Hidup ini sungguh indah jika kita sentiasa patuh kepada perintah Allah. Mengapa sentiasa menyebut Allah kerana DIA pencipta manusia dan organisma hidup di muka bumi. Allah yang menumbuhkan tumbuh tumbuhan dari biji benih yang di tanam, beransur membengkak, pecah, bertunas, membesar, beranting, berdahan, berbunga dan berbuah. Tanah merupakan medium yang di sediakan Tuhan mengandungi pelbagai organik, mineral, sulfur, air, kalsium dan reputan hidupan yang mati menjadi humus untuk kesuburan pokok. Tidak pernah terfikirkah manusia bagaimana Allah menjadikan berbagai spesis bunga beraneka warna menghiasi dada bumi sehingga kelihatan sungguh indah. Bukan sahaja kelihatan menarik tetapi menjadi tempat rama rama dan lebah menghisap manisan untuk menghasilkan madu. Dari perut lebah terdapat penawar yang paling mustajab untuk kesihatan manusia. Madu menjadi makanan kegemaran Nabi Saw di samping susu, tamar dan air zamzam. Justeru Allah telah menempatkan satu surah di dalam Al Qur'an Al Kareem mengenai lebah @ An Nahl untuk manusia mengambil ibrah dan iktibar bagaimana komuniti lebah membina makanan yang berkhasiat untuk manusia.
Kiasan tersirat
Semurni kuntuman bunga yang menghiasi taman menarik hati setiap pelancung yang datang. Lazimnya tiada lalat yang menghurungi bunga bungaan tetapi di penuhi rama rama dan lebah mencari manisan. Mungkin lalat tidak menyukai yang harum dan bersih melainkan memenuhi tempat kotoran sampah dan bahan buangan. Lalat bertelur di tempat kotor berkerumun dengan najis yang tentunya mengundang penyakit kepada manusia jika tidak di cegah. Antara lalat dan lebah dua jenis organism ciptaan Tuhan yang mempunyai naluri dan cita rasa berbeda dalam memilih makanan. Sebagai kiasan tersirat jadilah seperti lebah yang banyak memberikan manfaat kepada manusia bukannya lalat yang mengundang berbagai penyakit berbahaya jika gagal di cegah. Walau pun lalat di pandang jijik pembawa penyakit namun ada juga kelebihannya. Lalat bertindak sebagai pengurai makanan.
Hati umpama bunga
Dalam diri manusia terdapat seketul daging jika ia baik seluruh jasad akan menjadi baik. Itu lah hati tempat tersembunyi segala rahsia manusia. Hati tempat bersarang segala perasaan yang secara tersembunyi seperti riak, ujub, sombong, angkuh, besar diri, dan berasa dia saja yang betul orang lain semuanya salah. Hati perlu di pupuk dengan kebaikan, sedekah, zikir, bersangka baik kepada Allah dan sesama manusia, menuntun jiwa dengan sifat sifat mahmudah seperti zuhud, qanaah, ikhlas dan tunduk kepada Allah SWT. Hati berbunga menunjukkan kegembiraan dan kejernihan jiwa terpancar melalui wajah. Walau pun tersembunyi suara hati dapat di manifestasi dalam diri melalui tindak tanduk peribadi. Senyuman yang lahir dari hati akan terpancar pada wajah yang jernih melalui ekspresi diri. Seumpama kuntuman bunga mekar berbau harum , hati yang suci menjadi penawar hubungan sesama insani apa lagi dengan Ilahi.
Wallahua'llam
csyahya victory
Sabtu 21 Jul 2018
No comments:
Post a Comment