Jumlah calon lulus STAM merosot
PUTRAJAYA 26 Jan. - Seramai 3,996 atau 60.7 peratus daripada 6,584 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM ) 2011 berjaya memperoleh sijil dengan pangkat sekurang-kurangnya Maqbul (lulus).
Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan, Dr. Naimah Ishak berkata, jumlah tersebut menurun berbanding 4,138 calon memperoleh sijil pada 2010.
Katanya, calon yang gagal memperoleh sijil turut bertambah seramai 189 calon atau 2.6 peratus iaitu 2,588 berbanding 2,399 calon pada 2010.
“Jumlah yang mendapat sijil pangkat Mumtaz (cemerlang) menurun iaitu seramai 326 berbanding 413 orang, manakala jumlah calon yang gagal pula meningkat kepada 2,588 bagi tahun lalu berbanding 2,399 pada 2010.
“Selain itu, jumlah yang mendapat keputusan pangkat Jayyid Jiddan (sangat baik) dan Jayyid (baik) juga menurun iaitu masing-masing 529 dan 1,602 calon berbanding 804 dan 1,961 calon pada 2010,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STAM 2011 di Kementerian Pelajaran di sini, hari ini.
Naimah berkata, jumlah calon yang mendapat gred Mumtaz (cemerlang) untuk semua 10 mata pelajaran yang diduduki bagi STAM 2011 adalah sebanyak 53 calon berbanding hanya 50 calon pada 2010.
“Jumlah calon yang mendapat keputusan semua Rasib (gagal) pula meningkat kepada 249 calon berbanding hanya 131 calon pada 2010 iaitu peningkatan sebanyak 1.77 peratus.
“Bagaimanapun, secara keseluruhan pencapaian calon-calon STAM ini menunjukkan peningkatan dari segi nilai Gred Purata Nasional (GPN) iaitu daripada 3.23 pada 2010 kepada 3.19,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas prestasi mata pelajaran STAM 2011, Naimah berkata, sebanyak enam mata pelajaran mencatatkan peningkatan peratusan calon yang lulus berbanding 2010.
“Subjek Fiqh dan Balaghah mencatatkan peningkatan kelulusan calon masing-masing sebanyak 0.3 peratus, Hadith dan Mustolah serta Insya’ dan Mutala‘ah pula masing-masing meningkat kepada 0.5 peratus dan 0.4 peratus berbanding tahun 2010.
“Manakala, bagi mata pelajaran Tafsir dan Ulumuhu serta Arudh dan Qafiyah mencatatkan peningkatan kelulusan masing-masing sebanyak 1.2 peratus dan satu peratus berbanding 2010,” katanya.
Sementara itu, ditanya faktor penurunan calon yang mendapat pangkat lulus dan peningkatan calon gagal, katanya, pihaknya akan membuat siasatan lanjut mengenai perkara tersebut dan tidak menolak kemungkinan ia disebabkan faktor pelajar sendiri yang tidak mampu menguasai bahasa Arab dengan baik.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, calon yang gagal (Rasib) dalam STAM dan ingin memperbaiki semula keputusan mereka boleh berbuat demikian dalam tempoh tiga tahun.
Utusan Online 27/1/2012
No comments:
Post a Comment