Friday, October 19, 2012

Mesyuarat PBS di ILHAM PNB Resort Port Dickson

Pendidikan merupakan proses memindahkan ilmu dan pengetahuan kepada pelajar melalui pelbagai kaedah dan pendekatan untuk mencapai matlamat pembangunan negara bagi melahirkan modal insan yang produktif   dan berdaya saing dengan negara-negara maju.Kemajuan dalam bidang  pendidikan menjadi parameter pembangunan sesebuah negara. Kerajaan telah memperuntukan sejumlah dana yang besar iaitu RM38.7 bilion untuk pembangunan pendidikan negara sepertimana dalam  bajet 2013 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini. Di bawah kepimpinan YAB Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran beberapa pembaharuan dalam pendidikan telah dilaksanakan . Dasar MBM,MBI, 1M,1S , SBT , LINUS , Dailog Nasional Pendidikan Negara dan Baiah merupakan pemikiran Muhyiddin merealisasikan penambahbaikan dalam pendidikan . Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) yang bermula pada 2013-2025 merupakan kesinambungan  Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang berakhir pada tahun 2010 juga merupakan gagasan beliau untuk memacu kecemerlangan pendidikan negara.




Tan Sri Muhyiddin Yassin


Mesyuarat PBS


Bagi merealisasikan hasrat Kementerian Pelajaran, Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan (JPWP) telah mengadakan mesyuarat Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di Ilham Resort pada 17-19 Oktober 2012 (Rabu-Jumaat) kepada semua Pengetua Wilayah Persekutuan untuk memberikan pendedahan secara terperinci mengenai  mekanisma dan pengoperasian PBS di seluruh Sekolah Menengah yang bermula dengan pelajar Tingkatan 1 pada tahun ini. Lembaga Peperiksaan merupakan agensi bertanggungjawab merangka program penambahbaikan terhadap sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan kepada pentaksiran berasaskan sekolah . Pengarah Peperiksaan ketika itu Datuk Yaakup Ederis @Idris (Almarhum-semoga Allah meredhainya) memimpin Lembaga Peperiksaan dengan cemerlang bersama pasukan (Task-force) yang di ketuai Dr. Khodori Ahmad, Dr. Jamil Adimin , Puan Mazni Mat Salleh, Datin Faisah (sekadar menyebut beberapa nama) membuat 'road show' ke setiap negeri mengenai transformasi dalam peperiksaan. Pentaksiran yang bersifat menyeluruh untuk menilai keupayaan murid membabitkan kognitif , emosi dan psikomotor menjadi elemen utama dalam PBS. Setiap pelajar mempunyai fail 'show case' dan fail biodata bagi merekodkan pencapaian dalam setiap mata pelajaran yang diduduki bersama 'evidence' yang ditetapkan.


Transformasi Pendidikan


Transformasi pendidikan bertujuan membuat penambahbaikan kepada sistem yang sedia ada bagi melahirkan pelajar secara syumul sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menekan keseimbangan  Jasmani, kestabilan emosi, kekuatan rohani dan daya intelektual yang mapan (JERI). Penekanan kepada pencapaian peperiksaan semata-mata dilihat sangat membebankan pelajar dan ibu bapa sehingga terdapat beberapa kes pelajar cuba membunuh diri kerana kecewa dengan keputusan yang mereka perolehi . Setiap perubahan sudah pasti mendapat rungutan, tentangan dan rasa kurang puas hati kepada semua pihak termasuk masyarakat, ibu bapa, guru-guru dan pelajar . Sistem Pentaksiran Kebangsaan sangat identik dengan hasrat FPK  untuk mentaksir pelajar. Melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pelajar dinilai berdasarkan lima domain utama iaitu  Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Saikometrik, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum(PAJSK)  dan Peperiksaan Berpusat . Garis-garis Besar Haluan Pendidikan ini dirangka untuk mengangkat martabat institusi pendidikan dengan memberikan wewenang kepada para guru mentaksir pelajar mereka berdasarkan standard prestasi yang ditetapkan Lembaga Peperiksaan .



Che'Yahya Che' Soh
Pengetua SMK SINAR BINTANG (STAR SCHOOL).
20 Oktober,2012.








No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...