Friday, February 20, 2015

Antara Merapi dan Singgalang

Penerbangan ke Bukit Tinggi Sumatra Barat dengan pesawat AirAsia dari KLIA2 selama 55 minit seperti pergi Langkawi. Pada Ahad 15 Februari, 2015 sekali lagi kami empat beranak ke negari yang indah ini mengunjungi anak-anak yang mengaji di Surau Batu Al Irsyad Parabek. Dalam bulan September,2014 lalu, kami lima beranak berkesempatan melawat beberapa tempat bersejarah di Sumatra Barat selama 1 minggu dan mampir sebentar bertemu Pak Eswandi di Perguruan Thawalib. Kali ini tumpuan hanya di sekitar Bukit Tinggi sahaja untuk melihat dengan lebih dekat Yayasan Pendidikan Al Irsyad Surau Batu.Kami sekeluarga melihat sendiri kesusahan anak anak ini menimba ilmu dalam suasana yang benar-benar memerlukan pertolongan.

Ulul Albab

Alam takambang menjadi guru.Demikian analogi kehidupan yang ditinggalkan Almarhum Prof Dr.Hamka mengenai kepentingan ilmu dan hubungannya dengan alam semesta yang menjadi pegangan dalam kalangan Ulul Albab. Ekosistem alam yang segar dan bersih menuju Bukit Tinggi sungguh menenangkan fikiran. Irama lagu-lagu lama Minang yang mengiringi perjalanan seolah-olah bercerita tentang keindahan dan rancaknya budaya adat yang di warisi tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Hutannya masih perawan tidak terusik oleh tangan-tangan liar yang menggorogoti bukit. Mata airnya yang jernih bak embun di daunan pagi mengalir di celah-celah batu dan akar-akar kayu menuju anak sungai berdekatan jelas kelihatan sepanjang jalan.Hutan merupakan khazanah alam yang sangat berharga perlu dilestari untuk kesejahteraan manusia.

Antara dua gunung

Bukit Tinggi yang terletak di antara dua buah gunung iaitu Merapi dan Singgalang sungguh cantik dan alami. Gunung Merapi masih aktif dan kelihatan kebiru-biruan dari kejauhan membentuk panorama yang cukup indah dengan pemandangan lerengan sawah padi hijau menguning di kakinya. Maha Suci Allah Tuhan Pencipta sekalian alam.Tanaman dan sayur-sayuran subur menghijau kerana lahannya berorganik.Cuaca Bukit Tinggi antara 18-20 Darjah Celsius terasa macam berada di Melbourne Australia. Kebetulan pula hujan turun sepanjang hari menambah sejuk lagi kota ini.Perkhidmatan yang diberikan Subari@Baripesona selama 5 hari 4 malam memuaskan kami sepanjang berada di sini.Hotel Bunda menjadi tumpuan pelancung dari Malaysia yang kebanyakannya selesa  menginap di sini.Penerbangan AirAsia dua kali sehari iaitu di awal pagi dan tengah hari. Dari Bandara (Lapangan Terbang) singgah menjamu selera di restoran Lamun Ombak sebelum meneruskan perjalanan ke Bukit Tinggi kira-kira satu jam tiga puluh minit jika jalannya mulus. Justeru tak hairanlah mengapa ramai sekali turis dari Kuala Lumpur melawat kota ini untuk bercuti sambil membeli belah di sini saban minggu.






























































Di Bandara Minangkabau


















Melewati Lembah Anai 

 

































Minum pagi di Bunda Hotel










































Bersama Subari@Baripesona  


















Pemandangan di Tarako.



















Pemandangan ke Tarako Cafe Ngarai Sianok














































Balai adat Koto Gadang













Rumah asal Bung Hatta

Surau Al Irsyad

Kami empat beranak mengunjungi Surau Batu Al Irsyad di Parabek untuk bertemu Pak Eswandi yang mengurus  pengajian anak-anak tahfiz. Surau ini dibangunkan atas swadaya masyarakat tanpa bantuan Pemerintah.Kami sempat menunaikan fardhu Zohor bersama masyarakat setempat dan menunaikan sedikit hajat untuk Surau dan sekolah tahfiz yang masih dalam pembinaan. Mengikut Pak Eswandi, guru-guru yang mengajar seramai 7 orang dan mereka hanya menerima elaun terlalu kecil namun tetap bersemangat memberi ilmu kepada anak-anak supaya celik dan mengenal Al Qur'an.Pembinaan surau ini dari tahun 1996 melalui usaha sama beberapa penyumbang dari Malaysia termasuk Almarhum Hj Amir Dahlan (Bapa mertua) , Hj Baharuddin Ali, dan Hj Nordin yang banyak membantu menyempurnakan pembangunan surau ini.Semoga Allah swt memberikan ganjaran pahala sebaik-baiknya.











Bersama guru-guru tahfiz Surau Al Irshad. Pak Eswandi
berkopiah.


















Ruang Solat Surau Al Irsyad


















Sekolah Tahfiz dalam pembinaan


















Masih belum siap sepenuhnya
mengharapkan sumbangan masyarakat.

Ganjaran Infak

Allah SWT sangat memuliakan hambaNya yang bersedekah atau menginfak sebahagian rezeki yang diperolehi untuk membantu mereka yang benar-benar memerlukan pertolongan.Para Malaikat akan menjaga dan mendoakan pemberi sedekah setiap hari. Setiap sen yang kita sumbangkan ke jalan Allah pastinya mendapat ganjaran pahala berterusan dan dijauhkan dari bala bencana. Justeru saya mengalu-alukan pembaca yang berhajat untuk membantu anak-anak miskin yang sedang menuntut ilmu terutama mendalami Al Qur'an sangatlah di harapkan.Apabila meninggalnya anak Adam, terputuslah hubungan dengan dunia kecuali tiga perkara Ilmu bermanfaat, sedekah jariah dan anak yang soleh. Sama-sama lah kita renung dan rebut peluang semasa hayat masih di kandung badan untuk bekalan di alam sana.Beruntunglah mereka yang memiliki ketiga-tiganya dan sangat merugilah hidup kita jika semuanya nol yang kita bawa menuju Allah.


 
 Surau Batu Al Irsyad Parabek Bkt Tinggi

Wallahua'lam.
Che Yahya Che Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut,Kuala Lumpur.
PPPS DG 54
Ahad 21 Februari,2015.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...