kebal dan berkejar ke Pusat Peperiksaan untuk mengawas kerana semua pengurusan dan pentadbiran PT3 dilaksanakan di sekolah masing-masing dan tentunya tanpa bayaran elaun pengawasan dan perjalanan seperti kelazimannya.Masyarakat tidak perlu berasa ragu dengan PBS kerana sememangnya semua guru mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing untuk mentaksir murid secara adil dan saksama berteraskan etika profesionalisma yang di miliki.

Pentaksir Luar

Lembaga Peperiksaan bertanggungjawab melantik Pentaksir luar untuk membuat verifikasi dan moderasi sebelum pelaporan di keluarkan sepenuhnya oleh pengurusan sekolah. Pentaksir luar berperanan untuk membuat pengauditan akademik bagi memastikan pentadbiran PBS berjalan mengikut spesifikasi yang di tetapkan. Penjaminan kualiti merupakan faktor penting untuk menentukan kesahan dan ketekalan setiap pentaksiran bagi memastikan tidak berlaku  ketidakaturan PBS semasa mentaksir pelajar. Justeru penyelarasan markah perlu di lakukan secara moderasi oleh Pemantau berdasarkan pematuhan kepada prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan bagi memberi keadilan kepada setiap calon.Secara telusnya LP tetap membuat pemantauan secara akurat terhadap pengoperasian PBS di sekolah.Guru bukan sewenang-wenangnya menilai murid secara sambil lewa dan mengikut kehendak hati tetapi wajib mematuhi garis panduan yang di keluarkan oleh Lembaga Peperiksaan.Pentaksiran Tingkatan 3 menjadi kriteria utama pemilihan kemasukan pelajar ke Tingkatan 4 dan Sekolah Berasrama Penuh,SMKA dan Sekolah-Sekolah Berprestij yang lain berdasarkan kecemerlangan calon termasuk dalam Ujian Psikometrik bagi menentukan minat dan keupayaan mereka secara optima.

Che Yahya Che Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut, Kuala Lumpur.
Rabu 16 Mac,2014.
Mantan KPP Penilaian dan Peperiksaan
JPWP KL 2001-2009.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...