Selesai mengimamkan solat Fajar di Surau Al Falah AU4 pagi tadi Sabtu 6 Oktober,2012 bersamaan 18 Zul kaedah 1433H, saya diminta menjadi Bidan Terjun oleh saudara Haji Azhar AJK Surau menggantikan Ustaz yang tidak hadir . Memberi tazkirah secara spontan memerlukan kekuatan diri dan kemantapan rohani kerana pengisian ilmu perlu berlandaskan kepada Al Qur'an dan Hadith Nabi SAW sebagai rujukan ilmiah. Saya tidak mempunyai kelulusan dalam bidang pengajian Islam sepertimana para ustaz yang sentiasa memberikan kuliah di surau yang makmur ini cuma atas rasa tanggungjawab sebagai seorang muslim disamping memenuhi harapan jamaah yang sedia menunggu saya dengan rasa rendah diri mengisi waktu terluang dengan perkongsian ilmu yang bermanfaat mudah-mudahan mendapat keredhaan Allah SWT . Amin.
Peringatan Solat
Saya mulakan dengan perintah mendirikan solat. Ajaran Islam memberikan penegasan jelas mengenai kefardhuan sembahyang lima waktu yang wajib ditunaikan oleh setiap mukallaf mulai aqil baligh hinggalah ia kembali menghadap Illahi. Solat tidak diwajibkan kepada orang hilang akal (gila) kerana golongan seperti ini dikecualikan dari syariat Agama . Al Qur'an sebagai kitab terakhir mengandungi peraturan dan hukum disampaikan Rasullullah SAW kepada umat manusia dengan penuh bijaksana sesuai dengan sifat kenabian siddiq, amanah, tabligh, fatonah. Kesempurnaan sifat ini digambarkan oleh Allah dengan akhlak pesuruhNya yang sangat Mulia (Al Qalam : 5) . Justeru Rasullullah SAW dijemput Allah SWT menerima solat secara langsung semasa peristiwa Isra' Mikraj melalui perjalanan yang jauh dari Masjidil Haram Mekkah Al Mukkarramah ke Masjidil Aqsa Palestin dalam tempuh semalaman. Pemikiran logik tidak mampu mencerna kejadian tersebut sepertimana sangkalan bapa saudaranya Abu Lahab kerana katanya tidak mungkin Muhammad SAW mampu melakukan perjalanan seperti itu. Allah menurunkan ayatNYa dalam surah Al LAHAB sebuah surah pendek khusus mengenai Abu Lahab yang memusuhi Nabi SAW. Cuba kita bayangkan bagaimana perasaan Nabi SAW yang berada dalam situasi genting seperti itu. Bapa saudaranya yang meraikan keputeraan baginda tiba-tiba menjadi penentang utama ajaran yang disampaikan Muhammad SAW .
Logika Akal
Akal manusia yang tidak dibaringi dengan nur iman sudah pasti melihat sesuatu kejadian secara lahiriah semata sehingga sukar mempercayai kejadian Tuhan sedangkan alam akhirat, syurga, neraka, titian siraat, hari pembalasan , mahshar tidak boleh difikirkan secara logik sepertimana kita tidak mampu memikirkan bagaimana Allah SWT mencipta diri manusia dari setitik air yang hina sehingga menjadi manusia berakal dan mempunyai nafsu syahwat . Oleh yang demikian tugas manusia ialah menghambakan diri kepada Allah melalui perbuatan dan tindaklaku yang digariskan Al Qur'an dan Sunnah Nabi SAW secara jujur dan ikhlas tanpa mengharapkan sesuatu balasan. Beramal dengan ikhlas akan memancarkan cahaya ketulusan dalam diri sehingga timbul rasa khusyu' dalam solat sebagai manifestasi keimanan kepada Tuhan. Allah gambarkan orang-orang beriman yang khusyu' mengerjakan solat akan memperolehi kenikmatan dan kekal didalam syurga Firdaus buat selama-lamanya .
Rumusan:
Solat tiang Agama.
Tinggal solat runtuh Agama.
Solat wajib ditunaikan dalam segala keadaan dan suasana.
Kebobrokan akhlak kerana tinggal solat
Solat mencegah mungkar.
Solat mendidik manusia menjadi hamba berintegriti (takwa)
Mengamalkan doa yang ditinggalkan Nabi Ibrahim AS supaya menjadi
hamba dan zuriat kita mengekalkan solat.
hamba dan zuriat kita mengekalkan solat.
Wallahua'llam.
Al Fakir Che' Yahya Che' Soh
6 Oktober,2012
18 ZulKaedah 1433H
No comments:
Post a Comment