Wednesday, March 11, 2015

Memacu Minda Berilmu

Berfikir merupakan proses penjanaan sel, tisu, organ dan sistem tubuh berkontraksi secara kontinuiti untuk melahirkan gagasan idea konstruktif dan futuristik. Manusia yang sentiasa memanfaatkan setiap waktu hidupnya berfikir secara analitikal merupakan figura yang memiliki kekuatan minda dan kestabilan emosi . Orang yang selalu menggunakan kemampuan berfikir secara objektif tidak akan membuang masa melakukan kerja-kerja yang tidak bermanfaat tanpa faedah. Pendidikan mengajar manusia mengurus waktu dengan baik untuk mendisplinkan diri selari dengan tuntutan Agama "Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran".Demikian lebih kurang  inti pati surah Al Asr. Akar budi budaya bangsa terbentuk melalui proses pendidikan yang menjadi cermin tamadun manusia di dunia. Jazirah Arab menjadi baik kerana budaya ilmu berteraskan tauhid yang di bawa Nabi Muhammad Saw setelah berdakwah puluhan tahun malah menghabiskan usia Baginda menyebar risalah Tuhan kendatipun diancam dengan berbagai penganiayaan dan kezaliman.

Pengurusan masa

Masa menjadi tujuan utama manusia dalam segala urusan terutama perniagaan. Pengabaian masa merugikan kehidupan. Justeru Tuhan memerintahkan hambaNYa melaksanakan solat di awal waktu untuk mendisiplin manusia. Waktu yang berlalu mustahil boleh diganti.Bersama berlalunya masa seiring bertambahnya usia namun kebanyakan manusia masih lalai dan leka. Masa sangat sinonim dengan kehidupan dan kematian sehingga bila tibanya ajal sesaat pun tidak di lewat dan di cepatkan. Masa juga melambangkan kejayaan dan integriti bangsa.Negara-negara maju sangat menitikberatkan pengurusan masa untuk peningkatan produktiviti organisasi mereka. Peradaban dan kemajuan bangsa bermula dengan pembangunan minda berilmu berorientasikan kecekapan dalam tadbir urus terutama pengurusan masa yang menjadi indikator kemercuan negara.

Sikap orang berilmu

Siapakah sebenarnya orang berilmu?Secara umum orang berilmu ialah mereka yang mempunyai pengetahuan mendalam dalam bidang yang dipelajari samada akademik atau pun Agama. Mengikut pengertian Al Qur'an orang berilmu  mempunyai kelebihan beberapa darjat di sisi Tuhan berbanding mereka yang tidak berilmu. Allah memberikan pengiktirafan kepada orang berilmu kerana mereka memiliki kekuatan untuk melaksanakan perintah Tuhan menyeru manusia ke jalan kebenaran. Hakikat kebenaran atau autentik  ilmu itu datangnya dari Tuhan Pencipta Alam. Lautan dan daratan menjadi khazanah ilmu yang tidak terhitung nilainya untuk manusia meneroka kehidupan. Di dasar lautan terdapat petroleum, gas dan berbagai sumber rezeki untuk manusia.Hidupan laut tidak pernah putus sejak adanya dunia menjadi sandang pangan (keperluan makanan dan pakaian) kepada manusia. Ilmu menjadikan manusia yakin adanya minyak yang perlu di cari gali untuk pembangunan ekonomi dan infrastruktur negara.Sikap orang berilmu seharusnya menjadi  mata rantai kehidupan untuk kesejahteraan sejagat. Orang berilmu merupakan nadi pembangunan bangsa kerana memiliki kemahiran yang tinggi dalam spesialisasi masing-masing untuk keharmonian umat.

Memacu minda

Organ tubuh manusia saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Antara otak dan jantung berkait rapat dalam menterjemah setiap perbuatan anggota.Apabila tertekan (stress) gerakan jantung kencang dan wajah menjadi merah menahan marah. Bila takut muka bertukar pucat lesi diikuti gementar seluruh tubuh.Keseimbangan minda memberi dampak positif terhadap kerja jantung memompa darah ke seluruh badan sehingga keseimbangan jasmani dan rohani tetap utuh terpelihara. Kelestarian sistem pernafasan dan pencernaan berhubung erat dengan keseimbangan minda. Kekacauan minda melemahkan seluruh sistem badan. Nafsu makan menurun,hubungan suami isteri kurang mesra ,anak-anak semakin menjauhi dan paling malang mengundang berbagai penyakit seperti kencing manis, kanser, jantung dan tekanan perasaan berpanjangan.Memacu minda berilmu memberi kekuatan intelektual kepada manusia bertindak secara rasional dalam memutuskan sesuatu tindakan dengan mengambil kira kesan sebab dan akibat secara maksima.Justeru manfaatkan sebaik mungkin kekuatan otak bertujuan merangsang pemikiran secara ilmiah untuk kesegaran rohani dan jasmani berpanjangan. InsyaAllah.


Che Yahya Che Soh
Pengetua SMK SINAR BINTANG
Segambut City Park 
Kuala Lumpur.
Khamis 12 Mac 2015.



No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...