Wednesday, December 31, 2014

Musibah : Antara Tangan Manusia dan Peringatan Tuhan

Sepanjang tahun 2014 yang akan berakhir beberapa jam lagi,berbagai peristiwa yang mendukacitakan berlaku di Tanahair tercinta. Di mulai dengan hilangnya pesawat MH370 yang dalam penerbangan dari KLIA ke China pada Selasa 8 Mac 2014 sehingga kini masih belum di temui, kemudiannya sebuah lagi pesawat MH17 di tembak jatuh di sempadan Russia dan Ukraine pada 17 Julai dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal sehingga menjadi puing-puing berserakan di bumi.Terkini pesawat udara Air Asia  Indonesia QZ 8501 terhempas di laut  Jawa dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Juanda ke Singapura pada Ahad 28 Disember lalu mengorbankan 160 penumpang bersama anak kapal.Ketika itu saya dan isteri dalam perjalanan balik dari UK dengan penerbangan Emirates selepas singgah di Dubai kemudiannya menyambung penerbangan ke KLIA. Anak-anak di rumah terlalu risau keselamatan kami. Itu antara urutan peristiwa   besar berlaku menyebabkan kehilangan nyawa membabitkan udara.

 

Puing-puing berserakan MH 17
MH17 Rebels Moving Bodies Evidence
Sumber:Internet.

Langit memuntahkan air

Di bumi pula hujan turun dengan begitu lebat tanpa henti selama beberapa hari dengan angin kencang bertiup mempercepatkan berlakunya banjir.Curahan hujan  luar biasa sepertinya langit ingin memuntahkan air sepuas-puasnya menyebabkan sungai-sungai, tasik melimpah ke jalan dan memasuki rumah, gedung-gedung perniagaan dengan pantas. Bermula dengan banjir lumpur di Cameron Highland yang menyebabkan kematian, bah besar melanda negara menyebabkan beberapa negeri iaitu Pahang,Trengganu,Perak, Perlis lumpuh terutama Kelantan. Bumi tidak lagi mampu menampung air yang turun dengan jumlah yang  banyak. Laut bergelora dan pasang besar, terjadinya pertembungan antara air dari daratan dan lautan sehingga tersekat menyebabkan tertahan di bumi sebelum beransur surut. Walau pun saya tidak berada dalam negara sewaktu banjir berlaku namun rasa sakitnya tetap terasa, kepiluan dikongsi bersama dengan sahabat handai sanak saudara dan keluarga di kampung terutama ayah dan adik-adik yang menanggung penderitaan teramat pedih.Negeri Kelantan hampir lumpuh sama sekali.



Perhubungan terputus dan bekalan makanan terjejas. Air melimpah dengan cepat sehinggal harta benda gagal di selamatkan. Rumah-rumah hanyut di bawa arus dalam sekelip mata.Mangsa terpaksa mencari tempat tinggi naik ke bukit namun air tetap menemani mereka. Aduh Ya Allah apakah ini fenomena alam atau peringatan keras dari mu ya Tuhan ? Di saat seperti ini wang tidak berguna lagi kerana tidak boleh membeli sesuap nasi.Perhubungan terputus dan  terkepung oleh air  yang menjadi  lautan.Pertarungan antara hidup dan mati manusia berikhtiar dengan apa yang ada demi menyelamatkan nyawa.Kerugian harta benda dalam sekelip mata. Haiwan ternakan pastinya mati kelemasan hanyut bersama terjahan air yang mengganas. Demikian dahsyatnya malapetaka yang datang menimpa manusia ketika tidak siapa  menyangka bah begitu cepat melanda.Seluruh negeri bergelap kerana bekalan letrik terputus. Lilin menjadi sumber cahaya selain lampu minyak tanah yang pastinya melambung harga kerana permintaan yang begitu tinggi. Sumber air bersih terputus terpaksa minum air hujan yang di masak untuk meneruskan kehidupan.Itu cerita yang saya dapat dari mulut mereka yang menghadapi musibah di kampung.


Kereta dan bas turut menjadi mangsa banjir.















Pemandangan udara Rantau Panjang
dan Sungai Golok berbentuk seperti spera.
sumber : WhatsApp

Tangan manusia

Bumi sebuah planet yang disediakan Tuhan untuk manusia,haiwan dan tumbuh-tumbuhan menjalani kehidupan. Flora dan fauna pelengkap kepada sistem kehidupan. Hutan menjadi khazanah berharga untuk kelestarian generasi malangnya banyak tangan-tangan manusia yang merosakkan alam untuk mencari keuntungan atas nama pembangunan. Tidak kurang juga penerokaan hutan secara berleluasa sehingga menghancurkan seluruh kehidupan. Habitat haiwan punah terpaksa mengungsi jauh mencari penempatan baharu. Sungai-sungai keruh pekat membawa bersama tanah merah kerana kerakusan manusia menggondol hutan. Tuhan tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya selain manusia sendiri yang tidak pernah mensyukuri segala nikmat yang di beri.Tangan-tangan manusialah yang merosakan alam sehingga mengundang bala bencana dahsyat kepada penduduk di bumi. Justeru sangat tepat dengan peringatan Tuhan " Sekiranya manusia mensyukuri segala nikmat Allah, nescaya akan di tambah keberkatan dari langit, tetapi jika manusia mengingkari (kufur) perintah Tuhan, tunggulah azab yang menimpa tersangat pedih". Bencana yang datang tanpa mengira siapa yang bersyukur atau kufur semuanya akan merasai azab Allah sebagai balasan kepada mereka yang tidak beradab dengan alam lingkungan.
http://assets.hmetro.com.my/images/articles/pasar-krai.transformed.jpg
Sumber: Harian Metro Online

Wallahua'lam

Che Yahya Che Soh
Pengetua SMKSB@STAR,
Segambut, Kuala Lumpur.
Khamis 1 Januari,2015.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...