Saturday, March 7, 2015

Melihat Ke Dalam Diri

Dalam kehidupan ini begitu langka sekali orang yang mampu melihat ke dalam diri sendiri. Apa yang ternampak ialah kesilapan diri orang lain sehingga setiap perlakuan tidak ada yang kelihatan baik semuanya buruk belaka.Berbagai komentar laju umpama arus deras melihat kelemahan orang tetapi malang sekali diri sendiri tidak pernah membuat refleksi kelemahan dan kekurangan. Sebaik baik manusia ialah mereka menyembunyi aib orang lain kerana mereka sangat arif dengan teguran Tuhan. Semulia mulia manusia ialah mereka yang selalu muhasabah diri bermula dengan ibda'binafsi, keluarga, masyarakat dan negara dengan menjauhi kefasadan dan kemungkaran. Mumpung kita masih bernafas gunakanlah kesempatan ini untuk meraih keuntungan yang dijanjikan Tuhan bukannya menjaja keburukan orang lain yang pastinya mendapat murka Allah.

Kesantunan budi

Orang berilmu seharusnya memiliki kesantunan budi, mulia akhlak sebagai lambang pemilik ilmu yang berkualiti dan disegani. Ilmuan Islam sewajarnya menjadi mursyid rakyat membawa doktrin yang benar bukannya berpolemik mengenai kehebatan diri masing masing sebagai juru dakwah kerana aliran pemikiran masyarakat awam mempunyai pelbagai latarbelakang pendidikan yang berbeza malah dalam kalangan mereka termasuk saya yang terlalu tohor  masalah Agama. Ilmu yang kita miliki datangnya dari Tuhan sekelian alam.Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Maknanya bukan 'perfect' segala galanya. Apa yang kita ada orang lain tidak ada. Apa yang orang lain ada kita tidak ada.Oleh itu sewajarnya lah kita perlu berlapang dada membuka minda dengan jernih menggabungkan kekuatan guna mencerahkan pemahaman umat terhadap kemuliaan ilmu.

Jauhi antagonis

Justeru janganlah mudah melebelkan orang kerana kita semua tidak lengkap dan sempurna.Penguasaan ilmu dalam kalangan ilmuan bukannya menjadi antagonis sebaliknya mencari titik pertemuan berdasarkan fakta yang didatangkan Tuhan ke muka alam.Amat malang sekali jika berlaku konflik dalam kalangan bijak pandai Agama  sehingga merugikan umat.Disaat orang meraba-raba mencari kebenaran ilmu disana berlaku pertentangan antara penyebar Agama. Di mana letaknya nilai ilmu, amal dan ehsan yang menjadi tunjang pokok orang beriman? Ke mana hilangnya bilhikmah walmauizatil hasanah wajaadilhum billatihia ahsan  yang menjadi indikator  amalan solehan dalam menyebarkan seruan Tuhan? Sekali pun terdapat percanggahan indoktrinasi ilmu sebaiknya di selesaikan secara jujur melalui perbincangan individu bukannya meluahkan dalam saluran komunikasi sehingga menimbulkan kesangsian dalam kalangan umat.

Kejujuran intelektual

Mencari kebenaran ilmu memang sukar. Berbagai halangan dan rintangan silih berganti kerana ilmu yang hakiki memerlukan keuletan diri seorang pendakwah yang benar-benar mampu menganalisa, mencerakin dan mencerna risalah Tuhan dan pesan Nabi saw dengan penuh kejujuran intelektual semata-mata mencari keredhaanNYa. Beberapa dasawarsa lalu, guru-guru Al Qur'an di kampung-kampung mengabdi diri mengajar dan mendidik anak-anak mengenal Al Qur'an tanpa mengharapkan bayaran namun kehidupan mereka tetap bahagia dan tenteram.Anak-anak murid menghormati dan menyanjung tinggi guru-guru mereka. Makan minum mewah disumbangkan orang ramai walau pun kurang wang.Mereka dipandang mulia oleh masyarakat kerana keberkatan Al Qur'an.Inilah yang dinamakan keberkatan ilmu. Hari ini terlalu ramai orang berilmu tetapi ironinya terlalu kurang keberkatannya. Personaliti Agama seolah olah seperti seorang selebriti popular menghiasi kaca tv dan media elekronik dengan bayaran lumayan. Orang sekadar mendengar kuliah yang disampaikan pemilik ilmu, namun tidak sampai ke lubuk hati sehingga peratusannya boleh dihitung dengan jari.Penyakit-penyakit hati terus menguasai diri sehingga sirnanya kesucian ilmu.Semoga Allah SWT memberikan kekuatan iman kepada kita semua untuk mengangkat kesucian ilmu berteraskan misi Tuhan dengan melihat ke dalam diri secara manusiawi.


Wallahua'lam
Che Yahya Che Soh
Pengetua SMKSB@STAR
PPPS DG 54
Segambut, Kuala Lumpur.
Ahad 8 Mac 2015.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...