Mana rumah ku. Itu mungkin pertanyaan dari pemilik rumah yang hanya tinggal sisa dan tapak sahaja akibat terjahan banjir yang sungguh luar biasa melanda negara ini. Pertanyaan ini di duga datang daripada penduduk negeri-negeri di pantai timur iaitu Pahang, Trengganu dan Kelantan yang menerima musibah terlalu dahsyat pada akhir tahun ini.Kendati pun saya tidak mempunyai perangkaan yang boleh menyokong pandangan ini, namun yakin melalui gambar-gambar yang terpapar di layar televisyen ,surat khabar dan media sosial ramai penduduk kehilangan tempat tinggal terpaksa berkhemah di tepi tepi jalan dengan makanan yang terhad.Mereka kehilangan segala-galanya dalam sekelip mata.Hidup sengsara tanpa bekalan letrik dan air bersih menjadi igauan ngeri yang tidak pernah terduga terjadi seperti ini.Benarlah seperti kata Allayarham Asri "Mana milik kita, tiada milik kita, semua yang ada Allah yang punya". Kita semua hanya pinjaman yang kekal abadi hanya Allah Tuhan Penjaga Alam.
Bersama mangsa di depan tenda dhaif.
Kesan banjir ala tsunami.Lokasi Guchil K. Krai
Rumah Pak Cik Jaafar Mat di Railway Station
Kuala Krai.
Misi Kemanusiaan
Penghuni pondok Sg Durian.
Bertolak ke Kuala Krai
Saya bersama dua orang staf (guru) seperti jadual bertolak ke Kelantan pada hari Ahad dan sampai di Kuala Krai pukul 4.00 petang. Kami terus ke rumah ayah saya di Mengkebang bersama bekalan makanan yang sendat dalam Prado milik Penolong Kanan En Cheli Selvam yang membenarkan keretanya di gunakan selama menjalankan misi ini. Pada hari Isnin 6 Januari, kami bergerak dengan tiga mobil di ketuai Ustaz Ahmad Zulkifli Che Soh Mudir Sek Men Arab As Saadah Mengkebang ke beberapa lokasi yang sangat kritikal. Bermula dengan Pondok Sungai Durian,kami melihat longgokan sampah dan runtuhan pondok yang cukup dahsyat. Masjidnya di penuhi selut tanah liat yang memenuhi ruang solat.Bertemu Ustaz Dr. Abdul Bassit menyampaikan sajadah dan bekalan makanan seperti beras,gula, sardin. Meruntun hati saya melihat nenek nenek tua penghuni pondok menghampiri kami untuk menerima sedikit bantuan, kemudiannya mengunjungi seorang guru saya Erma, tidak jauh dari situ.
Cerita sengoti
Perjalanan kami seterusnya menuju Kg Chenulang, Kebun Pisang , Pertang Pasir Gajah, Guchil dan Kg.Tualang di pinggir Sungai Kelantan. Suasana yang dapat saya gambarkan ialah kemusnahan total. Rumah-rumah hanyut dan Masjid hanya tinggal bumbung saja. Selut setakat paras lutut memenuhi rumah mangsa. Bandar Kuala Krai dan Pekan Guchil masih belum boleh beroperasi. Lampu isyarat tidak berfungsi. Berdekatan Jalan Halimah Guchil, rel keretapi terbongkeh (musnah) dari landasan dan sebuah rumah berdekatan hilang di bawah arus deras. Saya melewati kawasan tersebut dan melihat jentolak sedang meratakan tanah bekas tapak rumah yang hanyut.Pasar Besar Kuala Krai masih belum buka kerana peniaga sedang membersih premis masing-masing. Sampah sarap bertimbunan di merata tempat.Ada antara mangsa terpaksa berumah di atas trailer di tepi-tepi jalan sepanjang menuju Kg Tualang yang musnah teruk.Kiri kanan jalan dipenuhi dengan khemah yang dhaif tidak terurus seperti pelarian Vietnam suatu masa dahulu. Menurut pemilik rumah ini bumbung rumahnya dihanyutkan air deras dan tersadai di atas bukit kira-kira 1 kilometer jauhnya. Air naik begitu cepat dan kebanyakan penduduk tidak dapat berbuat apa-apa selain menyelamatkan diri ke tempat tinggi.Diberitakan juga lembu kerbau terlenggok-lenggok (tercungap-cungap) mengangkat muka keatas menahan lemas minta pertolongan namun apa kan daya tiada siapa yang dapat menolong kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri menyelamatkan nyawa dari menjadi korban banjir yang mengganas. Demikian cerita Pak Cik ini kepada saya. Inilah cerita sengoti yang saya dengar dari mulut mangsa sendiri. Bersabar dan tabahlah dengan ujian ini walau pun terlalu pahit untuk diterima tetapi yakinlah pasti ada hikmah tersembunyi yang tidak kita ketahui.
Pak Cik ini kehilangan rumah. Hanya tapak yang tinggal.
Sebuah rumah hanyut tersadai di tepi jalan.
Che Yahya Che Soh
Pengetua SMK SINAR BINTANG@STAR,
Segambut Kuala Lumpur.
Rabu 7 Januari,2015.
No comments:
Post a Comment