Tempuh dua hari perjalanan cari bekalan makanan
- Sebahagian mangsa banjir yang rumah masih ditenggelami air bermalam di tepi jalan.
KOTA BHARU - Keadaan yang terus mendesak dan semakin meruncing
menyebabkan seorang penduduk dari Kampung Kuala Gris, Dabong, Kuala Krai
sanggup menempuh dua hari perjalanan ke Kota Bharu bagi mendapatkan
bekalan makanan.
Ismail Jaafar, 36, yang juga guru berkata, kampungnya dilanda banjir
dan terputus hubungan selepas terkepung dengan kawasan sekeliling
dinaiki air sejak Selasa lalu.
Menurutnya, kira-kira 1,500 orang daripada 300 keluarga semakin kritikal dan kelaparan selepas bekalan makanan habis.
“Saya sudah tak sanggup lihat anak kecil menangis kerana lapar,
ditambah pula keadaan orang tua yang uzur serta ibu yang kekurangan zat
untuk menyusukan bayi.
“Sebab itu, saya ambil keputusan meredah air keluar dari kawasan ini
dan dapatkan kereta untuk mencari makanan di sini (Kota Bharu),” katanya
yang bermalam di Pasir Puteh sebelum tiba di Pejabat Sinar Harian
Pengkalan Chepa, di sini, pagi semalam.
Sumbangan Sinar Harian bersama Nestle dan Persatuan Orang Kota Bharu
(POKB) disampaikan Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf,
Muhammad Nasir Hamzah.
Ismail dalam pertemuan tersebut turut menceritakan kejadian ikan naik
ke lubuk lima hari sebelum kejadian banjir besar yang melanda daerah
itu.
“Ketika itu saya bersama enam rakan menaiki dua bot memukat di Sungai
Jenal dan memperoleh kira-kira 100 kilogram ikan lampam. Saya rasa aneh
dengan kejadian itu kerana belum pernah berlaku,” katanya.
Sinar Harian
Khamis 1 Januari 2015.
No comments:
Post a Comment