Saturday, December 26, 2015

Antara takdir dan tadbir

Kejadian manusia penuh misteri. Kemisterian itu kerana manusia pada hakikatnya tidak dapat di sebut atau digambarkan dalam bentuk sesuatu kecuali hanya Allah yang Maha mengetahui apa yang ada dalam thulbi lelaki dan tulang dada wanita.  Pertemuan sperma dan ovum membentuk segumpal darah,beransur menjadi daging dan tulang-tulang berubah menjadi embrio yang lengkap sempurna dan tidak sempurna. Setiap sel dan tisu di arahkan membentuk organ tubuh seperti jantung,paru-paru, saraf yang mengandungi jutaan neuron yang berfungsi untuk mengkordinasi aktiviti tubuh. Dengan kehendak Allah melalui percantuman titisan zuriat kedua orang tua lahirlah kita ke dunia. Kejadian manusia berasal dari tulang sulbi dan tulang dada wanita. Al Qur'an menyebutnya  "YAKHRUJUMIM BAINI THULBI WATTARAAIB"  Antara  thulbi dan tulang dada di situ lahirnya manusia. Subhanallah. Ada juga mereka yang telah berkahwin sejak sekian lama namun tidak mempunyai cahaya mata walau pun kedua-duanya didapati tidak mempunyai sebarang masalah. Dari segi Biologi seharusnya mereka mempunyai anak namun berlaku sebaliknya. Begitu juga dengan kematian dan kehidupan sesudah mati pasti terjadi. Mati bukan penamat hidup ini tetapi alam ghaib pertama ditempuhi manusia sebelum menuju mahsyar.Logika minda sukar mempercayai orang yang mati ribuan tahun akan dihidupkan kembali. Di sisi Tuhan bukan sesuatu yang mustahil sepertimana tidak sukarnya Allah mencipta manusia dari tetesan mani yang hina hingga menjadi manusia.

Antara logika dan ketentuan

Logika minda sebaiknya tidak mendasari keinginan manusia tanpa bersandar kepada ketentuan Tuhan dalam meyakini hakikat kehidupan. Takdir ialah sesuatu yang telah ditetapkan Tuhan sejak manusia berada dalam kandungan ibu. Allah telah menetapkan beberapa perkara tentang kehidupan seperti rezeki, jodoh, ajal dan tanah kubur setiap hambaNya sebelum lahir ke dunia. Antara takdir dan tadbir mempunyai kaitan rapat dalam kehidupan. Kemiskinan bukan sesuatu yang telah di takdirkan tetapi memerlukan usaha manusia mengurus tadbir diri dan keluarga untuk merobah kehidupan bukannya berpegang kepada pepatah "ulat dalam batu pun boleh hidup" atau "rezeki secupak tidak menjadi segantang". Transformasi kehidupan tidak akan berobah selagi manusia hanya berpegang semata-mata pada takdir kendatipun telah ditetapkan Tuhan sejak azali. Usaha dan ikhtiar wajib di lakukan untuk memperbaiki keadaan dengan menanamkan azam yang bersungguh sungguh sebelum menyerah kepada takdir. Al Qur'an menyebutnya "FAIZA  'Azamta Fatawakkal 'Alallah". Mustahil seorang pelajar  mendapat keputusan cemerlang tanpa berusaha mentelaah pelajaran mereka dengan gigih melalui doa,usaha, ikhtiar dan tawakkal (DUIT).

Antara takdir dan doa

Hubungan manusia dengan Pencipta seharusnya tiada berkesudahan selagi adanya nafas kerana setiap gerak hati,lisan dan tindakan merupakan ibadah kepada Allah. Hati yang taqarrub sentiasa berzikir manakala lisan basah menyebut nama-nama Al Khalik diikuti perbuatan seperti solat, menuntut ilmu, berpuasa, berzakat dan menunaikan Haji dan Umrah merupakan kerja-kerja Islami yang mendapat ganjaran besar di sisi Tuhan. Takdir walau pun telah ditetapkan tetapi Allah berkuasa mengubahnya melalui doa, sedekah yang ikhlas kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Doa ialah senjata mukmin tetapi tanpa berusaha keras mustahil permohonan hajat di terima Allah.Demikian juga sedekah ikhlas akan memanjangkan umur dan di pelihara Allah dari segala musibah. Lebih disukai Tuhan bila tangan kiri tidak mengetahui perbuatan tangan kanan dalam melakukan kebaikan. Bermaksud lakukan secara sembunyi lebih baik untuk menjaga hati daripada sifat mazmumah. Antara musibah dan sedekah menjadi neraca pertimbangan Tuhan terhadap manusia. Mungkin takdir telah ditetapkan pada sekian hari akan berlaku sesuatu yang tidak baik ke atas makhluk, tetapi berkat sedekah rutin yang dilakukan secara ikhlas, Allah hindarkan dari terkena bala. Inilah yang dikatakan tadbir mengubah takdir kehidupan manusia. Takdir bukan menentu segalanya tetapi tadbir juga menjadi elemen yang menentukan kejayaan dalam sesebuah organisasi termasuk sistem pemerintahan sesebuah negara. Jangan menyalahkan takdir tetapi berusahalah dengan sepenuh azam untuk merobahnya melalui tadbir urus yang berkualiti dan berintegriti untuk memacu kecemerlangan diri dan umah dalam usaha mencari redha Tuhan.


Wallahu'alam

Che Yahya Che Soh
Pengetua SMK SINAR BINTANG@STAR
Segambut Parkcity Kuala Lumpur.
Ahad 27 Disember,2015.





 


No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...