Monday, December 28, 2015

Antara Islamisasi dan sekularisasi

Kehadiran manusia ke muka bumi ini diwarnai oleh berbagai etnik bangsa, keturunan dan kaum yang tentunya berada dalam ilmu Tuhan. Setiap etnik bangsa dan kaum mempunyai adat dan kepercayaan masing-masing yang menjadi identiti sesuatu bangsa sebagai simbol budaya dan kepercayaan yang dianuti mereka. Kepelbagaian warna kulit dan adat budaya membuktikan kekuasaan Tuhan Maha Pencipta bertujuan untuk manusia saling berkenalan antara satu sama lain. Hubungan sesama manusia yang dalam istilah Al Qur'an Hablumminnas menjadi pemangkin kekuatan umah melangkaui adat dan budaya bertujuan mendokong wadah yang satu melalui Habluminallah iatu hubungan dengan Allah sebagai tunjang kehidupan. Tuhan mencipta manusia untuk beribadah kepadaNya dengan penuh keimanan. Beribadah bukan hanya terfokus kepada Solat,Puasa, Zakat, dan Haji seperti mana terdapat dalam Rukun Islam semata-mata tetapi merangkumi setiap perkataan, perbuatan,dan tindakan yang terpuji di kira amalan soleh. Akal yang waras dapat mencerna setiap ciptaan Tuhan melalui ilmu dan iman untuk mengenali hakikat kehidupan hakiki. Al Qur'an menyuruh kita berfikir, mengkaji dan bertadabbur dengan setiap kejadian Ilahi di alam sarwajagat ini secara maknawi untuk menuntun akal mengenal Tuhan yang berhak di sembah  bukannya memisahkan kehidupan dengan Agama. Aliran pemikiran yang  tidak bersandarkan paradigma Tauhid dalam kehidupan menganggap setiap peristiwa yang berlaku secara semulajadi sejak berkurun perlu di hindari. Tidak ada spesis flora dan fauna yang hidup di bumi terjadi secara semulajadi hatta sehelai rumput pun pasti dicipta oleh Ilahi. Dalam buku-buku Sains, Fizik, Kimia dan Biologi malah Geografi banyak di tulis oleh pengarang tentang alam semula jadi untuk menggambarkan sesuatu peristiwa yang berlaku. Contoh hutan hujan semulajadi, tumbuhan semulajadi, air terjun semulajadi yang secara implisitnya tersembunyi penafian terhadap ciptaan Ilahi. Mungkinkah ini suatu sekularisasi dalam ilmu ?
Image result for alam semula jadi

Keindahan  alam ciptaan Ilahi, bukan semulajadi.
Gambar:Relakssminda.com

Tiada pemisahan ilmu

Ilmu merupakan medium yang paling berkesan untuk menentukan kepribadian  manusia. Posisi ilmu dalam Islam menjadi senjata keutuhan akhlak penganutnya jika kita mengamalkan segala tuntutan Tuhan dengan ikhlas dan redha. Ilmu yang didatangkan Tuhan ke muka bumi bersumber dari Al Qur'an sebagai pelengkap kepada kitab-kitab terdahulu  seperti Taurah, Zabur dan Injil yang mengajak manusia mengenal Tuhan melalui ilmu. Kaedah dan cara pengamalan diperincikankan secara jelas melalui Hadith Nabi Saw untuk di praktikan dalam kehidupan. Misalnya kaedah bersolat, cara berpuasa, berzakat tidak diperincikan oleh Al Qur'an tetapi dinyatakan secara umum seperti " Dirikan solat untuk mengingati Ku". Allah SWT mengangkat beberapa darjat dalam kalangan manusia dengan ilmu bukannya melalui harta, kuasa  dan tahta kerana yang membezakan mereka ialah  TAQWA. Epistimologi ilmu yang berdasarkan sumber autentik iaitu Al Qur'an dan As Sunnah menjadi parameter kecemerlangan insan untuk membawa umah ke jalan Tuhan. Al Qur'an ialah induk bagi segala ilmu yang pastinya membawa kebaikan kepada setiap insan. Kemajuan teknologi, kehebatan penciptaan manusia hingga mampu mencapai angkasa lepas, diadaptasi dari Al Qur'an sebagai asas kemajuan. Secara teologi tiada istilah sekularisasi dalam kehidupan dan pemisahan ilmu sehingga menjadi juzuk-juzuk yang terpisah antara satu sama lain. Tiada pemisahan antara Masjid dengan Institusi kemasyarakatan. Tiada pemisahan antara pemerintahan dengan Agama kerana konsep ibadah itu merangkumi seluruh kehidupan.


Antara dunia dan akhirat

Tuhan menjadikan kehidupan ini secara berpasangan. Manusia terdiri daripada lelaki dan perempuan. Haiwan ada jantan dan betina, tumbuh-tumbuhan pun sedemikian jua.Ini dinamakan Sunnatullah yang mengatur perjalanan bumi, matahari, bulan dan bintang-bintang dalam jagat raya mengelilingi orbit  masing-masing dengan ketetapan Ilahi. Dunia dicipta menjadi jambatan akhirat. Bermakna tiada pemisahan antara keduanya. Siapa yang ingin hidup bahagia dan sentosa di sana hendaklah ia beramal dengan penuh ikhlas semasa di dunia sebab bila telah kembali sudah pembalasan namanya. Jadi selagi kita masih di beri ruang oleh Allah, lakukan amalan sebaik mungkin untuk kesenangan di akhirat. Penghuni bumi yang terdiri daripada pelbagai organisma hidup mengandungi spesis flora dan fauna sejak jutaan tahun, silih berganti generasi menjadi bukti kekuasaan Ilahi mengenai perjalanan planet yang begitu harmoni. Reputan  berbagai tumbuh-tumbuhan, cengkerang laut dan haiwan haiwan yang mati sejak berkurun menghasilkan tekanan tinggi mengeluarkan gas dan minyak  untuk kehidupan manusia. Petroleum yang mengandungi struktur karbon dan benzen menjadi bahan bakar yang berguna untuk kelestarian hidup manusia. Hebatnya Allah SWT mencipta lingkaran kehidupan yang tentunya bukan terjadi secara semulajadi tetapi dengan kehendak Ilahi. Proses carigali minyak di dasar laut terus dilakukan manusia sebagai hasil pendapatan negara untuk kelestarian kehidupan generasi akan datang.  

Antara Islamisasi dan sekularisasi

Sekularisasi berorientasikan pemikiran yang memisahkan Agama dengan kehidupan. Aliran pemikiran yang berasaskan sekularisma menjauhi agama kerana mereka beranggapan antara keduanya tidak boleh disatukan. Dengan bahasa mudah Agama dan Politik tidak boleh dicampuradukan. Dalam banyak hal agama hanyalah  milik para alim ulama, ustaz ,para qadhi, mufti dan  agamawan berautoriti sahaja yang tidak mempunyai hak membicarakan dan mengambil bahagian dalam siasah negara. Islam diturunkan Allah sebagai Rahmatan Lil 'Alamin membawa rahmat dan keberkatan dalam setiap dimensi kehidupan manusia di bumi. Sebagai sebuah DEEN yang diturunkan Tuhan Semesta Alam, peranan Agama menjadi penyatu kehidupan semua manusia dalam segala bidang kehidupan seperti politik, kebudayaan, kesenian, kemasyarakatan secara keseluruhan.Tuhan berfirman YAA AYYUHANNAS merujuk kepada seluruh manusia "Wahai manusia" dan YAA AYYUHA LLAZI  NA AAMANU  "Wahai orang beriman" . Islamisasi dalam setiap kehidupan membawa manusia menuju syurgawi yang dijanjikan Tuhan dengan segala kenikmatan dan kesenangan abadi. Amalan kehidupan yang berteraskan sekularisasi  merugikan manusia dari duniawi dan ukhrawi kerana boleh 'menggelecah' akidah . Di akhirat mendapat balasan siksa yang tidak terperi.


Wallahua'lam
Che Yahya Che Soh
Pengetua SMK SINAR BINTANG
Segambut, ParkCity
Kuala Lumpur.
Khamis 31 Disember,2015.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...