Monday, May 2, 2016

Antara Casablanca dan Cordoba : sebuah catatan perjalanan menjejaki peradaban silam

Sesungguhnya bumi ciptaan Tuhan mempunyai banyak sekali keistimewaannya. Kelainan bentuk demografi dan perubahan musim merupakan sunnah alam yang telah ditetapkan. Perbezaan waktu antara negara dan benua di belahan bumi menjadi petunjuk kekuasaan Ilahi yang mentadbir sekelian alam dengan penuh bijaksana. Matahari, bulan dan bintang beredar mengikut orbitnya untuk menstabilkan kehidupan di bumi. Dunia merupakan sebuah bola besar seolah-olah kelihatan seperti sebuah pulau  kecil di tengah-tengah lautan yang luas terbentang tanpa sempadan. Ketika pesawat melintasi lautan, alangkah kerdilnya diri melihat kebesaran Tuhan dari ruang udara. Bertambah indahnya pemandangan apabila terpandang di ruang langit cahaya bulan seolah olah mengiringi perjalanan kami. Kepulan awan putih kekadang bercampur gelap kelihatan berarak memenuhi ruang angkasa menambah rasa kagum dengan kekuasaan Tuhan. Allah lah yang meniupkan angin dan menggerakan awan sehingga terlihat oleh mata seperti terapung-apung di antara langit dan bumi .  Demikian sekelumit catatan lalu yang pernah saya alami sewaktu dalam penerbangan pada waktu siang ke beberapa buah destinasi.  Subhanallah.

Kuala Lumpur- Abu Dabhi 










Dengan izin Allah jua kami seramai 18 orang terdiri daripada Pengetua, Pegawai Kanan Jabatan  dan mantan Pengetua Sekolah Menengah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bersama isteri dan suami masing masing bertolak dari KLIA ke Abu Dhabi pada Rabu 20 April,2016  jam 7.45 malam dengan penerbangan Etihad melalui pakej asiaone Ida Royani selama 10 hari di Morocco dan Andalusia. Penerbangan selama 7 jam merentasi  lautan Andaman menyusuri  Teluk Benggala di Lautan Hindi sesekali di kejutkan dengan pengumuman oleh pramugari meminta penumpang memasang tali keledar kerana cuaca kurang baik.Gegaran pesawat semakin terasa semasa melintasi Bengal Bay India. Makan malam di hidangkan dengan sajian ala Arab. Sambil menikmati makanan dan minuman,saya memerhati  (flight path) laluan pesawat untuk mengetahui  kedudukan perjalanan dari setiap negara hingga lah memasuki ruang udara United Arab Emirates dan pesawat selamat mendarat di Abu Dhabi mengikut jadual. Alhamdulillah. Sebaik tiba kami menuju ruang transit untuk pertukaran pesawat ke Cassablanca Africa selama lebih tiga jam. Sewaktu di sini terbayang perasaan anak perempuan bongsu saya yang bersendirian dalam penerbangan ke Manchester mengunjungi kakaknya di Sheffield setahun lalu terkial-kial seorang diri mencari nombor  "gate"  pesawat untuk meneruskan perjalanan ke UK.

Abu Dabhi ke Casablanca








Perjalanan jauh sememangnya meletihkan, namun tidak kurang juga mengujakan. Penerbangan ke ibu kota Morocco selama 8 jam merentasi beberapa buah negara seperti  Mesir, Libya, Rome, Semenanjung Sinai dan Algeria merentasi laut Mediterranean sebelum tiba di Cassablanca pada pagi Khamis 21 April dengan selamat.Casablanca yang bererti rumah putih atau dalam Bahasa Arab Ar Dar Abiadh  ialah kota terbesar di Morocco . Ketenangan suasana yang sejuk sekitar 14 - 15 Darjah Celsius di sini seolah-olah seperti berada di Madinah dengan deretan pohon-pohon tamar yang sedang berbunga berlatarbelakangkan suasana hijau beradun lembut bunga bungaan menghiasi lapangan terbang antarabangsa Muhammed ke V.












LTA Muhammed V kelihatan dari jauh

Kami meneruskan perjalanan  dengan bas ke Marakesh bahagian Barat Morocco sejauh 170 km merentasi leboh raya berbukit yang hijau subur dengan produk pertanian terutama zaitun dan tin. Pemandu pelancong,Marwan yang menemani sepanjang berada di sini membawa kami melawat beberapa tempat bersejarah mengenai tamadun silam di bumi yang asalnya bernama Maghribi ini. Marrakesh kota kedua terbesar menjadi tarikan pelancong kerana keindahan dan keaslian budaya yang kebanyakan penduduknya boleh berbahasa Arab dengan baik. Kami menginap di Hotel Dewani atau Funduk Dewani  bertaraf 4 bintang, mempunyai ciri  rekabentuk asli Morocco yang begitu artistik. Saya memerhatikan deretan kedai persis di kota Mekah dan Madinah yang menjual tamar, zaafaran, habatus sauda, olive dan herba dengan banyak. Produk herba argan olive memang sangat mujarab untuk kosmetik dan penawar penyakit.  Kehidupan masyarakatnya  hampir bersamaan dengan budaya dan cara hidup penduduk jazirah Arab lain yang beragama Islam. Marakesh kelihatan tersusun indah, bersih dan cantik dengan bunga-bunga berbagai warna menyerikan lagi keindahan kota ini. Beberapa tempat bersejarah telah di lawati antaranya seperti Istana Bahia, Istana Badiah , Masjid dan Menara Kaotobia yang sungguh indah. Kami mengunjungi pasar malam yang menjual pelbagai barangan kulit sambil menikmati persembahan tarian kebudayaan Morocco yang agak unik. Apabila kita mengambil gambar tarian mereka, seorang daripadanya meluru meminta duit. Di sini perlu berhati-hati dompek duit anda kerana mungkin tidak menyedari kehilangan barang berharga dalam sekelip mata jika sedikit terleka.Seharian bersama rombongan mengunjungi kedai -kedai sekitar Marrakesh terutama kilang yang menjual argan olive sebelum bertolak ke Casablanca untuk menginap di hotel De Paris.











Funduk Dewani










Kota Marrakesh 

 











Salah satu taman di perkuburan
Saadian Marrakesh.


Malam di Casablanca














Prince de Paris Hotel Casablanca

Pergerakan dari satu tempat ke satu hotel  memang memenatkan lebih-lebih lagi bagi mereka yang melewati usia lima puluhan, namun tidak terdengar keluhan dalam kalangan ahli mengatakan "capek" malah nampak ceria gembira setiap hari. Bermalam di Hotel Prince de Paris Casablanca ibu Kota Morocco sedikit berbeza dengan Marrakesh yang tenang dan sunyi. Casablanca sibuk dan agak semrawut dengan kenderaan yang bersimpang siur walau pun waktu hampir dini hari. Demikian sedikit perkongsian pengalaman semasa berada di sana. Sepanjang berada di Casablanca, beberapa tempat menarik di lawati sebelum menuju Rabat. Perjalanan yang jauh walau pun letih rasa  berbaloi dan terhibur dengan pemandangan yang menarik di negara ini. Rabat kota kedua terbesar yang tidak kurang bersejarahnya di Morocco. Kawasan elite yang di diami kebanyakannya orang kenamaan, usahawan terkemuka sungguh cantik dengan pemandangan di pinggir lautan Atlantik yang luas membiru.








 










Rabat yang indah. Lautan Atlantik terbentang luas membiru.
 













sumber peta : Google


Fes  dan Tanger

Fes kota kedua mempunyai banyak tempat bersejarah. Kami melalui lorong-lorong sempit di celah celah bangunan berusia ratusan tahun. Di sini banyak barangan kulit di jual dengan harga yang perlu di tawar lebih dari separuh. Jenama beg, tali pinggang, kasut, sandal , tas tangan wanita dari kulit asli di buat secara "hand made" yang kelihatan kuat. Saya ada membeli beg sandang dengan harga yang berpatutan sebagai kenangan di Fes. Selepas membeli belah mengikut kemampuan masing-masing, kami menuju ke Tanger. Tiba di Tanger waktu hampir senja dan menginap di Atlas Mohandas Hotel di tepi Selat Gibralta.













Bersiap untuk Andalusia.












Tanger


Selat Gibralta memisah dua benua

Pertembungan budaya antara dua benua Afrika dan Eropah yang hanya di pisahkan oleh selat sempit sepanjang 14 kilometer atau 9 batu. Dari Tanger kelihatan dengan jelas tanah besar Sepanyol. Itu lah Selat Gibraltar terkenal dalam sejarah peradaban silam di zaman Khalifah Ummayah sehingga Islam tersebar ke seluruh pelosok  Andalucia, Sepanyol sekarang. Selat Gibralta berada di tengah tengah pertemuan antara dua lautan iaitu Lautan Atlantik dan Lautan Mediterranean yang sangat istimewa seperti mana termaktub dalam Al Qur'an.

Image result for jabal tariq pertemuan dua lautan









Di sinilah Panglima Islam zaman Ummayyah Tariq bin Ziyad pada tahun 711 M bersama 70,000 bala tenteranya menyeberangi lautan untuk mengembangkan misi Islam. Beliau seorang panglima Islam yang tegas dan berani, sangat sinonim dengan peristiwa ini sehingga terkenal dengan  Jabal Tariq . Tariq Ibnu Ziyad memberi kata-kata semangat kepada tenteranya dengan ungkapan penuh yakin " Wahai sahabat ku semua, di belakang kita lautan, di depan kita musuh ke mana kita mahu lari " ?  sebuah kata semangat untuk perajurit mempertahankan aqidah supaya jangan berpaling dari medan perang. Demikian sebuah catatan termasyhur tertulis dalam sejarah mengenai beliau. Perjalanan dengan feri dari pelabuhan Tanger ke Tariffa Spain lebih kurang 30 minit.






























Setelah selesai pemeriksaan imegresen di Tariffa  kami meneruskan perjalanan ke Cordoba dengan bas executive Vip Class (gambar) sepanjang berada di Sepanyol selama lima hari. Saya melihat banyak kincir angin sepanjang jalan menuju ke sana menerjah kembali ingatan sewaktu berkunjung ke Amsterdam tiga tahun lalu. Pemandu pelancong Ahmad Zaruk Muslim kelahiran Britain, membesar dan bermautautin di sini bersama keluarga beliau memberikan penerangan mengenai sejarah Andalucia. Kami berhenti rehat untuk makan tengah hari di sebuah restaurante Islam Turki kira kira sejam perjalanan dari Tariffa. Hembusan angin yang sejuk walau pun matahari bersinar mengingatkan saya ketika berada di Sheffield United Kingdom. Selesai menjamu selera ala kadarnya, kami meneruskan perjalanan menuju Cordoba melalui lebuh raya tidak bertol yang kelihatan sungguh indah dan cantik  memukau pemandangan. Di kiri kanan jalan di penuhi dengan tanaman olive dan buah tin  yang subur menghijau seperti di Marrakesh Morocco.


Che Yahya Che Soh
Pengetua SMK SINAR BINTANG
Segambut Park City, Kuala Lumpur.
bersambung....siri kedua. Menjejaki Qurtuba.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...