Thursday, December 3, 2015

Mencari Jejak Ambiya

Sejarah keberadaan manusia di muka bumi bermula dengan peristiwa turunnya Nabi Adam Alaihissalam (AS) bersama isterinya Hawa dari syurga yang penuh dengan kenikmatan. Nabi Adam AS dicipta Tuhan daripada beberapa jenis tanah yang terpilih di muka bumi seperti Palestin, Jordan, Bukit Thursina Mesir , Mekah, Iraq, Iran ,India dan  Thaif . Kisah penciptaan Baginda sebagai makhluk terawal di rakamkan Allah dalam AlQur'an Al Kareem seperti termaktub dalam Al Baqarah ayat:30  " Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: Sesungguhnya Aku akan menjadikan seorang khalifah di muka bumi". Para Malaikat bertanya apakah Engkau Ya Allah akan menjadikan manusia yang akan menumpahkan darah di muka bumi? Allah menjawab sesungguhnya engkau tidak mengetahui apa yang Aku ketahui. Bukan tujuan kita membahas perkara yang telah ditetapkan  Allah ke atas makhluknya. Demikian juga kisah Nabi Allah memakan buah terlarang bersama isterinya di syurga sehingga mereka berdua terpaksa berpisah dengan kesenangan  dan kenikmatan di sana. Perkara pokok ialah bagaimana liciknya musuh manusia bernama Iblis laknatullah menggunakan pelbagai tipu daya memperdaya kedua insan ini sehingga mereka di turunkan ke bumi untuk meneruskan kehidupan.

Iblis musuh yang nyata 

Perjalanan hidup manusia  penuh ujian yang datang dengan berbagai cara. Tujuannya untuk menguji keimanan  sejauh mana manusia yakin dengan perintah Allah. Iblis tidak akan diam mengganggu manusia dengan berbagai cara sehingga manusia mengikut bersamanya menghuni Neraka selama lamanya. Iblis datang dengan berbagai warna. Kepada orang alim ditanamkan rasa ujub,sum'ah riak, takabbur dan kepada orang jahil dan miskin dihiasi dengan rasukan hati yang muluk-muluk. Dibisikan oleh syaithan tinggalkan agama ini kerana tidak mendatangkan kebaikan kepada kamu.Demikian halusnya bisikan syaithan terkutuk sehingga manusia yang tidak kuat keimanannya termakan bujukannya. Kisah Nabi Adam AS yang meminta ampun kepada Allah kerana termakan buah terlarang diceritakan dalam Al Qur'an dalam surah Al A'raaf ayat 23 "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami, oleh itu jika Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya jadilah kami orang-orang yang rugi". Allah SWT menerima taubah mereka berdua kerana Allah SWT  Maha Pengampun, Maha Mengasihani. Setelah turun ke bumi mereka berdua terpisah terlalu lama. Nabi Adam As di katakan turun di belahan bumi India Hawa di jazirah Arab iaitu Jeddah. Jarak dan waktu memisahkan mereka berdua dengan takdir Allah bertemu di Arafah Jabal Rahmah Mekah. Jabal Rahmah merupakan bukit berbatu kecil yang menjadi kunjungan para jemaah Haji dan Umrah mempunyai pertalian sejarah dengan kedua datuk nenek manusia di bumi. Di sinilah Allah mempertemukan mereka suami isteri untuk meneruskan keturunan di bumi sehingga manusia berkembang biak silih berganti generasi memukimi bumi.

Bumi Ambiya

Struktur geografi bumi yang bersahara penuh dengan bukit bukit batu pejal menjadi saksi perjalanan sirah para kekasih Tuhan. Bumi Ambiya sungguh istimewa kerana di sana tempat bermulanya sejarah peradaban umah. Bermula dengan Palestine yang berjiran dengan Jordan Mesir dan Syria merupakan tempat bersejarah lahirnya para Nabi yang membawa risalah Tuhan di muka bumi. Kisah Nabi Ibrahim As bermula di Palestine sebelum menuju Mekkah.Tanah Palestine menjadi saksi kepada manusia kerana di sinilah tempat pertama Qiblat sebelum turunnya perintah Allah kepada Rasulullah Saw meminta Baginda memalingkan wajah ke Masjidil Haram di Mekah. Nabi Musa As mempunyai sejarah yang cukup menarik di bumi Mesir. Semasa berada di Bukit Thursina Baginda dapat berbicara langsung dengan Tuhannya " Wakallamallahu muusa taqliima" . Bukit Thursina terletak di Mesir dan merupakan bukit yang istimewa kerana namanya terukir dalam Al Qur'an sepertimana Bukit Uhud Bukit Safar dan Marwah di Mekah dan Madinah.Sepanjang sejarah bumi Ambiya tak pernah aman kecuali Mekah dan Madinah negara negara lain terpaksa berdepan dengan kekejaman kaum kuffar yang meratah umat Islam. Bumi Jordan juga sangat istimewa dari segi sejarah para Ambiya,  di sana terdapat perkampungan kaum Nabi Luth As di negeri Sadom yang berakhir dengan kehancuran. Buminya di terbalikan dari atas ke bawah menenggelamkan mereka yang ingkar kepada perintah Tuhan kerana melakukan homoseksual.Kesan yang ditinggalkan oleh penduduk Sadom ialah  Laut Mati yang  mengandungi garam terlalu tinggi sehingga tidak ada satu pun hidupan laut di sini. Subhanallah.

Image result for kaum luth As
Laut mati : Sumber asal annida.online.com


Berita dari Al Qur'an

Al Qur'an Al Kareem merupakan  pelengkap kepada kita kitab-kitab terdahulu seperti Taurat, Zabur dan Injil. Umat Islam wajib meyakini kitab-kitab ini. Taurat di turunkan kepada Nabi Musa AS dalam Bahasa Ibrani, Zabur kepada Nabi Daud As dalam bahasa Qibti  dan Injil kepada Nabi Isa As. Setiap peristiwa yang tercatat dalam Al Qur'an memang benar-benar berlaku dan kaum yang derhaka kepada Nabi mereka mendapat azab yang sangat pedih. Banyak kisah dirakamkan Tuhan seperti kaum Nabi Soleh yang menyembelih unta betina (naqah) sehingga mereka mati bergelimpangan ditimpa azab Allah.Demikian juga kaum Nabi Noh As termasuk anak dan isteri Baginda tenggelam dalam gelombang besar kerana tidak mahu beriman kepada Allah. Bagi siapa yang cuba merenung dan menggali isi kandungan Al Qur'an dengan penuh keimanan pasti bertemu dengan kebenaran kerana Kitab ini bukan ciptaan manusia tetapi perkataan Allah yang tidak mungkin manusia mampu menulis dan membuatnya hatta satu huruf apalagi satu ayat (Al Baqarah :24) Cahaya Al Qur'an akan menyinari wajah dan perlakuan hamba yang mencintainya dan menjadi peneman manusia di saat tidak siapa yang boleh menemani semasa di alam barzah. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar terhadap kaum terdahulu yang telah dihancurkan Allah kerana kedegilan dan kesombongan mereka yang tidak memperduli pesanan Nabi Allah.


Wallahua'lam

Che Yahya Che Soh

Pengetua SMKSB
Segambut Park City
Kuala Lumpur.
Jumaat 4 Disember,2015.


No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...