Saturday, June 16, 2012

Membina Hubungan Dengan Allah

Al Ustaz Dr. Ahmed Termizi Ab. Razak dalam Forum Wacana Ilmu Isra' Mikraj di Surau Al Falah AU 4 Taman Seri Keramat  pada malam  Jumaat (14 Jun 2012) lalu mengajak  muslim muslimat membina hubungan dengan Allah melalui pembacaan Al Quran secara berterusan. Bagi siapa yang membaca Al Quran menandakan dia mempunyai rangkaian komunikasi yang baik dengan Allah. Kehidupannya akan menjadi berkat dengan turunnya ketenangan kepada pembacanya. Beliau menambah Al Quran akan menuntut  mereka  yang memiliki Al Quran tetapi tidak membaca, mengamal dan melaksanakan segala peraturan hukum yang ada. Membina hubungan dengan Allah bermakna menyemaikan rasa cinta kepada Allah  (HUBBULLAH) dan cinta Rasul (HUBBUL RASUL)  menjadi tunjang kehidupan orang beriman .

Membina Jambatan ilmu

Tunjang kehidupan ialah ilmu. Islam meletakan asas yang kukuh bahawa ilmu menjadi asas pokok  bagi membebaskan diri manusia dari kejahilan. Ilmu memandu manusia dari kegelapan kepada cahaya keimanan (dzulumati  ilannur ) . Ayat Allah yang memerintah manusia membaca dan menulis ialah IQRA' disampaikan Jibril  kepada Nabi SAW  di Gua Hira' menjadi kunci petunjuk pentingnya  membina jambatan ilmu . Wahyu pertama  diturunkan  Allah  melalui Malaikat Jibril  kepada Nabi SAW menjadi penanda aras  kenabian Muhammad untuk menyeru manusia mentauhidkan Allah melalui   Awaluddin Makrifatullah (Awal Agama Mengenal Allah) .


 

Solat Tiang Agama

Al Quran meletakan orang yang berilmu mendapat darajat yang tinggi disisi Tuhan. Dalam peristiwa Isra'  dan Mikraj Al Quran  mengisahkan perjalanan Nabi SAW dari  Masjidil Haram menuju  Masjidil Aqsa di Palestin dan kembali semula ke Mekah dalam masa yang singkat  .Baginda dijemput Allah  Mikraj kelangit  hingga ke  SIDRATUL MUNTAHA  untuk menerima watiqah SOLAT . Betapa tingginya  ibadah solat sehingga berada pada posisi teratas berbanding perintah Puasa, Zakat dan Haji.  Solat Tiang Agama   yang wajib ditunaikan dalam segala keadaan dan kemampuan insan muslim kerana solat merupaka ibadah pertama yang dihisab oleh Allah . Sebagai muslim yang beriman dengan Al Quran kita wajib percaya dan yakin sepenuh hati  bahawa Allah berkuasa membuat sesuatu sesuai dengan kehendakNya. Sebagai hamba kita perlu sami'na waata'na tanpa soal kerana kemampuan daya taakul manusia  tidak akan mampu menerobosi hijab Allah. Sebagaimana Allah mencipta manusia dari tiada menjadi maujud hanya dari percampuran titisan zuriat kedua orang tua sehingga kita lahir kedunia menjadi bukti kekuasaan Illahi secara hakiki. Akal yang sihat dipandu iman akan menerima secara mutlak setiap firman Allah .



 
Menjadi Muslim Bertakwa

Dalam mendepani kehidupan yang penuh mencabar dialaf ini kita dituntut mengintrospeksi diri melalui muhasabah diri berterusan . Kehidupan yang relatif singkat perlu disi dengan amalan suci melalui kesepaduan pendidikan akal budi untuk menjadi muslim yang berintegriti sebagai jambatan menuju alam ukhrawi . Manusia berintegriti (bertaqwa) mendapat keistimewaan disisi Tuhan. Mereka akan menjadi penghuni syurga yang mendapat pelbagai kenikmatan dengan minuman air dari telaga kautsar dan berbagai jenis manna dan salwa yang dijanjikan Allah kepada hamba yang beriman dan beramal soleh .

Wallahua'lam.

Al Fakir Che' Yahya Che' Soh
16 Jun 2012





No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...