Gagal Bahasa Melayu SPM petanda buruk
Sudah untuk sekian lama secara purata sekitar 35,000 pelajar gagal
dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) setiap tahun. Dengan ini, pelajar ini tidak berjaya
memperoleh sijil penuh. Ini bermakna mereka gagal dalam SPM.
Dari satu segi, hal ini tidak perlu dirisaukan sangat kerana mata
pelajaran lain juga memperlihat kadar kegagalan seperti ini, yakni dalam
puluhan ribu. Ini menunjukkan ada sebilangan pelajar yang tidak
mempunyai kecerdasan dalam bidang akademik.
Untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, ada beberapa sebab pelajar ini
gagal memperoleh tahap lulus paling rendah, iaitu gred lapan. Antara
kelemahan utama pelajar Melayu yang menyebabkan kegagalan ialah
ketidakcekapan menggunakan bahasa tulisan.
Mereka didapati mengarang dan menulis jawapan dengan menggunakan
bahasa lisan, kadangkala dalam bentuk basahan lagi, iaitu bahasa
percakapan seharian. Dalam hal ini, bahasa lisan adalah bahasa
tersendiri dari segi tatabahasa, kosa kata dan wacana yang digunakan.
Dalam konteks perbandingan dengan bahasa tulisan, bahasa lisan boleh
dikatakan sistem yang berlainan dan digunakan untuk tujuan berbeza. Ia
bukan sistem yang lebih rendah daripada bahasa tulisan. Sehubungan ini,
ia adalah sistem lain sahaja yang sesuai digunakan dalam beberapa
konteks tertentu. Antaranya bersua muka yang memperlihat penggunaan ayat
dan kosa kata yang mudah.
Tuntut perencanaan rapi
Ini berbeza sekali dengan bahasa tulisan yang menuntut perencanaan
rapi yang tercermin dalam penggunaan ayat lebih kompleks dan pemilihan
kosa kata daripada julat yang lebih besar. Ini kerana ia tidak wujud
secara spontan, melainkan melalui proses pemikiran yang dibenarkan waktu
yang ada melalui usaha penyuntingan.
Natijahnya penggunaan bahasa lisan yang rata-ratanya dianggap sebagai
bahasa tidak formal, yakni yang kurang berperaturan mengikut tatabahasa
baku yang penting untuk penggunaan formal, adalah bahasa yang tidak
sepatutnya digunakan dalam sebarang penilaian mata pelajaran bahasa.
Untuk pelajar bukan Melayu, antara kelemahan utama ialah kegagalan
menguasai bahasa Melayu pada tahap yang sepatutnya. Ini dapat dilihat
juga pada karangan yang ditulis dan jawapan yang disediakan. Bukan
sahaja tatabahasa dan kosa kata yang digunakan itu memperlihat tahap
kecekapan yang amat rendah, wacana jika berjaya disusun jelas
mempamerkan proses pemikiran yang berlaku dalam bahasa lain, selalunya
bahasa ibunda.
Bahasa Melayu terjemahan
Dengan ini, bahasa Melayu yang digunakan itu sarat dengan pelbagai
kesalahan dan percubaan penterjemahan gagasan yang terbentuk dalam
bahasa lain itu ke dalam bahasa Melayu. Sudah tentu bahasa Melayu begini
bukan sahaja tidak baik, ia juga didapati amat sukar difahami.
Dari segi lain pula, angka kegagalan dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu ini sangat mengkhuatirkan. Ia yang menjadi bahasa negara ini
semacam tidak berjaya dikuasai oleh sebilangan belia kita, bagi
membolehkan mereka memperoleh sejumlah markah yang tidak banyak pun
untuk lulus pada tahap terendah.
Dengan persekitaran bahasa Melayu yang memang agam di negara ini,
pengetahuan mengenainya secara sederhana sepatutnya tidak menjadi
masalah.
Ia boleh dipelajari dengan mudah secara tidak formal, untuk
membolehkan mereka ini memperoleh secukup markah bagi bahagian
penggunaan bahasa untuk mata pelajaran Bahasa Melayu.
Selain faktor kecerdasan, kegagalan ini boleh juga dikaitkan dengan
penggunaan dialek Melayu setempat dalam proses pengajaran dan
pembelajaran yang berleluasa di sesetengah negeri. Ini dapat lihat
dengan jelas pada sejumlah skrip jawapan yang mengandungi penggunaan
dialek Melayu tertentu yang meluas sekali dalam kalangan calon dari
negeri berkenaan.
Selain faktor dialek Melayu ini, penggunaan bahasa pasar juga dapat
dikesan pada banyak skrip jawapan. Ia wujud dalam bentuk percubaan
penggunaan kosa kata bahasa Melayu dalam acuan tatabahasa asing,
misalnya bahasa Mandarin.
Sebenarnya belia kita tidak boleh sama sekali gagal dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu kerana implikasinya bukan setakat dalam bidang
pendidikan, ia ikut mempunyai kesan negatif kepada jati diri kebangsaan
kita. Ia boleh membayang kita tidak bersatu terhadapnya yang diwakili
bahasa negara.
Penulis ialah penggiat linguistik nasionalis
Berita Harian Online
5 Mac 2015.
Berita Harian Online
5 Mac 2015.
No comments:
Post a Comment