Untung enam bulan Bank Rakyat    RM1.11b
Perolehan pembiayaan, aktiviti berasas yuran meningkat

Bank Rakyat meraih keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.11 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, meningkat lima peratus daripada RM1.06 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Keuntungan bersihnya dalam tempoh itu ialah RM915 juta, meningkat 10.5 peratus berbanding RM828.3 juta.
Bank koperasi Islam terbesar di Malaysia itu dalam kenyataannya semalam berkata, prestasi lebih baik itu disumbangkan oleh peningkatan pendapatan daripada pembiayaan dan aktiviti berasaskan yuran serta kejayaannya mengekalkan peruntukan pembiayaan terjejas yang rendah berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.


Aset meningkat 9.3 peratus

Katanya, dalam tempoh dikaji, pendapatan kasarnya meningkat dua peratus atau RM62.8 juta kepada RM3.16 bilion berbanding RM3.09 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

Jumlah aset pula katanya meningkat 9.3 peratus kepada RM84.7 bilion berbanding RM77.5 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu, disumbangkan oleh peningkatan baki pembiayaan.

“Pulangan atas aset dalam tempoh itu kekal tinggi pada kadar 2.9 peratus,” katanya.
Bank Rakyat berkata, dalam separuh pertama tahun ini, ia terus merekodkan pertumbuhan baki pembiayaan yang kukuh, iaitu berkembang 9.9 peratus atau sebanyak RM5.27 bilion kepada RM58.45 bilion.

Baki kasar pembiayaan konsumer, katanya meningkat 10.7 peratus atau sebanyak RM5.02 bilion kepada RM52.06 bilion berbanding RM47.05 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, kualiti aset Bank Rakyat secara keseluruhannya juga terus mengukuh pada akhir Jun 2013, yang mana nisbah pembiayaan terjejas kasarnya hanya berada pada kadar 2.4 peratus, berbanding 2.9 peratus pada akhir tempoh yang sama tahun lalu.

Pada masa sama, liputan atas kerugian pembiayaan kekal tinggi pada kadar 130.2 peratus berbanding 109.2 peratus bagi tempoh yang sama tahun lalu, katanya.

Deposit naik 7.2 peratus

Bank koperasi itu menjelaskan, jumlah depositnya pada akhir tempoh dikaji meningkat 7.2 peratus atau RM4.56 bilion kepada RM67.94 bilion, berbanding RM63.38 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, deposit runcit menyumbang 13.6 peratus kepada jumlah itu, berbanding 10.6 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, dana pemegang saham juga mencatatkan peningkatan kepada RM10.59 bilion dalam tempoh enam bulan dikaji, meningkat 14 peratus atau RM1.30 bilion, berbanding RM9.29 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu, disokong penambahan untung bersih dan penambahan modal berbayar. 
 
Berita Harian Online
Sabtu 28 September,2013.