Setiap pagi InsyaAllah saya ke Masjid/Surau berdekatan rumah untuk memimpin solat Fajar. Kehadiran jemaah yang ramai menunjukan sesebuah mukim atau taman perumahan mendapat keberkatan dari Allah SWT. Allah menurunkan rahmatNya keatas penduduk dan masyarakat kerana mereka menegakan syiar yang dituntut oleh Islam. Warna pagi dipenuhi pengisian tazkirah dan wacana ilmiah oleh para mubaligh menyampaikan risalah Tuhan dan pesan Nabi SAW menjadi penawar penyembuh jiwa kepada mereka yang sedang berusaha melakukan anjakan paradigma melaksanakan transformasi diri menjadi muslim sejati sepertimana ikrar dan baiah yang kita lafazkan semasa solat "Sesungguhnya solatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah Tuhan sekalian alam " .
Baiah Kepada Tuhan
Setiap Muslim berbaiah dengan Allah sebanyak lima kali sehari semalam. Berbaiah bermakna berjanji dan bersumpah setia bahawa seluruh kehidupan dan kematian hanya semata-mata untuk mendapatkan keredhaanNya . Keredhaan Tuhan akan diperolehi bilamana manusia mengikut perintah dan suruhanNya dengan ikhlas dalam setiap perbuatan dan tindakan . Hamba yang ikhlas akan melaksanakan perintah Tuhan dengan penuh jujur dan rasa tanggungjawab dalam setiap keadaan dan suasana tanpa mengira kedudukan dan jawatan. Mereka tidak saja membina hubungan yang baik dengan Pencipta malah sesama manusia, menyantuni haiwan dan tumbuhan sebagai ekosistem kehidupan di bumi supaya tetap terpelihara untuk menjamin kesinambungan dan kelestarian generasi kemudian . Mereka takut dengan kemurkaan Allah dan balasan yang bakal diterima bila kembali mengadap Illahi. Bagi orang yang benar-benar insaf bahawa kematian itu pasti datang tanpa berita ia akan bersedia menunaikan setiap perintah Tuhan dengan sebaik mungkin. Ruang dan peluang yang masih ada diisi dengan melaksanakan perbuatan makruf dan menghindarkan diri dari terjebak dengan kemungkaran . Selagi nadi masih berdenyut, jantung bekerja mengepam darah keseluruh tubuh, paru paru masih berfungsi menerima oksigen dan sistem saraf pusat (CNS) masih mampu menghantarkan impuls kesetiap organ tubuh merupakan nikmat yang paling besar kepada manusia untuk melakukan mahasabah diri (self assessment) sebelum tibanya noktah kehidupan .Bila ajal tiba, hubungan dengan dunia terputus dan tidak ada yang dapat menolong kita kecuali tiga perkara iaitu ; ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah dan doa anak yang soleh . Apakah ketiga -tiga perkara tersebut telah kita miliki ? Segala kegiatan hidup manusia selama di dunia akan diperlihatkan walaupun sebesar zarah samada baik atau sebaliknya. Jika hati tergerak untuk berbuat kebaikan jangan tangguh, lakukan segera kerana disana nanti telah menunggu segala kebaikan dan amalan.
Solat Benteng Iman
Solat Benteng Iman
Rukun Islam yang kedua ialah solat. Fardhu solat diwajibkan kepada orang Islam yang mukallaf (akil baligh) dan sempurna akal (tidak gila) . Islam yang didatangkan oleh Allah SWT mempunyai tata hukum yang sempurna (kamil) kepada manusia baik secara individu, berumahtangga, bermasyarakat dan bernegara. Islam datang membawa keselamatan dan kesejahteraan hidup melalui kepatuhan dan ketaatan sepenuhnya kepada Tuhan dalam beribadah seperti solat, puasa, zakat dan Haji . Solat menjadi benteng iman menghadapi kemungkaran kerana " Sesungguhnya solat itu dapat mencegah kejahatan dan kemungkaran" . Solat yang bagaimana dapat menjadi pendinding daripada perkara tersebut? Tentunya solat yang berkualiti mampu membangun spiritual dan jasmaniah manusia menjadi insan terpuji . Orang yang sempurna solatnya sentiasa memelihara diri dari sebarang unsur kemungkaran.
Rumusan
Tujuan Allah mencipta manusia untuk beribadah kepadaNya dalam semua keadaan dan suasana.
Sebagai hamba manusia wajib akur dengan hukum Allah
Redha Allah menjadi KPI dalam kehidupan manusia
Janji Allah adalah benar dan berjumpa denganNya pasti berlaku.
Wallahua'lam Al fakir Che yahya Hj Che Soh
Rumusan
Tujuan Allah mencipta manusia untuk beribadah kepadaNya dalam semua keadaan dan suasana.
Sebagai hamba manusia wajib akur dengan hukum Allah
Redha Allah menjadi KPI dalam kehidupan manusia
Janji Allah adalah benar dan berjumpa denganNya pasti berlaku.
Wallahua'lam Al fakir Che yahya Hj Che Soh
No comments:
Post a Comment