Thursday, February 19, 2015

Bila Manusia Celik Teknologi

Masyarakat dunia hari ini lebih gemar membaca berita melalui portal media elektronik berbanding akhbar cetak.Kemana saja kita pergi baik semasa menunggu pesawat, menunggu bas, dalam teksi hatta semasa makan pun orang berkepit dengan smartphone. Inilah fenomena masyarakat dapat kita saksikan pada abad digital kurun ke 21 ini. Budaya ICT telah menjadi keperluan dalam hubungan komunikasi antara kenalan melangkaui sempadan dan daerah.Orang lebih gemar berinteraksi melalui telegram, fb, instagram, tweeter, whatsAPP dan pelbagai kemudahan teknologi untuk mengetahui perkembangan dan status terkini sesuatu berita. Di lihat dari perspektif ilmu, perkembangan teknologi menjadi indikator kemajuan diri kerana sumber maklumat hanya berada di hujung jari.Enjin pencari seperti google, chrome, explorer,mozilla firefox merupakan medium yang mudah memberikan maklumat yang di perlukan sepantas mungkin dengan syarat adanya kemudahan jalur internet.Pengguna perlu beretika dalam menyampai dan memberi maklumat yang tepat dan autentik kerana media sosial menjadi pilihan masyarakat dewasa ini. Kesilapan dan ketidaktepatan informasi boleh merencatkan sosialisasi antara manusia. Demikian juga hubungan bilateral antara negara turut merasai impaknya jika teknologi diguna untuk memanipulasi sesuatu isu yang belum pasti kesahihannya.

Publikasi produktif

Perubahan pemikiran dan peradaban terlalu pantas telah menghakiskan nilai-nilai ketimuran yang mempunyai kelembutan budi dan kemuliaan akhlak. Kesantunan adat sudah sirna dalam kehidupan umat masa kini.Kelihatan berlumba-lumba mempamerkan kehebatan diri melalui publikasi media sosial untuk tatapan umum.Amat malang sekali jika pengguna hanya menerima dan menyampaikan maklumat tanpa membuat sedikit penyelidikan dan analisa terhadap sesuatu informasi sebelum menyebarkan kepada orang lain.Dunia siber cepat menjadi viral masyarakat dalam waktu yang sangat relatif singkat.Sebagai pemilik akaun yang bertanggungjawab, kita perlukan publikasi produktif untuk manfaat semua pengguna. Seseorang penulis yang profesional menitikberatkan fakta dan kejituan maklumat sebelum menerbitkan artikel untuk tatapan umum.Seorang penulis yang beretika bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tulisannya. Dia menulis bukan kerana nama tetapi bertanggungjawab menyampaikan  wacana ilmu kepada pembaca. Di sisi lain pembaca pula berhak menilai setiap buah fikiran itu berbobot atau hanya sekadar menulis untuk mencari publisiti murahan supaya di kenali ramai.Tulisan dan perkongsian minda  yang kita tuangkan dalam media maya menjadi amal jariah kerana mendapat input yang berguna kepada pembaca kendatipun penulisnya telah tiada lagi di dunia. Inilah yang dimaksudkan publikasi produktif. Menggunakan saluran siber sebagai tekno da'i  iaitu gabungan teknologi dan dakwah menyampaikan risalah  Tuhan dan pesan Nabi saw merupakan kemuncak kecemerlangan teknologi.

Mendidik manusia

Kemajuan teknologi seharusnya digunakan untuk mendidik manusia mengenali akar budi sesuatu bangsa bersumberkan ilmu yang di datangkan Tuhan ke muka bumi. Allah memberikan kekuatan ilmu kepada manusia melalui daya fikir merekacipta teknologi moden untuk kebaikan sejagat bukannya merekayasa perkara-perkara yang ditegah Agama.Setiap perbuatan baik pasti mendapat ganjaran Tuhan,demikian sebaliknya. Ini janji Allah kepada hambanya walaupun sebesar zarah tetap dihitung di akhirat kelak. Pahala mengalir berterusan kepada hambaNya yang meninggalkan karya bermanfaat untuk pencerahan pemikiran publik.Teknologi di guna untuk kecemerlangan hidup manusia dalam berbagai kegiatan seperti pembangunan ekonomi,mempelajari pelbagai kesenian, kebudayaan, pelancungan dan pendidikan sesebuah negara bukannya memaparkan kejelekan budaya yang merugikan.Teknologi dalam bidang perubatan yang bertujuan membantu pesakit mengurangkan komplikasi semasa rawatan umpamanya, menjadi ibadah yang berkekalan kerana memberi manfaat kepada masyarakat yang memerlukan.Lanskap dunia perubatan telah banyak berubah dengan adanya teknologi perubatan moden sehingga mampu mengesan pergerakan embrio sejak dari mula terbentuk hinggalah di saat kelahirannya.Demikian juga dalam bidang pertanian dan penternakan peranan teknologi sangat dominan dalam pengeluaran produk bermutu dan mendapat permintaan pasaran antarabangsa.

Era kereta lembu

Perkembangan hidup manusia sentiasa berubah. Jika seratus tahun yang lalu, kereta lembu,kereta kerbau atau pedati menjadi kenderaan utama kemudian munculnya basikal sebagai pengangkutan utama dalam kalangan penduduk terutama di negeri-negeri kepulauan Melayu.Kerajaan kerajaan tua pada masa itu menjadikan pedati kenderaan utama sebelum munculnya kereta kuda yang lebih kuat dan cepat.Kedatangan penjajah yang berdomisili di negeri-negeri Melayu selama ratusan tahun bukan sahaja menguras hasil bumi tetapi lebih malang menyekat kebebasan rakyat dari bersuara turut mewarnai kehidupan masyarakat pribumi.Ramai penduduk yang mati di bunuh dan di biarkan kebuluran oleh tentera Jepun. Kezaliman penjajah terbukti melalui peninggalan sejarah yang terdapat di merata tempat di negeri-negeri kepulauan Melayu. Belanda menjajah Indonesia 350 tahun,Portugis di Melaka juga memakan kurun sebelum beradu dengan Inggeris.Misteri lobang Jepang di Bukit Tinggi Sumatra salah satu bukti kekejaman Jepun yang menjajah Indonesia.Demikian secuplikan tinggalan sejarah untuk kita jadikan ibrah.Walau pun pada masa itu teknologi belum ada namun strategi pemikiran penjajah seperti telah wujudnya medium internet untuk menguasai negeri-negeri Melayu.Bila manusia celik teknologi seharusnya dapat memanfaatkan kemudahan ini untuk kecemerlangan pendidikan anak-anak dengan mengajar dan mendidik mereka mengenal akar budi budaya bangsa yang mempunyai keutuhan jati diri bertunjangkan nilai-nilai kemuliaan untuk memanusiawi manusia.


Che Yahya Che Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut, Kuala Lumpur.
Jumaat 20 Februari,2015.




No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...