Friday, April 3, 2015

Seperti Katak Bawah Tempurung

Bahasa Melayu sangat kaya dengan perumpamaan dan bidalan. Penggunaan simpulan bahasa untuk menerangkan sesuatu maksud sangat sinonim dengan kehidupan  orang orang tua dahulu.Mereka menggunakan  bahasa berkias lagi berlapik yang kedengaran indah dan sopan mengandung makna yang sungguh mendalam.Beberapa contoh seperti "Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih"  "Seperti mencurah air di daun keladi", "Jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya" dan berbagai lagi perumpamaan yang boleh memotivasikan diri untuk melonjakan kecemerlangan pelajar supaya jangan menjadi seperti katak di bawah tempurung yang hanya mengetahui dunia kehidupan dipersekitarannya semata-mata.

 MBM/MBI

Penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar perlu dipertingkatkan selaras dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu (MBM) dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBI) dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah. Penggunaan Bahasa Melayu (BM) seharusnya di kuasai dengan baik oleh semua pelajar termasuk juga guru-guru sebagai lambang kesepaduan cita-cita menjadikan BM sebagai teras pendidikan bagi menterjemahkan  akal budi budaya bangsa yang semestinya  bermula di sekolah.Penguatkuasaan BM sebagai bahasa pertuturan negara  perlu di aplikasikan secara meluas dalam kalangan rakyat tanpa mengira etnik dan kaum sebagai lambang kejayaan bangsa.Negara-negara  seperti Indonesia, Thailand Korea, Jepun dan lainnya menggunakan bahasa utama dalam berkomunikasi dan urusan harian. Mereka bangga dengan bahasa sendiri, tidak seperti kita yang kurang prihatin dengan Bahasa Kebangsaan.

Mendidik pelajar

Saya sungguh berasa sedih melihat ramai pelajar yang tidak mampu menguasai BM dengan baik malah langsung gagal memahami perkataan yang diucapkan oleh guru. Terlalu banyak kosa kata yang tidak difahami walau pun kelihatannya terlalu mudah contohnya tempurung atau santan kerana mereka tidak membiasakan diri menyebut dan mengenali objek yang di maksudkan. Sekolah telah mengambil inisiatif  memperkenalkan sentuhan pengetua pada setiap pagi selama 30 minit kepada pelajar-pelajar yang dikenalpasti telah tidak mampu berkomunikasi dalam BM dengan baik. Suntikan ini nampaknya memberi impak positif kerana maklum balas yang di terima daripada guru-guru, pelajar mula berubah sikap ingin mengetahui dan mempelajari BM dan Sejarah dengan baik.

BM dan Sejarah

Pengetua menerangkan BM dan Sejarah wajib lulus, jika salah satu atau kedua-duanya gagal, pelajar tidak memperoleh SIJIL SPM. Amat malang sekali selama 5 tahun berada di Sekolah mereka tidak mendapat apa-apa untuk di miliki sebagai bekalan masa depan yang penuh mencabar.Pendidikan itu sungguh mulia, murni dan suci untuk merubah warna kehidupan masa depan manusia.Demikian juga guru yang bekerja dengan tulus ikhlas memajukan anak didik mereka tanpa mengira ras dan agama.Tugas pendidik memastikan proses pemindahan ilmu berlaku secara adil dan saksama untuk semua manusia berteraskan "Education for all ". Tiada seorang guru pun yang ingin melihat pelajarnya kecundang dalam pelajaran apa lagi membiarkan masa depan mereka teraba-raba dalam kegelapan. Setiap amalan mulia pastinya mendapat ganjaran besar di sisi Tuhan walau pun hanya sebesar zarah ilmu yang kita curahkan untuk membentuk modal insan yang berkompeten.

Abad teknologi

Dalam abad teknologi yang melepasi ruang lingkup sesebuah negara, pemikiran pelajar perlu seiring dengan perubahan.Skop pemikiran seperti katak di bawah tempurung perlu di kikis jika kita ingin maju.Membaca, menulis dan memperkasa bahasa melalui pertuturan dan pergaulan boleh memangkinkan diri seseorang pelajar. Era teknologi yang memungkinkan setiap orang mudah memperoleh maklumat dengan hanya menekan carian istilah atau makna melalui enjin pencari yang disediakan melalui internet.Disinilah letaknya kemahuan hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Jika tidak berusaha manakan dapat hasilnya.Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Paradigma minda

Paradigma minda perlu di isi dengan ilmu, kemahiran dan kecekapan untuk bersaing di peringkat global.Sijil, Diploma dan Ijazah hanyalah parameter untuk mengukur pencapaian manusia, namun hakikat sebenarnya ialah kemampuan menterjermahkan pemikiran ilmiah selaras dengan kesarjanaan yang di miliki menjadi simbol kejayaan manusia.Dunia sentiasa berubah, teknologi terus berkembang dengan ciptaan inovasi baharu dalam kehidupan.Tendensi pemikiran juga perlu futuristik bagi menjana kemajuan diri untuk membina kehidupan yang berkualiti.Peradaban bangsa menjadi mercu tanda kemajuan pendidikan negara.Bangsa bertamadun mempunyai budaya ilmu yang berpaksikan integriti sebagai tunjang kekuatan umah. Kekuatan negara kerana kejujuran intelektual mampu merobah pembangunan diri,masyarakat dan negara dari kebobrokan moral yang tidak beradab.Kepunahan generasi kerana mengabaikan budaya ilmu yang menjadi neraca pertimbangan dalam setiap aktiviti kehidupan.


Che Yahya Che Soh
Pengetua SMKSB@STAR
Segambut, Kuala Lumpur.
Sabtu 4 April,2015.

No comments:

Post a Comment

Menjana kekuatan organisasi

Organisasi merupakan wadah penyatuan umat yang di asaskan untuk mencapai sesuatu matlamat. Berbagai bentuk organisasi mempunyai tujuan berm...