Saturday, October 6, 2012

Selamat Menduduki PMR

Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan bermula pada  Selasa 9 Oktober,2012. Calon-calon PMR sudah tentu berdebar-debar menunggu hari peperiksaan tersebut. Guru-guru dan ibu bapa masing-masing turut sama merasai kebimbangan . PMR merupakan penilaian peringkat menengah bertujuan membuat penilaian  keatas calon sejauh mana mereka dapat menguasai setiap mata pelajaran yang diajar berasaskan  sillabus dan kurikulum yang ditetapkan .  Kebanyakan sekolah telah mengadakan solat hajat dan majlis doa restu sebagai ikhtiar terakhir  dengan harapan calon-calon dapat menjawab setiap soalan dengan baik dan lulus dengan cemerlang .

Calon PMR SMK Sinar Bintang 

Seramai 377 orang calon SMK Sinar Bintang (SMKSB) akan menduduki PMR pada tahun ini membabitkan 3 pusat peperiksaan. Pihak sekolah telah melaksanakan pelbagai program dan strategi seperti Program Pembestarian PMR (PPP) dengan memberi fokus kepada  aktiviti kecemerlangan akademik seperti program mutiara hati, anak ku sayang, klinik Bahasa, titian kasih , score A dan rakan mento mentee dalam kalangan pelajar  sebagai persiapan menghadapi PMR. Sekalung penghargaan dan tahniah kepada guru-guru yang telah berhempas pulas membimbing pelajar bagi memastikan kejayaan mereka .  Kita telah mensasarkan seramai 40 orang calon  mendapat keputusan semua A dalam semua mata pelajaran. Sasaran ini berasaskan petunjuk prestasi mereka dalam ujian intervensi dan peperiksaan pertengahan tahun yang baru lalu. Semoga SMKSB terus memacu kecemerlangan menjadi sebuah  realiti berdasarkan standard prestasi selaras dengan perancangan strategi menuju  sekolah bestari.




















Datang dengan harapan, pulang dengan kejayaan .
Renungi dengan teliti kata-kata ini !

Persiapan mental

Kemampuan calon menjawab kertas soalan bergantung kepada persediaan dan persiapan mental yang kuat . Calon-calon tidak perlu rasa bimbang, takut dan cemas sekiranya mereka bersedia dari segi fizikal dan mental. Kekuatan minda menentukan kecergasan diri. Sebaik berada dalam dewan peperiksaan calon-calon  perlu bertenang dan jangan bising. Pastikan semua peralatan seperti pen, pensil dan dokumen diri lengkap seperti terkandung dalam slip peperiksaan. Ikut arahan Ketua Pengawas dan pengawas bertugas.Ketua Pengawas dan Pengawas Peperiksaan (PP) akan membuka kertas soalan di hadapan calon sebaik peperiksaan akan bermula. Lazimnya mereka akan meminta dua orang calon menyaksikan bekalan soalan yang dibekalkan adalah BETUL seperti dalam jadual peperiksaan. Calon-calon perlu meneliti dengan baik sebelum menurunkan tanda tangan disampul soalan yang ditunjukan Pengawas. Setelah berpuas hati, KP akan mengarahkan PP mengedarkan soalan kepada calon. KP akan mengarahkan calon-calon menyemak setiap lembaran kertas soalan bagi memastikan tiada sebarang ketidakaturan (no irregularities) ditemui.


Tugas Ketua Pengawas

Mengikut peraturan peperiksaan, Ketua Pengawas(KP) dan Pengawas(P) mempunyai kuasa menahan mana-mana calon yang disyaki melakukan penyelewengan dan tidak jujur semasa peperiksaan. Pelantikan KP dan PP tertakluk di bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Akta Rahsia Rasmi 1972 bagi membolehkan beliau menjalankan tugas dan tanggungjawab mengurus peperiksaan. Mereka berhak mengendalikan kertas peperiksaan yang bertaraf SULIT dengan penuh kepercayaan dan amanah .Justeru calon-calon mesti akur dengan arahan Ketua Pengawas dan Pengawas Peperiksaan setiap masa bagi memastikan pengurusan peperiksaan berjalan lancar. Lembaga Peperiksaan berhak menggantung keputusan sekiranya terbukti  calon-calon melakukan penyelewengan dan penipuan .

Kutip kertas jawapan

Calon-calon diingatkan supaya memastikan kertas jawapan mereka dikutip oleh pengawas sebelum meninggalkan dewan atau bilik peperiksaan. Teliti dan ikat dengan cermat setiap helaian jawapan sebaik masa peperiksaan tamat. Pengawas bertugas akan memungut setiap kertas jawapan mengikut susunan angka giliran calon. Pastikan kertas jawapan anda tidak TERCICIR .

SELAMAT MENDUDUKI  PMR  . SEMOGA CALON CALON SMKSB DAPAT MENCIPTA KECEMERLANGAN DARI SEGI KUALITI DAN KUANTITI . KAMI MENDOAKAN KEJAYAAN ANDA . KEJAYAAN ANDA KEBAHAGIAAN KAMI .

Che' Yahya Che' Soh
Pengetua SMKSB
7 Oktober,2012

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...