Saturday, July 21, 2018

Sukar Mencari Titik Perpaduan

Tonggak kekuatan sesuatu umat ialah perpaduan. Bersatu teguh bercerai roboh.  Peribahasa ini hanya sekadar menambah gula di bibir sahaja terutama dalam kalangan pemimpin politik. Senyuman dan salaman politikus sukar di ramal dan di baca oleh orang biasa. Perkataan perpaduan telah saya dengari sejak sekolah rendah lagi. Buku 'bachaan' rumi mengisahkan rakan rakan berbagai kaum seperti Ali,  Tong Seng, Ramasamy dan Sarojini masih kekal dalam ingatan. Zaman masih papan batu belum ada buku dalam darjah satu.  Bagi mereka yang bersekolah dalam tahun 60an pasti mengingati kisah persahabatan ini. 
Keikhlasan dan ketulusan
Usaha ke arah perpaduan antara kaum telah lama di lakukan melalui medium bacaan di sekolah. Sesungguhnya titik perpaduan sukar di capai jika tiada keikhlasan dan ketulusan dalam perjuangan. Apabila pemimpin mempunyai agenda tersembunyi pastinya sukar untuk bersatu. Perpecahan umat di sebabkan kepimpinan. Pemimpin yang menyebabkan perpecahan bukannya pengikut. Apabila sesetengah pemimpin bertindak keluar atau di buang daripada badan siasah tertentu mereka menubuhkan parti baharu dan kemudian mengajak rakyat menerima dasar dasar dan polisi yang mereka tawarkan. 
Organisasi berpecah
Pergeseran dalam kalangan pimpinan atasan menyebabkan organisasi berpecah dan pengikut berpuak puak.  Sejarah parti parti politik yang di tunjangi  orang orang Melayu pada pasca kemerdekaan  ialah UMNO dan PAS . PAS lahir daripada rahim UMNO yang kemudiannya berdiri sendiri hingga lah sekarang. Sejarah PAS juga tidak kurang hebatnya mengalami perpecahan sejak zaman Dato Asri, Dato Mohd Nasir lahirnya Berjasa dan Hamim namun PAS tetap bertahan menjadi wadah pilihan ummah. PAS masih belum menguasai pentadbiran pusat kecuali dua buah negeri iaitu Kelantan dan Trengganu. Pas juga pernah berkoalisi dengan Semangat 46 hasil perpecahan pemimpin UMNO antara Dr Mahathir dengan Tengku Razaliegh namun usia tak panjang apabila S46 di bubarkan dan Ku Li kembali kepada UMNO. Dalam senerio politik semasa,  tiada parti yang bergerak secara solo mampu memerintah kecuali berkoalisi dengan komponen lain.  Apabila berlakunya reformasi dalam dua dasawarsa lalu lahir pula parti keadilan, yang sekarang PKR. Demikian juga Amanah wujud setelah sebahagian pemimpin utama mereka keluar atau di minta meninggalkan parti . Terkini Bersatu di tubuhkan oleh bekas pemimpin Umno, juga di sebabkan  krisis keyakinan dan perpecahan. Mungkin kah bangsa Melayu juga mewarisi sifat bani Arab yang hidup berkabilah sukar bersatu hingga sekarang?   Demikian nasib bangsa ini telah berpecah menjadi beberapa kumpulan dengan berbeza pandangan dalam perjuangan. Apa mungkin mereka bisa bersatu kembali di bawah satu wadah? Hanya masa dan keadaan yang menentukan. 
Teori kepimpinan
Berbagai teori kepimpinan di bahas manusia untuk mencari persefahaman namun hakikatnya terletak kepada ketulusan dan kejernihan diri individu sebagai ketua untuk menyatukan pengikut mereka dengan bijaksana dan penuh hikmah. Teori hanyalah garis panduan untuk merangka perancangan namun tidak semuanya boleh di laksanakan dalam urusan pentadbiran. Kebijaksanaan pemimpin mengawal selia pengikut menjadi ukuran pencapaian organisasi. Sejarah kejatuhan kerajaan besar di dunia kerana di dominasi oleh sifat tamak dan ego diri sehingga menyebabkan negara tersungkur kepada pihak lain. Jika pemimpin mempunyai sifat ananiah melebihi kepentingan umat jangan cerita tentang perpaduan sampai bila bila pun tidak akan menemui noktah. Organisasi milik semua anggota. Pemimpin di angkat oleh ahli dalam persidangan atau muktamar untuk menerajui parti . Antara ketua dan pengikut mempunyai tanggungjawab bersama melestarikan organisasi sebagai wadah perjuangan. Sayangnya dalam organisasi prinsip Kaizen tidak berlaku untuk penambahbaikan berterusan. Pemimpin yang baik sedia di tegur oleh orang kecil dan selalu berlapang dada untuk menjamin keutuhan organisasi. 

Andalus  yang hilang

Peradaban kota Cordoba @ Qurthubah di Andalus , sekarang Spanyol @ Spain menjadi bukti sejarah hilangnya kekuasaan Islam sejak beratus ratus abad di bumi.  Kota yang gah dengan simbol Masjid Cordoba menjadi mercu tanda keagungan Islam telah lenyap di bumi Andalusia kerana ketamakan dan kelekaan pemimpin yang mabuk kuasa.  Terlalu hiba bila memasuki masjid ini melihat mimbar masih utuh terukir indah dengan kalimah suci namun di satu sudut berdiri megah gambar salib yang menghiasi ruang dan dinding. Masjid yang mempunyai seni bina cukup indah seakan akan Masjid Nabawi bertukar menjadi cathedral dan telah di wartakan oleh Unesco sebagai warisan wisata dunia. Seluruh kota kota besar seperti Alhambra Granada, Toledo,  Madrid hingga ke Portugal sewaktu masa silam merupakan empayar Islam namun kini tinggal sejarah yang terukir dengan kalimah kalimah Allah di dinding dinding Masjid,  Istana Alhambra dan sekitar kota negara ini. Kehebatan dan kehalusan arkitektur ayat ayat Allah di setiap sudut Istana Alhambra sungguh memukau sesiapa saja yang memasukinya. Kehebatan teknologi orang dahulu melangkaui peradaban moden alaf ini.  Terletak di atas bukit yang begitu strategik menjadi tempat bersemayam para Sultan yang memerintah kota ini.  Peninggalan Tariq bin Ziad yang mengembang misi suci ke Eropah dan Africa hanya dapat di saksikan melalui puin puin sejarah yang tercatat pada buku buku dan monument di sekitar kota.















Masjid Cordoba, April 2016.

Demikian secuplikan rentetan peristiwa yang harus di teladani untuk menjadi iktibar kepada kita supaya tidak berulangnya sejarah yang sama. Jika peristiwa tersebut boleh berlaku di belahan barat tidak mustahil perkara yang sama terjadi di timur jika kita tidak berwaspada dan lalai semasa di tampuk kuasa.

Pemimpin integriti

Kepimpinan ialah suatu seni yang di miliki oleh seseorang ketua untuk mempengaruhi pengikutnya. Pemimpin berintegriti @ bertaqwa seperti Umar Ab Aziz menepati ciri ciri pemimpin sejati. Orang akan bertanya mana mungkin di era globalisasi prinsip kepimpinan seperti itu dapat di laksanakan zaman ini?  Jawaban mungkin ya atau tidak bergantung kepada individu yang di angkat menjadi ketua.  Jika tidak boleh mengikuti cara khalifah sepenuhnya sekurang kurangnya jadi lah pemimpin yang beramanah, qanaah,  fatonah bijaksana dan berhikmah dalam setiap perbuatan dan tindakan. Adunan ilmu, amal dan iman membuahkan ehsan sebagai kemuncak kepribadian khalifah Tuhan. Keikhlasan merupakan kunci kejayaan sesebuah pertubuhan. Pemimpin yang ikhlas mengamalkan sifat sifat terpuji bercirikan ketulusan professional @ professional honesty menjadi mercu tanda keutuhan organisasi. Binalah ikatan perpaduan berpaksikan redha Tuhan dengan penuh kejujuran untuk mencari titik perpaduan. Persefahaman tidak akan tercapai jika kehendak Tuhan di abaikan. Kejujuran professional merupakan kekuatan pribadi pemimpin dalam membawa ummah bersama sama menuju kecemerlangan duniawi dan ukhrawi.










csyahya victory
Ahad 22 Julai, 2018.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...