Sunday, December 13, 2015

Antara Gua Hira' dan Gua Thur

Sejarah menukilkan kedatangan Islam ke muka bumi telah termaktub dalam  kitab-kitab terdahulu sebelum Al Qur'an iaitu Taurah, Zabur dan Injil. Kesemua kitab-kitab samawi ini membawa ajaran  Tauhid iaitu meyakini Allah sebagai Pencipta sekalian alam yang berhak di sembah, cuma cara dan kaedah pengamalannya sahaja yang berbeza seperti solat, puasa, zakat tidak seperti yang kita amalkan sekarang ini. Setelah Al Qur'an diturunkan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW segala peraturan dan hukum terdahulu disempurnakan dalam Al Qur'an sebagai mukjizat teragung kepada Nabi SAW. Kedatangan Islam membawa rahmat kesekelian alam. Sebuah Diin yang bermaksud sejahtera mengandungi tatacara kehidupan bersumberkan Al Qur'an dan Al Hadith yang benar dan jitu untuk manusia. Apabila kita menyebut rahmat bermakna kasih sayang Tuhan kepada makhluknya tidak terbatas kepada mereka yang beriman sahaja malah manusia lain pun turut sama menikmati kasih sayang Tuhan dalam kehidupan di dunia ini. Al Qur'an menyebutnya "ArRahman Ar Rahim" . Orang pertama menerima Islam ialah Saidatina Khadijah binti Khuwailid isteri Baginda yang sangat membantu dengan harta jiwa dan raga kerana Islam. Sebaik menerima wahyu pertama di Gua Hira', Nabi Saw dalam keadaan kerisauan bergegas pulang ke rumah meminta isterinya menyelimuti Baginda. Isteri yang setia mententeramkan keadaan  dengan penuh lembut, hikmah dan kasih sayang kerana meyakini inilah sebenarnya perintah Tuhan kepada suaminya.

Antara akidah dan syariat

Sedari kecil lagi Baginda terkenal dengan Al Amin mempunyai pekerti sungguh mulia dan selama hidupnya tidak pernah berdusta, perilakunya yang menyayangi orang-orang miskin dan anak yatim menjadi pilihan Tuhan untuk dilantik menjadi seorang Nabi. Kisah perjalanan sirah Baginda Saw penuh dengan duri duri tajam kerana tidak ramai yang mau mengikut suruhan Tuhan. Bukan saja halangan yang menimpa malah mereka yang bersama Baginda pada peringkat awal Islam ramai di seksa dan di bunuh seperti berlaku kepada keluarga Ammar bin Yassir dan Summayyah yang termasyhur dalam sejarah. Tidak kurang juga Bilal Bin Rabah diseksa di padang pasir diletakkan batu di atas dada namun tetap menyebut Ahad Ahad yakni Allah Yang Esa sehingga di merdekakan oleh Abu Bakar.Bilal yang suaranya ketika menjadi Muazzin di dengar oleh penduduk langit dan manusia di bumi kendatipun pada waktu itu tidak ada pembesar suara menjadi penduduk syurga yang penuh dengan kenikmatan. Islam ialah Agama Samawi yang diturunkan Allah kepada Nabi Saw bertunjangkan akidah dan syariat. Syariat akan  pincang tanpa akidah begitu juga sebaliknya. Seumpama irama dan lagu tidak boleh dipisahkan jika terpisah pincanglah lagu rosaklah seni. Demikan kata Allahyarham P. Ramlee. Dakwah secara sembunyi berjaya mengislamkan beberapa orang sahabat seperti Abu Bakar,  Umar, Hamzah ,Ali sehingga tiba perintah Tuhan supaya menyebarkan Islam secara terang terangan.


Hijjaz keluarga Yassir.


Hai orang berselimut

Apabila perintah Allah turun  يا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ . قُمْ فَأَنْذِرْ . وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ . وَثِيابَكَ فَطَهِّرْ . وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ 

  وَلا تَمْنُنْ تَسْتَكْثِرُ .  وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْ

Hai orang yang berselimut . Bangunlah, dan berilah peringatan. Dan Tuhanmu agungkanlah. Dan pakaianmu bersihkanlah,. Dan perbuatan dosa tinggalkanlah,. Dan janganlah kamu memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak. . Dan dalam (memenuhi perintah) Tuhanmu, bersabarlah.

Semboyan dakwah telah di bunyikan secara terang melalui surah Al Mudathir membangunkan Nabi dari selimut untuk meyampaikan seruan Ilahi secara terbuka kepada kaum musyrikin Mekah. Baginda bersama para pengikutnya yang sedikit telah menjalankan perintah Tuhan dengan sepenuh jiwa raga tanpa memperdulikan rintangan yang melanda. Ancaman dan intimidasi dalam menyampaikan risalah tauhid selama 13 tahun di bumi kelahirannya cukup getir sehingga di musuhi oleh penduduk Mekah terutama dalam kalangan keluarganya sendiri seperti Abi Lahab disamping Abu Jahal,  Walid bin Mughirah dan pemuka Quraisyi lain yang berpengaruh ketika itu. Abi Lahab bapa saudara Nabi Saw sangat memusuhi Islam sehingga namanya tercatat dalam Al Qur'an sebagai seorang yang dilaknat oleh Allah. Tabbat Ya Abi Lahab, celaka Abi Lahab yang nama asalnya Abdul Uzza bin Abdul Mutalib abang kepada Abdullah Abdul Mutalib. Beliau bapa saudara kandung Nabi Saw. Surah  AL MASAD yang mengandungi 5 ayat khusus untuk menceritakan keadaan Abi Lahab, binasalah kedua-dua tangan Abi Lahab, harta dan segala yang diusahakannya tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita dengan bakaran api neraka yang menjulang panas bersama  isterinya seorang pemungut kayu api.Ayat ini  turun kerana peristiwa Abi Lahab memusuhi Nabi SAW dengan mengatakan celaka engkau Muhammad, kamu mengumpul kami hanya untuk memberitahu tentang perkara ini. Allah SWT lantas membalasnya seperti terakam dalam surah tersebut.

Antara Iman dan keluarga

Demikian hebat ujian Allah kepada Baginda terpaksa berdepan dengan situasi yang sangat sukar memilih iman atau bapa saudara. Peranan Abu Jahal  sebagai ketua penjahat Mekah telah menyeksa orang-orang lemah yang bersama Nabi Saw  sehingga seluruh keluarga Yassir syahid ditangannya.Pertembungan antara kebenaran dengan kebathilan meletakan bapa saudara Baginda Abi Talib bin Abdul Mutalib dalam keadaan yang sukar antara anak saudara dan ajaran yang di bawanya. Nabi Saw dengan penuh tegas tetapi lembut berkata kepada bapa saudaranya " Wahai bapa saudaraku, sekiranya mereka meletakan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiri ku supaya berhenti daripada menyampaikan seruan ini nescaya Aku tidak akan berhenti melainkan Aku mati kerananya.Setelah menyampaikan altimatun tersebut Baginda menangis. Demikian hebatnya jiwa tauhid Nabi SAW dalam menunaikan perintah Tuhan. Bumi Mekah menjadi saksi perjalanan sirah Baginda SAW menyampaikan setiap wahyu yang diturunkan kepadanya tanpa sedikit pun tertinggal. Gua Hira' tempat permulaan turunnya wahyu menjadi bukti tempat Nabi bersendirian memikirkan kebesaran Tuhan melalui pengamatan dan penelitian dengan mata hati akan setiap kejadian alam. Gua Thur menjadi saksi tempat Baginda bersama teman setia Abu Bakar As Sidiq bermalam kerana di kejar oleh kaum musyrikin Mekah untuk membunuh Baginda. Dengan izin Allah dipintu gua terdapat sarang labah-labah dan burung bertelur sehingga mengelabui mata musuh yang Baginda berdua berada di dalamnya. La takhaaf walaa tahzan Innallaha ma'ana demikian ucapan Nabi kepada Abu Bakar apabila melihat sahabatnya itu sedang menahan ketakutan. Dari Gua Thur Baginda menyusuri jalan pantai di bantu oleh Asma' sebagai penunjuk jalan selama berbulan hingga tiba di perkampungan Quba dan di sambut dengan penuh meriah oleh penduduk Quba. Talaal badrun alaina ya Nabi bergema di bumi Quba menyambut ketibaan Baginda dan di sinilah juga Rasulullah Saw membina Masjid yang diasaskan kepada TAQWA.

Antara Yathrib dan Madinah

Perjalanan dakwah Nabi Saw berakhir di Madinah memenuhi tuntutan iman kepada Tuhan. Penduduk Ansar menerima baik golongan Muhajirin yang berhijrah bersama Baginda. Kebaikan persaudaraan seagama jelas terbukti apabila mereka sanggup memenuhi permintaan kaum Muhajirin malah sanggup menawarkan isteri kepada mereka. Demikian persaudaraan Islam yang begitu tinggi nilai iman dalam kalangan muhajirin dan ansar yang mustahil boleh berlaku pada zaman kita ini. Perjalanan sirah nabawiah cukup pahit sehingga Allah memperkenankan permintaan RasulNya untuk menjadikan Madinah Al Munawarrah sebahagian Tanah Haram seperti Mekah sebagaimana permohonan Nabi Ibrahim AS kepada Tuhannya. Yathrib nama asal Madinah mempunyai sejarah yang panjang sebelum Baginda tiba. Penduduk asal Yathrib menerima Islam dengan baik dan di sanalah bermulanya panji panji daulah di daulatkan. Masjid Nabawi yang terletak maqam Nabi bersama Abu Bakar dan Umar menjadi saksi kemegahan Madinah sebagai negara Islam pertama di muka bumi.Bersebelahan Masjid inilah rumah Baginda yang serba sederhana dan di bawah kubah hijau inilah bersemadinya jasad insan teragung di muka bumi sehingga tibanya ketetapan yang Allah janjikan pada hari kebangkitan. 
ASSALAMUALAIKA YA RASULULLAH. 
ASSALAMUALAIKA YA HABIBULLAH. 
ASSALAMUALAIKA YA ABAL QASSIM.
ASSALAMUALAIKA AYYUHAN NABI YI WARAHMATULLAHI WABARAKAATUH.

Wallahua'lam
Che Yahya Che Soh
Pengetua SMK SINAR BINTANG
Segambut Park City
Isnin 13 Desember 2015.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...