Wednesday, June 24, 2015

Hikmah Puasa

Secara umum puasa bererti mengekang segala pancaindera daripada melakukan perkara yang di tegah oleh syarak sejak bermulanya terbit fajar hingga tenggelamnya matahari di ufuk barat.Mengekang pancaindera seperti makan minum, hubungan suami-isteri di siang hari menjadi pantang larang orang berpuasa. Tuhan memerintahkan hambaNya berlapar dan menahan keinginan syahwat di siang hari bertujuan mendidik manusia supaya menjadi orang bertakwa. Al Qur'an menyebut Laallakum Tattaquun. Takwa ialah  tunduk patuh kepada setiap perintah Allah dengan penuh penghambaan dan pengabdian selaku hamba yang mengharapkan keampunan dan keredhaan Tuhan.. Ibadah puasa ditujukan kepada mereka yang  beriman kepada Allah swt dengan seruan "Yaa Ayyuhaladzi Naaa Manu Kutiba Alaikumussiam " bukannya   "Yaa ayyuhannas". Orang beriman bermakna mereka yang taat dan patuh dengan perintah Allah dalam menunaikan kewajiban dan tanggungjawab sebagai Muslim mutaqqien dan mukhlisin. Puasa merupakan Rukun Islam ketiga menjadi mercu tanda orang beriman menuju taqwa. Ramadhan berlalu begitu cepat.Umat Islam di Tanah Melayu mula berpuasa pada hari Khamis 18 Jun 2015 bersamaan 1 Ramadhan 1436Hijrah.  Hari ini sudah seminggu  kita berpuasa dan semua Masjid serta Surau-Surau di penuhi jemaah untuk menunaikan solat sunat tarawih. Ramadhan membawa rahmah, barakah dan ketenangan. Manusia umumnya kelihatan sopan dan lebih bertimbang rasa pada bulan ini.

Mulianya Ramadhan 

Allah swt memilih Ramadhan  sebagai bulan yang teristimewa kerana Al Qadar yakni satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Hubungan Al Qur'an Al Kareem dengan Ramadhan Al Mubarak begitu sinonim sekali. Di turunkan Al Qur'an itu sebagai shifaa iaitu penawar yang menyembuhkan setiap penyakit  rohani dan jasmani bagi mereka yang mengamalkannya secara konsisten bukan sahaja pada bulan ini. Justeru Ramadhan di sebut juga bulan Al Qur'an yang membawa petunjuk kepada manusia. Allah menyebutnya "Shahru Ramadhan Aladzi Unzilafi Hil Qur'an Hudan Linnas". Apabila Allah swt  memberi maklum bahawa Al Qur'an itu mengandungi hikmah bagi mereka yang membaca, mengamal, mengkaji dan melaksanakan setiap perintah dengan penuh tadabbur pastinya manusia akan beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Menjalani ibadah puasa dengan penuh ikhlas menjadi benteng kekuatan iman dari kemungkaran kerana tiada siapa yang mengetahui jika kita tidak berpuasa kecuali DIA. Allah swt mencipta manusia sangat mengetahui segala rahsia baik tersembunyi lebih-lebih lagi yang nyata kerana tidak sehelai daun pun  gugur ke bumi melainkan dalam pengetahuanNya.

Membersih Qalbu 

Qalbun atau hati ialah tempat bersarang segala kebaikan dan keburukan. Nilai ketuhanan, keinsanan, kehaiwanan, kesyaitanan  semuanya berpusat di sini.  Hati yang di saluti nur iman akan bercahaya sepanjang masa kerana hubungan yang ikhlas dengan Allah tidak pernah terpadam sebaliknya jika banyak melakukan maksiat dan hasad dengki tertutuplah sinar keimanan.Ibadah puasa melatih hati menjauhi sifat sifat keji yang di sebut mazmumah. Berlapar dan dahaga sepanjang Ramadhan mempunyai hikmah tersembunyi yang Allah turunkan kepada orang mukmin yang melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan. Pembakaran lemak dan pembuangan toksik dalam badan boleh melancarkan sirkulasi darah. Penurunan paras gula dalam darah akan mengekalkan keseimbangan tubuh. Badan berasa ringan dan sihat. Hebatnya Allah mengatur perjalanan hidup manusia melalui puasa. Di sisi lain anjuran untuk mengambil iktibar kepada mereka yang tidak menjamah makanan dan minuman sepanjang hari seperti berlaku kepada masyarakat Islam yang hidup dalam kebuluran di negara ketiga.Mereka bertarung antara hidup dan mati untuk mendapat sesuap nasi dan seteguk air setiap hari.Bulan Ramadhan yang terkenal dengan keberkatan mempunyai banyak nama antaranya yang paling masyhur ialah bulan Al Qur'an.Banyak sekali keberkatan di dalamnya. Ibadah sunat mendapat pahala wajib apa lagi yang fardhu Allah ganda dengan tujuh puluh kali ganda berbanding bulan bulan lain. Ya Allah jangan jadikan Ramadhan ini yang terakhir dalam hidup kami.Beri lah peluang lagi Ya Allah dengan Ramadhan tahun depan.  Nabi saw menyuruh  kita memperbanyakan doa di bulan ini. Tiada perkataan yang paling mulia melainkan La Ilaha Ilallah dan Istighfar berterusan , mohonlah syurga firdaus dari Allah. Doa yang tidak di tolak ialah dari hamba yang sedang berpuasa. - wastaqsiruu.


Wallahua'lam.

Che Yahya Che Soh
Pengetua SMK SINAR BiNTANG
Kuala Lumpur.
Jumaat 26 Jun 2015
9 Ramadhan 1436 H









No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...