Saturday, April 12, 2014

Kisah Kaum Iram,Thamud dan Fir'aun

Subuh pagi tadi saya membaca Surah Al Buruj dan Al Fajr sewaktu mengimami Solat di Surau Al Falah AU4 Keramat. Surau ini makmur, jemaah solat tidak kurang 3-4 saf setiap waktu dan pengajian di adakan setiap masa dengan Ustaz dan penceramah yang berlainan.Alhamdulillah tendensi beramal dalam kalangan jemaah sungguh memberangsangkan terutama solat berjemaah . Tuhan menjanjikan rahmat berterusan  dari langit sekiranya penduduk sesebuah Mukim itu beriman dan beramal soleh tetapi azab akan menimpa mereka yang berlaku zalim sepertimana yang di khabarkan oleh Al Qur'an dalam Surah Al Fajr terhadap penduduk Iram,Kaum Aad, Kaum Thamud dan Fir'aun yang membuat kerosakan di atas muka bumi  melampau batas.
A006

Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang menentangmu wahai Muhammad), tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka) 

Al Fajr 89;6 

Bukan Fantasi

Peristiwa yang berlaku  dalam Al Qur'an bukan sebuah  cerita fantasi tetapi benar-benar terjadi terhadap umat terdahulu yang mengingkari perintah Tuhan. Bertebaran kisah pengajaran berlaku seperti banjir besar zaman Nabi Noah yang menenggelamkan bumi,kisah kaum Luth yang di terbalikkan bumi kerana perbuatan kaumnya yang gemar melakukan perbuatan di luar tabie,kisah Nabi Ibrahim yang di bakar hidup-hidup  oleh kaumnya tetapi dengan perintah Allah,api menjadi BARDAN WASALAAMA  menyejuk dan menyelamatkan Nabi Ibrahim Alaihisalam.Itu bukti keagungan Al Qur'an yang berlaku keatas manusia, seorang Nabi yang Mulia kerana patuh dan taat kepada perintah Allah Yang Maha Berkuasa. Al Qur'an merupakan Kalam Allah yang  sangat autentik dengan perjalanan sirah Nabi dan Rasul yang membawa risalah Tauhid disepanjang zaman.Berbagai ujian di tempuh para Anbia dalam melaksanakan misi suci ini sehingga ada dalam kalangan mereka terpaksa membayarnya dengan nyawa, darah dan air mata.

Menusuk Qalbu

Membaca Surah Al Fajr yang mengandungi 30 ayat terutama pada waktu Subuh sangat menusuk Qalbu kerana banyak pengajaran yang boleh di kutip untuk menjadi pengajaran dan iktibar kepada manusia.Allah bersumpah Demi Fajar "Wal Fajri" suatu ungkapan yang cukup bermakna untuk manusia supaya bangun mengerjakan solat Subuh. Allah mengingatkan kita dengan waktu fajar yang mempunyai banyak keberkatan.Kokok ayam bersahut-sahutan memecah keheningan pagi menandakan bermulanya hari baharu. Di kala itu  Muazzin menyeru Assolatu Khairun Minannaum membangun manusia dari tidur untuk bersegera mengingat Allah.Sungguh hebat Allah swt mengatur perjalanan waktu untuk memudahkan manusia menjalani rutin harian mereka mencari rezeki yang bertebaran di muka bumi sebaik selesai menunaikan kewajiban kepada Tuhan.

Intisari Al Fajr

Membaca dengan penuh tadabbur menginsafkan manusia betapa hebatnya Allah mengatur setiap perjalanan kehidupan dengan solat. Mulai dengan waktu Fajar, Zohor, Asar, Maghrib dan Isya menjadi suatu siklus hidup umat Islam yang beriman kepada Allah. Seluruh dunia Azan di kumandangkan bersahut-sahutan merentasi benua mengikut ketetapan Tuhan yang mentadbir alam seperti mana FirmanNya Yudabbirul Amra minassama' iwal ardh', cuma manusia yang masih lalai dan alpa dengan setiap seruan.Apabila para Malaikat berbaris-baris dan Neraka Jahanam di perlihatkan, pada hari itu manusia akan ingat tetapi tidak lagi berguna ingatan tersebut.Di akhir ayat Allah mengajak setiap jiwa yang mutmainnah untuk masuk ke dalam Jannah dengan sejahtera. Subhanallah.

Taakul diri.
Wallahua'lam
Che Yahya Che Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut, Kuala Lumpur.
Ahad 13 April,2014.








No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...