Sunday, July 19, 2015

Antara Syukur dan Kufur

Image result for la'in syakartum
La'in syakartum laaziidannakum wala'in kafartum inna azaabi lashadiid.

Hubungan Al Qur'an dengan kehidupan manusia terlalu dekat dan tidak boleh dipisahkan. Kitab terakhir yang diturunkan Allah Swt kepada Nabi Muhammad Saw ini menjadi pelengkap kepada kitab-kitab terdahulu seperti Taurah, Zabur dan Injil. Al Qur'an menjadi pembeza antara yang hak dan bathil. Jika kita mahu mengkaji, meneliti dan melakukan observasi secara spesifik  pasti bertemu jawaban secara konkrit akan setiap ayat yang di turunkan Tuhan. Allah tidak menciptakan setiap sesuatu tanpa tujuan hatta seekor lalat pun membawa kebaikan kepada manusia. Al Qur'an sebagai hudan linnas menjadi petunjuk sepanjang zaman. Al Qur'an yang di turunkan ke muka bumi oleh Allah mempunyai keistimewaan dan keajaiban yang tak terjangkau oleh minda manusia. Hamparan bumi luas terbentang menjadi saksi keagungan Tuhan. Panorama alam yang cukup indah dengan barisan gunung ganang kelihatan hijau membiru  menjadi terapi diri sehingga menyatu bersama kehidupan manusia yang secara nalurinya sukakan kecantikan dan keindahan. Lautan luas yang tidak bertepi menjadi sumber rezeki dan kemudahan kepada manusia sejak berzaman membuktikan Pemurah dan Pengasihnya Tuhan kepada makhluk.  Di saat itu berbisiklah hati kepadaNya dengan penuh kesyahduan seraya berkata   "Rabbana maa khalaq taha zaa bathilan Subhana kafaqina azabbannar".




Nikmat Allah

Bumi kelihatan seolah-olah seperti sebuah pulau kecil di tengah lautan menggambarkan betapa hebatnya Allah Swt mencipta alam semesta yang begitu teratur dan sistematik . Jika lautan sebagai tinta dan pohon-pohon menjadi pena untuk menulis nikmat Allah, nescaya tidak akan habis untuk menghitung pemberian Pencipta kepada manusia. Al Qur'an juga sebagai Shifa' yakni penawar yang dapat menyembuhkan segala penyakit Rohani dan Jasmani. Manusia yang berdamping dengan Al Qur'an pasti dipelihara dan dijaga Tuhan. Tidak ada satu ayat pun yang boleh menyamai  Al Qur'an kerana Kitab yang mulia ini bukan sebuah karangan atau tulisan pengarang malah bukannya ciptaan Nabi Muhammad Saw tetapi firman Tuhan yang terpelihara keasliannya. Tidak di sentuh oleh tangan manusia kecuali dalam keadaan suci yakni dengan berwudhu'. Tidak ada literature seindah susunan kata Al Qur'an yang menuntun pembaca ingin terus membacanya lembar demi lembar tanpa rasa jemu dan bosan. Al Fatihah yang di baca dalam Solat tidak pernah rasa jemu walau pun berulangkali kita melafaznya. Apabila Al Qur'an di hayati secara tadabbur akan lahirlah rasa kehambaan yang tulus suci kepada Allah.

Mukjizat Al Qur'an 

Itulah sebenarnya mukjizat Al Qur'an sebagai petunjuk yang autentik kepada manusia. Al Qur'an di terjemahkan dalam berbagai bahasa menjadi indikator kebenaran firman Tuhan. Allah Swt mencipta manusia dari titisan zuriat ayah bonda sangat mengetahui segala rahsia baik tersembunyi atau nyata. Kehadiran manusia ke muka bumi ini bertujuan berbakti kepadaNya.Tidak dijadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada Allah. Beribadah ialah menyembah Allah Pencipta Yang Maha Agung dengan penuh keimanan. Imanlah yang membezakan setiap manusia samada mukmin, mutaqqien, mukhlisin, munafiqqien atau kaafiriin. Oleh kerana membawa imanlah Nabi Muhammad Saw diusir keluar dari kota Mekah walau pun Baginda sangat menyayangi tanah tumpah darahnya . Dia juga mencipta bahasa pertuturan setiap bangsa di dunia. Allah menjadikan manusia berbagai bangsa bertujuan untuk saling kenal mengenal antara satu sama lain. Itulah bukti kekuasaanNya yang tidak boleh dipertikaikan. Al Qur'an menyebutnya  An Nas, Al Insan dan Bani Adam merujuk kepada umat manusia. Wahai Bani Adam As jangan lah kamu Ta'bbudusyaithan  sesungguhnya Syaitan itu musuh yang paling nyata bagi kamu. Pada setiap musim Haji kita saksikan lautan manusia berbagai bangsa, suku dan warna kulit dari seluruh pelosok dunia memenuhi Masjidil Haram  dan Masjidil Nabawi Madinah untuk mengerjakan Rukun Islam kelima. Itu tandanya kekuasaan Allah yang mencipta setiap makhluk mengikut kehendakNya. Manusia di satukan melalui syahadah yakni mengakui Allah sebagai Tuhan yang berhak di sembah dan Nabi Muhammad Saw ialah pesuruh Allah  yang di utus ke muka bumi untuk membawa manusia ke jalan kebenaran.

Keabsahan wahyu

Nabi Muhammad Saw di pilih Tuhan untuk menyampaikan risalah Al Qur'an. Kebenaran iman dan keabsahan wahyu Tuhan sebagai pedoman menjalankan misi dakwah kendatipun bertentangan dengan syahwat (nafsu) manusia.Allah menurunkan KitabNya bukan ingin menyusahkan manusia tetapi sebagai pedoman kepada manusia untuk mendapat hasanah di dunia dan hasanah di akhirat.Al Qur'an Al Kareem menjadi pembeza antara syukur dan kufur.Al Qur'an sebagai Furqan yang jelas antara halal haram hak dan bathil. Allah membatasi kehidupan dengan peraturan dan hukum supaya manusia sentiasa bersyukur dengan nikmat kurniaanNya. Apabila manusia bersyukur nescaya Allah tambah nikmat kurniaannya, jika manusia kufur dan engkar pasti mendapat azab yang pedih. Ini janji Allah kepada manusia yang tak pernah mungkir. Allah melarang  melakukan kerosakan di muka bumi untuk keselamatan dan kesejahteraan manusia tetapi realitinya  kefasadan terus berleluasa kerana engkar dan kufur akan nikmat Allah. Kefasadan dalam berbagai bentuk kehidupan yang tidak perlu saya perincikan secara spesifik sehingga  merugikan umah.


Misi Al Qur'an 

Kezaliman manusia terhadap alam lingkungan sehingga sumber kehidupan punah.Hutan sebagai ekosistem kehidupan flora dan fauna diganyang secara berleluasa sehingga berlakunya kemusnahan. Mergasatwa terpaksa mencari habitat baharu mengungsi diri jauh ke dalam hutan kerana kerakusan manusia memperkosa alam. Manusia tidak mengambil iktibar terhadap peristiwa yang berlaku malah terus menggorogoti alam atas nama pembangunan.Inilah sebahagian daripada sikap manusia yang dikatakan kufur dengan nikmat Allah. Kefasadan yang berterusan mengundang bala dari Tuhan kerana perbuatan manusia yang tidak beradab dengan alam. Bukan kah kerosakan di daratan dan di lautan itu di sebabkan oleh tangan tangan manusia? Benarlah setiap firman Tuhan itu berkait rapat dengan kehidupan kerana bumi ini di amanahkan kepada manusia untuk di urus tadbir dengan baik menurut neraca Tuhan. Apabila menurut neraca Tuhan bermakna meletakan keadilan pada tempatnya. Pemimpin yang di pilih perlu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah memimpin umah untuk mendapat keampunan Allah dengan rezeki yang melimpah ruah sehingga menjadi sebuah negara sejahtera Baldatun Toyibatun Warabbun Ghafur.Inilah misi Al Qur'an yang di bawa Nabi Muhammad Saw kepada umat manusia.

Nar dan Jannah

Di hadapan manusia ada dua destinasi yang pasti di temui bila mati. Antara Nar dan Jannah mana satu pilihan? Pastinya semua orang inginkan Jannah yang penuh dengan kenikmatan tetapi kenyataannya kebanyakan manusia bergelumang dengan maksiat, jauh dari Tuhan, menurut syahwat yang tak pernah puas seolah olah dunia ini milik kita selama lamanya. Allah cipta manusia sebaik baik kejadian kemudian menjadi serendah rendah makhluk Asfalasaa filin kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan berbuat kebaikan. Bukan kah inti sari ayat berhubungkait dengan manusia? Benarlah firman Allah untuk manusia yang mempunyai akal dan hati. Seluruh pusat kebaikan dan keburukan terletak pada hati. Akar budi budaya manusia bersumber dari hati kerana hati yang disirami dengan wahyu Ilahi akan runtun dan mudah tersentuh untuk menerima kebenaran. Hati yang keras dan mati kerana titik noda berkumpul menjadi dosa hingga membeku akhirnya mati. Apabila hati telah mati nur Ilahi tidak terpancar dalam setiap tindakan dan perilaku hamba.Ketika itu kebenaran tertutup rapat sehingga sanggup melakukan apa saja untuk memuaskan nafsu.

Buah Zaqqum

Penyakit sosial telah melanda masyarakat hingga membarah sukar dibendung. Jahiliyah moden lebih parah dari era sebelum Islam. Rasuah dan penipuan berleluasa, pembunuhan, zina buang bayi merata rata kerana hidup semata mata untuk memenuhi kehendak perut yang hanya sejengkal. Inilah dilema masyarakat mutakhir dalam abad moden yang penuh dengan kebejatan moral dan ketandusan iman.Manusia yang mempunyai hati tetapi tidak mahu memikirkan kebesaran Tuhan, mempunyai mata tidak melihat keagungan Ciptaan, mempunyai telinga tidak mahu mendengar pesanan Al Qur'an diumpamakan Tuhan seperti haiwan malah lebih sesat daripada binatang. Bukankah buah Zaqqum itu menjadi makanan orang orang berdosa di Neraka? Buah Zaqqum yang berduri tajam sepertimana yang di riwayatkan Al Qur'an menjadi hidangan orang yang derhaka kepada Allah  (QS; AD DUKHAN :43-46). Bagaimana bentuk buah ini hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Apabila bercerainya Ruh dengan Jasad tahulah hakikat sebenarnya kehidupan. Di saat hampir ajal Allah akan memperlihatkan destinasi hambaNya samada di Syurga atau sebaliknya. Bagi orang-orang beriman, beramal soleh dan berbuat kebaikan akan kekal di Syurga seperti mana di sebut dalam Al Qur'an "Khaalidi nafiiha abada". Allah Swt tidak menerima permintaan hambaNya  apabila nyawa sudah berada di halkum.  Justeru kita dianjurkan sentiasa bertaubat dari segala dosa setiap masa  mudah-mudahan terhindar dari azab neraka yang tersangat pedih.



Sheikh Saud Shuraim Imam Masjil Haram.

Wallahua'lam

Drs. Che Yahya Che Soh
Pengetua SMK SINAR BINTANG
Segambut, Kuala Lumpur.
Selasa 21 Julai,2015
5 Syawal 1436 H

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...