NUTP syor guru bersara ganti ETA
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my
2012/02/27
Di AS katanya, bahasa Inggeris ialah bahasa ibunda tetapi di negara ini, bahasa berkenaan ialah bahasa kedua atau bahasa asing.
“Adalah lebih wajar jika Kementerian Pelajaran mengambil semula guru Bahasa Inggeris yang sudah bersara bagi mengatasi masalah itu yang sekali gus membantu meningkatkan penguasaan pelajar.
“Sebagai penyelesaian jangka panjang, mereka juga beranggapan melatih warga negara tempatan yang fasih dalam bahasa berkenaan lebih baik daripada menaja sukarelawan atau penutur jati dari negara lain,” katanya.
Baru-baru ini, seramai 50 rakyat AS tiba di negara ini dan mereka ditempatkan di beberapa sekolah di Terengganu, Pahang dan Johor sebagai kumpulan pertama ETA. Masing-masing adalah sebahagian daripada 300 ETA yang dibiayai kementerian.
Adnan berkata, kedatangan ETA juga boleh mewujudkan pertembungan budaya yang mungkin tidak disenangi pelajar.
Sepanjang tempoh beberapa bulan pertama, ETA perlu menghabiskan masa menyesuaikan keadaan tempatan kerana mereka perlu belajar budaya dan mesra dengan murid.
Sementara itu, Presiden Kirkby International College, Bismillah Khatoon Abdul Kader, berkata hasrat membawa ETA supaya pelajar meniru percakapan penutur asli mengelirukan pelajar.
Katanya, slanga penutur dari AS berbeza dari United Kingdom (UK), bahkan UK mempunyai beberapa slanga seperti Irish, Scotland atau Welsh.
Beliau berkata, AS juga menggunakan sistem ejaan berbeza berbanding UK yang dianggap standard di negara ini.
“Lagipun, ada banyak lagi negara lain yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda selain UK atau AS dan mereka juga boleh dianggap sebagai penutur jati,” katanya.
Berita Harian Online 27 Feb 2012