Monday, June 8, 2015

Jejak Yang Hilang

Kota Mekah,  Madinah (Yathrib) dan Al Aqsa di Palestin merupakan tiga tempat suci di muka bumi yang sangat dianjurkan oleh Nabi Muhammad Saw untuk dikunjungi umat Islam. Pertalian sejarah antara tiga tempat ini sungguh istimewa sejak berabad. Antara Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa merupakan peristiwa penting berlaku kepada Baginda dalam Israk Mikraj. Mekah yang mempunyai beberapa nama seperti Bakkah, Ummul Qura , Al Balad Al Amin terletak ditengah- tengah pusat bumi dimana kaabah menjadi mercu tanda kiblat umat Islam di seluruh dunia.Seluruh jazirah Arab yang bersahara kering kontang mewarnai kehidupan dan peradaban bangsa Arab yang hidup berkabilah dan suku sering bermusuh antara satu sama lain merupakan identiti bangsa Arab sejak berkurun.
 
sumber: gmiah.hubpages.com
Nabi Ismail As

Mekah dari sudut sejarah merupakan penempatan awal suku jurhum mempunyai pertalian dengan Nabi Ismail As dan Ibunya Hajar sewaktu Nabi Ibrahim As diperintah Allah meninggalkan mereka berdua di lembah Safa dan Marwah.Bukit Safa dan Marwah menjadi saksi perjalanan hidup dua beranak ini yang bertarung antara hidup dan mati kerana kehabisan bekalan dan minuman setelah di tinggalkan Nabi Ibrahim As. Pemikiran logik memang tidak dapat menerima perbuatan Nabi Ibrahim As tetapi di sisi Allah mempunyai hikmah tersembunyi. Baginda naik ke Jabal Qubais ( sekarang istana Raja Saudi) lantas berdoa kepada Allah supaya memelihara anak keturunannya dan jadikan mereka orang yang tidak meninggalkan solat. Dengan izin Allah semasa Hajar berlari-lari antara dua bukit ini terpancar mata air berhampiran Nabi Ismail yang terlalu  kehausan. Ibu yang penyabar dan pasrah kepada Allah ini terus mengepung sumber air dengan berkata zam zam. Allah Swt memberkati dan melindungi ibu dan anak dari mati kehausan. Demikian secuplikan kisah untuk menjadi ibrah kepada umat mutakhir ini betapa hebatnya Allah menguji setiap hambaNya yang beriman. Antara Safa dan Marwah merupakan syiar Allah menjadi tempat Sae semasa mengerjakan Haji dan Umrah.

Kota kelahiran Nabi Saw

Perkembangan kota Mekah melalui sejarah yang panjang dan berliku. Di sinilah Baginda Nabi Saw di lahir dan di besarkan dalam kalangan keluarga Kuraish. Kelahiran Baginda sebagai Nabi akhir zaman menjadi rahmat keseluruh alam.Sejak kecil terkenal dengan Al Amin dan berhati mulia. Sejarah hidupnya yang penuh pahit getir bermula di sini. Dari seorang pengembala kambing,menjelang dewasa mengikut bapa saudaranya Abi Talib berdagang ke Sham hinggalah berkahwin dengan Siti Khadijah Khuwailid menjadi sirah perjalanan suci sehingga dilantik menjadi pesuruh Allah. Peristiwa Iqra' di Gua Hira' menjadi permulaan gerakan dakwah Baginda mengajak manusia menyembah Allah Pencipta sekelian alam.Sejak itu bermulalah cabaran hidup Baginda sebagai Nabi Allah yang membawa pesan Agama mengajak manusia mengesakan Allah. Baginda dimusuhi oleh keluarga sendiri terutama Abu Lahab yang menentang keras dakwah Nabi. Allah merakamkan peristiwa ini secara khusus dalam Surah Masad (Abi Lahab) kerana perbuatannya memusuhi Nabi Saw. Pertembungan antara iman dan keluarga terpaksa ditempuhi Nabi dalam menyampaikan syariat Allah meletakan Baginda dalam keadaan terlalu sukar untuk digambarkan.Perjalanan membawa misi Tauhid menyebabkan Baginda di hina ,di benci dan di musuhi oleh penduduk Makkah sehingga keperingkat ingin  menamatkan riwayatnya. Demikian secuplikan peristiwa untuk renungi betapa sukarnya untuk menegakan kalimah Allah yang mulia. Falsafah yang perlu dihayati bagi setiap umat Islam yang berada di Tanah Haram Makkah dan Madinah semoga bertambah iman kepadaNya melalui jerih perih Baginda Nabi Saw sehingga Islam berkembang subur ke pelosok bumi.

Jejak yang hilang

Mekah era teknologi turut mempengaruhi budaya hidup manusia. Pembangunan pesat kota ini dapat di lihat dengan jelas mutakhir ini. Keaslian kota ini seperti telah sirna dihimpit pembangunan dan industri perhotelan pencakar langit. Gaya hidup masyarakatnya kian individualistik dan materialistik sehingga merenggangkan sosialisasi sesama ikhwan. Terlalu sukar untuk melihat bukti peninggalan zaman permulaan Islam baik di Mekah mau pun Madinah. Banyak tempat tempat bersejarah telah lenyap tertimbus oleh pembangunan. Telaga Uthman Affan yang di beli daripada Yahudi di Madinah telah pun di timbus dan kini tinggal kebun tamar yang subur dan manis rasanya. Tempat ini menjadi tumpuan jemaah yang datang berziarah di Madinah.Telaga ini ialah  salah satu diantara peristiwa penting era pemerintahan Islam yang hanya tinggal jejak, hilang bersama pembangunan kota Madinah. Mungkinkah Bukit Uhud, Bukit Thur dan Bukit Nur yang sangat sinonim dengan Nabi Saw bersama Abu Bakar As Sidik akan lenyap dalam kurun mendatang hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Generasi yang lahir pada abad ini mungkin tidak mengetahui lagi keistimewaan dan keagungan kota yang penuh keberkatan ini kecuali mereka membaca sejarah di tulis oleh orang orang terdahulu yang tersimpan di Muzium.

 
 Sumber gambar: Kredit Abu Nuha Corner

Makiyyah dan Madaniyah

Pembangunan memang baik tetapi melestarikan warisan peninggalan bersejarah menambahkan lagi kecintaan terhadap Mekah dan Madinah yang menjadi tempat permulaan turunnya wahyu Allah kepada Nabi Saw. Ayat-ayat dalam surah Makiyyah dan Madaniah mempunyai asbabun nuzul mengenai peristiwa yang berlaku.Ramai yang tidak mengetahui tempat tentera bergajah di hancurkan sebelum sampai ke Mekah untuk meruntuhkan Kaabah.Begitu juga dengan persekitaran Masjidil Haram sesungguhnya sarat dengan peristiwa berlaku di zaman Nabi Saw. Ini terbukti dengan Maktabah Nabi Saw yang masih utuh dan kekal hingga kini. Kita berdoa semoga rumah kelahiran Nabi Saw tidak terusik oleh pembesaran Masjidil Haram yang sedang rancak membangun sekarang ini. Semoga peninggalan berharga era kemercuan Islam tetap terpelihara sebagai khazanah ilmu untuk generasi yang mencintai Agama. Mungkinkah di temui kembali jejak-jejak yang hilang untuk melepaskan rasa rindu semasa beribadah di Tanah Suci yang penuh barakah ini ? Jawabannya dalam  Ilmu Allah.




















Menara jam mercu tanda Mekah.
Kaabah terlindung oleh bangunan tinggi.


















Wallahua'lam

Che Yahya Che Soh
Mekah Rabu 10 Jun 2015.





No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...