Perkataan istiqamah dalam Bahasa Arab bermaksud teguh pendirian dan pegangan.Orang Barat menyebut committed. Budaya Melayu kaya dengan adat dan kesantunan budi yang di warisi sejak temurun.Masyarakat Melayu yang berpegang kepada Islam sebagai paksi kehidupan mengamalkan prinsip ketuhanan dalam pergaulan dan hubungan sosialisasi seharusnya dilestari sepanjang zaman namun mutakhir ini terlalu jauh meninggalkan kita.Orang Melayu sangat sinonim dengan Islam di Tanah Melayu sebagai bangsa yang beragama Islam sehingga ganjil rasanya bila orang menyebut Melayu Muslim tetapi tidak pada India Muslim dan Cina Muslim.Adat bersendikan syarak semakin sirna kerana pengaruh kehidupan yang menjauhi nilai Agama.
Pola budaya
Dunia menjadi semakin mengecil kerana jarak perhubungan mudah dan pantas. Zaman fb,tweeter,instagram menjadikan dunia seperti sebuah kampung yang tiada jarak dan batas sempadan.Pola budaya turut bertembung dan beradun dalam semua kehidupan baik dari segi makanan, pergaulan, pekerjaan, sosialisasi kehidupan, kebudayaan, kesenian dan pendidikan. Demikian pengaruh globalisasi yang berlaku pada alaf ini. Keanekaragaman budaya seharusnya tidak melenyapkan identiti dan jati diri kita sebagai Muslim kerana Islam mengajar penganutnya dengan prinsip rukun iman yang menjadi tunjang kehidupan dengan meletakan Allah sebagai tujuan hidup dan tetap beristiqamah hingga ke akhir hayat.Hayati setiap ciptaanNya,tadabur melihat alam yang luas terbentang melalui penglihatan mata hati nescaya bertemu dengan hakikat kehidupan sejati iaitu mencintai Ilahi hingga ke mati.
Mencari islah
Manusia ialah makhluk sosial yang tidak boleh hidup sendirian. Keberadaan manusia di muka bumi untuk melanjutkan risalah Tuhan melalui prinsip kesaksamaan dan keadilan sejagat termasuk flora ,fauna dan marga satwa lainnya sebagai sebahagian dari ekosistem kehidupan di bumi.Peradaban manusia terus berkembang selari dengan perkembangan teknologi kerana adanya Islah iaitu proses pembaharuan dalam kehidupan bersandarkan materi ilmu dan pemikiran Rabbani untuk melahirkan masyarakat madani.Tamadun margasatwa tetap tidak berubah sekali pun berganti generasi sejak berkurun.Proses pengislahan menjadi indikator kemajuan manusia dalam pemikiran dan doktrin untuk merealisasikan ubudiyah kepada Allah swt selaku pengurus dan pentadbir alam. Di sinilah berfungsinya paradigma tauhid sebagai pemangkin istiqamah dalam perjuangan.
Menegak kebenaran
Setiap perjuangan menegakan kebenaran pastinya menempuh jalan sukar memerlukan keutuhan diri dan semangat waja dalam kalangan pimpinan dan pengikut.Dalam apa pun perjuangan jika istiqamah luntur jangan mengharapkan kemenangan. Allah swt sangat menyanjungi hambaNya yang sentiasa melakukan amal mulia secara berterusan walau pun sedikit. Contoh mudah menunaikan solat di awal waktu, memberi infak berpanjangan,berbakti kepada ayah ibu dan menghubungkan silaturahim sesama manusia.Membuang budaya HHTA dalam setiap perjuangan seharusnya perlu dipraktikan dalam kalangan pemimpin kerana hangat hangat tahi ayam tidak sampai kemana yang tinggal hanyalah penyesalan sepanjang hayat. Perjuangan menegakan kalimah Allah yang mulia tidak kesampaian jika tiada istiqamah dan keikhlasan dari lubuk hati.Ikhlas berkait rapat dengan istiqamah dalam menunaikan perintah Tuhan. Allah swt hanya menerima setiap perjuangan dari qalbu yang salim jauh dari sifat mazmumah seperti riak,tamak,angkuh dan membangga diri. Innallaha laa yuhibbukulla mukhtaalin fakhuur.
Wallahua'lam
Che Yahya Che Soh
Pengetua SMKSB@STAR
PPPS DG 54
Rabu 18 Feb 2015.
Bunda Hotel BT Sumbar.
No comments:
Post a Comment