Saturday, February 7, 2015

Guru - Antara Risiko Dan Tanggungjawab

Kecemerlangan pendidikan tidak hanya di ukur melalui pencapaian akademik semata mata tetapi merangkumi semua aspek seperti ko kurikulum, sukan dan permainan.Kebitaraan sesebuah sekolah menjadi ikon masyarakat untuk menghantar anak anak mereka meneruskan pelajaran bagi menjamin kejayaan yang lebih baik. Sekolah-sekolah berprestij seperti VI TKC SBP (sekadar contoh) mempunyai kemudahan sarana yang cukup untuk keperluan pelajar sebaliknya sekolah harian biasa menghadapi kekangan sangat kritikal untuk membawa pelajar menyertai pertandingan,kelab dan permainan yang di anjurkan oleh PPD , Jabatan dan Kementerian. Guru guru terpaksa menggunakan kenderaan sendiri membawa pelajar ke sesuatu destinasi yang ditetapkan. Jika bilangan pelajar melebihi 15 orang pihak sekolah boleh menyewa bas tetapi kalau 2 atau 3 pelajar,guru terpaksa menggunakan kereta sendiri untuk menghantar mereka menyertai pertandingan.Antara risiko dan tanggungjawab meletakan guru dalam situasi yang membimbangkan jika berlaku perkara yang tidak diingini semasa menjalankan tugas.Ini lah dilema yang di hadapi saban tahun oleh kebanyakan guru yang mungkin tidak diketahui oleh masyarakat luar sana.Kita tidak mengharapkan perkara tidak elok berlaku tetapi sebagai penjawat awam yang tidak akan sekali kali engkar perintah tetap melaksanakan tanggungjawab kendati pun berkemungkinan berdepan dengan risiko.

Pekeliling Kementerian

Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) bil 8/2009 Langkah-langkah keselamatan semasa mengikuti aktiviti/program lawatan di luar waktu persekolahan, SPI 6/2000, SPI 9/2000, SPI 5/2007 dan SPI 8/2007 disediakan Kementerian Pendidikan sebagai panduan kepada semua guru semasa membawa pelajar menyertai aktiviti luar. Pekeliling ini hanya sekadar garis panduan sahaja dan tidak diperincikan dengan jelas kaedah atau tatacara membawa pelajar menyertai sebarang pertandingan. Perkara yang sangat dimusykilkan ialah klausa dari segi  undang-undang  semasa guru membawa pelajar mereka menyertai aktiviti wajib yang di arahkan oleh pihak berkenaan.Seandainya berlaku sesuatu di luar kawalan manusia, apakah jaminan undang-undang yang boleh di beri kepada mereka? Di luar tafsiran undang-undang, saya berpandangan tidak boleh sama sekali guru membawa pelajar menggunakan kenderaan sendiri walau pun bilangan pelajar hanya 3 hingga 4 orang tetapi inilah yang rata-ratanya berlaku sejak sekian lama dan tentunya berterusan tanpa penyelesaian tuntas.Kesatuan Guru, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Majlis Guru Besar (MGB) dan PIBG  perlu duduk bersama dengan Kementerian merangka strategi untuk menentukan Garis-Garis Besar Haluan Pendidikan Negara (GBHPN) dalam aspek Ko-kurikulum,Sukan,Kelab dan Permainan untuk keselamatan pelajar dan guru-guru kita semasa mereka bertugas di luar.

Penasihat Undang-Undang

Kementerian Pendidikan perlu mendapatkan pandangan Penasihat Undang-Undang (LA) bagi menggaris bawahi peraturan yang berkaitan dengan tugas guru membawa murid menyertai aktiviti luar sekolah. Pejabat Pelajaran Wilayah, Jabatan dan Kementerian kerap memanggil pelajar menyertai seminar kecemerlangan dan guru di minta menghantar mereka jika tidak surat tunjuk sebab akan di keluarkan. Antara surat tunjuk sebab dan risiko keselamatan dua perkara berbeza agaknya pada pandangan rakan-rakan kita di sana.Menjadi kelaziman masyarakat Malaysia bila berlaku insiden baharu mula mencari punca dan saling tuding menuding antara satu sama lain kerana masing-masing di lihat ingin mengelak dari tanggungjawab yang akhirnya guru juga menjadi mangsa.Banyak kes  yang membabitkan guru dan murid sehingga terpaksa ke mahkamah bila berlaku peristiwa yang menyedihkan. Kemalangan berlaku semasa membawa pelajar menjalani aktiviti luar menggunakan kereta sendiri seharusnya mendapat perhatian serius pihak berwenang. Guru tidak ada pilihan kecuali akur dengan arahan.Isu ini tidak akan selesai selagi tiada kata putus dari penggubal dasar di Kementerian Pendidikan.Kita tidak perlu menunggu nasi menjadi bubur atau bila terantuk baharu tengadah tetapi bertindaklah dari sekarang,kerana perkara yang telah berlaku tidak boleh di undurkan kembali.Jangan hanya mengharapkan takdir yang menentukan segalanya sebelum terlambat.Seharusnya kita perlu mengambil ibrah melalui peristiwa yang telah pernah berlaku membabitkan  guru semasa membawa pelajar menjalani aktiviti di luar.


 Sumber: Sorotan akhbar, Harian Metro 2006 .

Che Yahya Che Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut, Kuala Lumpur.
Ahad 8 Februari,2015.

2 comments:

  1. Sokong.sampai sekarang dah adakah undang2 tu di kpm.saya juga seorang guru dan jika diarahkan akan menjadi dilema.ikut atau ingkar.pls do something about it.

    ReplyDelete
  2. Keputusan di pihak KPM yang menetukan sesuatu dasar.

    ReplyDelete

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...