Sunday, December 28, 2014

Banjir: Kelantan Masih Lumpuh; Perlis, Selangor Pulih

KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Keadaan banjir di Kelantan masih lagi buruk dengan 111,376 mangsa manakala di Perlis dan Selangor, keadaan kembali pulih setakat tengah hari ini.

Di KELANTAN, jajahan Kuala Krai masih menunjukkan angka mangsa banjir yang tinggi iaitu 23,169 orang walaupun air dilaporkan semakin surut.

Menurut maklumat daripada bilik operasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, keadaan itu kerana kebanyakan mangsa masih tidak dapat pulang ke rumah akibat tiada bekalan makanan.

Angka terkini mangsa banjir di beberapa kawasan lain di negeri itu bagaimanapun tidak dapat disahkan setakat ini berikutan masalah komunikasi.

Tinjauan Bernama di Kota Baharu mendapati cuaca masih lagi mendung dengan Sungai Pengkalan Chepa menunjukkan peningkatan paras air.

Di PERLIS dan SELANGOR, keadaan banjir dilaporkan telah pulih sepenuhnya dan semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Kesemua pusat penempatan banjir juga telah ditutup.

Berbeza di TERENGGANU, daerah Dungun menunjukkan peningkatan ketara jumlah mangsa banjir dengan 10,938 orang dipindahkan tengah hari ini berbanding 8,683 orang pada sebelah pagi.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, jumlah mangsa banjir di tiga lagi daerah lain tidak berubah iaitu 24,235 orang di Kemaman, Hulu Terengganu (205) dan Kuala Terengganu (780).

Secara keseluruhannya jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 36,158 orang berbanding 33,990 pada sebelah pagi.

Di PERAK, jumlah mangsa yang dipindahkan di empat kawasan terjejas banjir iaitu Hulu Perak, Kuala Kangsar, Perak Tengah dan Kerian setakat tengah hari ini meningkat sedikit kepada 7,587 orang berbanding 7,513 pagi tadi, menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri.

Portal rasmi Jabatan Kerja Raya Perak memaklumkan, beberapa laluan di Perak Tengah ditutup untuk semua kenderaan iaitu Jambatan Teluk Sena, Jalan Teluk Sena-Ulu Dedap dan Jalan Teluk Sena-Selat Pulau.

Di JOHOR, jumlah mangsa di pusat pemindahan banjir menurun kepada 447 orang berbanding 475 orang sebelah pagi.

Balai Raya Kampung Batu Badak di Mukim Gemereh di Segamat menjadi pusat pemindahan terbaru yang dibuka pada pukul 10 pagi ini dan menempatkan 27 mangsa daripada enam keluarga.

Bagaimanapun statistik terkini mangsa banjir di PAHANG tidak dapat disahkan setakat tengah hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini turut meninjau keadaan banjir di Lipis, Temerloh dan Jerantut.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...